Aspirasi anak muda negara




SEDEKAD lalu, sebaik Muhammad Usamah Zaid Yasin tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berada di persimpangan dilema. Minat membaca komik dan bermain permainan video sewaktu remaja menyebabkan bibit cintanya terhadap bidang animasi berputik.

Namun, bidang animasi yang terlalu hijau di negara ini menyebabkan Muhammad Usamah Zaid atau lebih mesra dengan panggilan Usamah, ragu-ragu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.

Saat itu, dia sudah hampir-hampir mengatur langkah dalam bidang seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Namun, mengenangkan abang dan kakaknya yang melanjutkan pengajian di UIAM, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu kemudian mendaftarkan diri di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya, Selangor dalam kursus Filem dan Animasi di Fakulti Multimedia Kreatif.

Ketika itu, tiada siapa yang menyangka keputusan yang diambil Usamah bukan sahaja akan mengubah perjalanan hidupnya, bahkan mencipta sejarah luar biasa dalam bidang animasi negara.

Pada usia 26 tahun, Usamah merupakan salah seorang individu penting di sebalik kejayaan fenomena Upin dan Ipin seterusnya kejayaan filem yang mengadaptasi watak itu, Geng:Pengembaraan Bermula apabila mengumpul kutipan sebanyak RM6.3 juta.

Kutipan filem pada tahun 2009 itu merupakan kutipan filem tertinggi dalam sejarah filem Melayu sebelum baru-baru ini dipintas filem Adnan Sempit yang meraih lebih RM7 juta. Sehingga kini Geng:Pengembaraan Bermula kekal sebagai filem animasi paling laris di pawagam negara.

Menyorot kejayaan dan obsesi peminat terhadap watak animasi kembar comel Upin dan Ipin, akui Usamah semua itu bukanlah atas usahanya seorang sebaliknya dua rakannya iaitu Mohd. Nizam Abdul Razak dan Mohd. Safwan Abd. Karim.

"Kami bertiga sebenarnya adalah kawan yang sama-sama belajar di MMU. Selepas tamat belajar kami dapat tawaran daripada Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md. Radzi yang bersedia melaburkan duit untuk menerbitkan sebuah filem animasi.

"Saya, Nizam dan Safwan kemudian menyediakan sebuah kertas kerja filem animasi bertajuk Getah. Ia mengisahkan dua orang watak utama di kampung yang bersaing menoreh getah.

Masyarakat bandar

"Bagaimanapun kertas kerja itu kurang dipersetujui Burhanuddin yang kemudian menyebabkan mereka bersama mengolah kembali kisah itu menjadi kehidupan masyarakat bandar yang pulang ke kampung untuk bercuti. Malah sebenarnya, watak Upin dan Ipin dalam perancangan asal hanyalah sekadar sebagai watak sampingan selain bukan juga berwatak kembar.

"Dalam proses menyiapkan filem ini, salah satu strategi yang kami fikirkan adalah dengan memperkenalkan siri animasi pendek bertajuk, Upin dan Ipin mengambil salah satu watak dalam filem, Geng: Pengembaraan Bermula.


USAMAH kini boleh berbangga dengan kejayaan siri animasi Upin dan Ipin.


"Tidak sangka siri itu kemudian menjadi hit luar biasa yang kemudian memaksa kami merombak kembali jalan cerita Geng: Pengembaraan Bermula dengan memasukkan watak Upin dan Ipin sebagai kembar dengan penampilan yang lebih banyak," katanya sambil memberitahu tugasnya dalam filem itu lebih kepada skrip cerita dan aspek teknikal seperti rigging atau persediaan tulang dan controller sebelum watak itu boleh digerakkan dalam proses animasi.

Kongsi Usamah lagi, beliau juga akan memantau aksi dan lakonan watak Upin dan Ipin selaku pengarah animasi ketika itu. Hari ini dengan kejayaan yang diciptakan Geng: Pengembaraan Bermula dan siri animasi Upin dan Ipin, lelaki yang dilahirkan pada 19 Disember 1983 itu, kini sudah pun menjawat tugas Pengarah Kreatif di Les Copaque.

Lebih membanggakan hasil produk yang dicerna anak muda itu bersama teman-temannya sudah pun menerjah kaca TV Indonesia, Turki, Kuwait dan negara Asia lain. Malah, filem Geng: Pengembaraan Bermula sudahpun diterjemahkan ke 11 bahasa dunia untuk pasaran antarabangsa.

Atlet OKU wanita

Selain Usamah, kisah seorang atlet kurang upaya (OKU) negara mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat gangsa dalam temasya terbesar dunia Sukan Paralimpik Beijing 2008 wajar menjadi inspirasi kepada jutaan anak muda negara pada Hari Belia yang disambut bermula semalam hingga esok.

Membesar sebagai seorang anak penoreh getah, ibu dan ayah atlet OKU itu tidak tahu ke mana sepatutnya beliau dihantar untuk bersekolah. Ia menyebabkan pelajaran kanak-kanak itu tertangguh sehingga usianya mencapai lapan tahun untuk masuk ke darjah satu.

Walaupun bergelar kanak-kanak cacat kerana diserang demam panas pada usia 7 bulan sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya tidak berfungsi, ia tidak mematahkan semangatnya untuk bersekolah. Apatah lagi dia mempunyai seorang nenek yang menyayanginya dan sanggup mengayuh basikal setiap hari untuk menghantarnya ke sekolah.

Masih jelas tergambar di kotak fikirannya setiap kali itu jugalah neneknya akan terjatuh dari basikal kerana kudrat wanita itu tidak terdaya saat mengayuh basikal menaiki bukit.


LEE CHAN atlet Orang Kurang Upaya (OKU) kebanggaan negara.


Ternyata usaha, keringat dan pengorbanan nenek bersama kedua-dua orang tuanya itu berbaloi apabila Siow Lee Chan kini bukan sahaja OKU yang berilmu bahkan menjadi atlet kebanggaan negara.

Selain memungut pingat gangsa di Sukan Olimpik, kejayaan belia yang dilahirkan pada 27 Februrari 1971 itu di Kampung Titi, Jelebu, Negeri Sembilan dalam sukan angkat berat melayakkannya menerima pengiktirafan Anugerah Sukan Negara, Olahragawati Paralimpik 2005 dan 2008.

Mengenang kembali detik-detik awal dia terjun ke bidang sukan angkat berat, menurut Lee Chan semuanya bermula apabila dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Koh Chia Chern semasa perjumpaan ahli-ahli sebuah persatuan orang cacat Cina di Kuala Lumpur. Perkenalan itu mendorong Lee Chan menyertai sukan angkat berat.

"Pada awalnya saya menolak ajakan itu kerana sebagai seorang wanita saya tidak berminat dengan sukan tersebut. Tetapi, demi membuktikan bahawa saya juga mampu untuk berjaya, saya gagahkan semangat untuk mencuba," katanya. Cinta Lee Chan bukan saja berputik dalam sukan angkat berat, bahkan kepada lelaki yang bertanggungjawab membawa dia mengenali sukan itu. Chia Chern kemudian menyunting Lee Chan menjadi suri dalam hidupnya.

Rentetan kejayaan di peringkat tempatan selepas mendapat latihan suaminya selama tujuh bulan, Lee Chan menyertai acara angkat berat luar negara dalam Kejohanan Terbuka New Zealand 1999 bagi kategori 52 kilogram (kg). Ternyata tuah berpihak kepadanya apabila dia mendakap pingat emas pertamanya ketika itu.

Namun, akui Lee Chan semua kejayaan itu bukan datang dengan mudah, apatah lagi mengangkat beban lebih 90 kg bukanlah sesuatu yang digemari oleh sesiapa pun. Tetapi sokongan suami dan pegawai sukan banyak memberikan semangat kepadanya sehingga berjaya mencatatkan rekod angkatan terbaik peribadi 95 kg pada temasya Paralimpik Beijing itu.

Lebih manis kejayaan Lee Chan itu menamatkan kemarau 16 tahun negara pada temasya Sukan Olimpik itu.

Berkesempatan belajar di pusat kemahiran Cheras, Kuala Lumpur dengan mengikuti kursus menjahit, Lee Chan hari ini memiliki sebuah kedai jahit yang dibuka bersama enam orang adik-beradiknya.

Aura pemimpin Rasa Selvan


RASA Selvan komited untuk membela nasib masyarakat India.


Sementara itu, kesungguhan Rasa Selvan Karuppah dalam melakukan kerja-kerja amal di kuil telah menjadi batu loncatan kepada beliau untuk menonjolkan bakat kepimpinan yang ada pada dirinya. Pada masa itu, dia hanyalah seorang remaja biasa yang suka membantu dan mewakili kuil dalam acara-acara keagamaan.

Gerak-geri lelaki itu ketika mewakili Kuil Seri Subramaniar, Semenyih, Selangor apabila menyertai aktiviti perarakan keagamaan Hindu di Kuala Lumpur pada 1993 telah menjadi perhatian Naib Presiden, Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO) pada ketika itu, V. M. Gunasegaran.

Rasa Selvan yang dilihat sangat rajin dan menunjukkan minat dengan aktiviti kemasyarakatan telah dicabar oleh Gunasegaran untuk mewujudkan sebuah persatuan belia Hindu di tempatnya sendiri iaitu di Semenyih.

Dengan semangat dan bakat kepimpinannya, beliau yang pernah menjadi guru sandaran di beberapa buah sekolah setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyahut cabaran itu dengan menubuhkan Persatuan Belia Hindu Semenyih. Bahkan beliau juga turut menjadi presiden persatuan itu.

Daya kepimpinan bapa kepada dua orang anak lelaki itu semakin terserlah apabila cuba untuk bertanding pada 2005 bagi merebut kerusi Presiden HYO iaitu sebuah pertubuhan belia Hindu terbesar di Malaysia. Pesona beliau sebagai seorang pemimpin pertubuhan itu bagai dapat dirasai oleh para perwakilan apabila menerima 211 undi menewaskan dua calon lain.

Perjalanan awal penerima Anugerah Belia Nasional pada 2008 itu pada awalnya melalui jalan sukar apabila mendapat tekanan yang sangat hebat sehingga membuatkan beliau berputus asa untuk terus menjadi pengerusi HYO.

"Saya termenung panjang selepas memenangi pemilihan itu dan berfikir sama ada untuk terus menerajui HYO atau melepaskan jawatan kerana banyak tohmahan dilemparkan kepada saya," jelasnya.

Rasa Selvan kemudian mengemudi dengan penuh sabar dan komitmen HYO selama selama enam tahun berturut-turut.

Menyingkap perjalanan kepimpinan beliau dalam organisasi Hindu itu dari tahun 2005 sehingga kini, Rasa Selvan banyak mencurah bakti kepada pembangunan belia India di Malaysia. Antaranya ialah mengangkat kedudukan dan hak kaum India dalam masyarakat selain menonjolkan kebudayaan India yang sebelum ini kurang mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya.


LEE CHAN (kiri) bersama rakan-rakan seperjuangannya saat dianugerahkan Olahragawati Paralimpik 2005.


Beliau yang kini sedang berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sebenarnya mempunyai tokoh kepimpinannya semenjak di bangku sekolah lagi apabila terpilih menjadi Pengerusi dalam persatuan Sains Pertanian, Persatuan Karate, Persatuan Pengakap dan menjadi ahli Persatuan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Meniti hari-hari terakhir bergelar belia, Rasa Selvan yang kini menjangkau usia 40 tahun berharap agar pelapis yang bakal meneraju HYO dapat meneruskan perjuangan beliau.