Alyah juara GAH 1


ALYAH (dua dari kanan) dan Ajai (kanan) bersama para pemenang lain selepas Pertandingan GAH 1 di Sunway Lagoon, Petaling Jaya malam tadi.


PETALING JAYA - Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang membawa tuah kepada penyanyi Alyah apabila berjaya menggondol Anugerah Lagu Terbaik dan juga Persembahan Terbaik pada Pertandingan GAH 1 terbitan RTM di Sunway Lagoon di sini malam tadi.

Lagu yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan itu membawa pulang wang tunai RM40,000 bagi kategori Lagu Terbaik dan RM10,000 untuk Persembahan Terbaik selain trofi dan sijil.

Penyanyi baru Erni yang menggantikan penyanyi asal Misha Omar untuk lagu Cinta Adam dan Hawa pula berjaya mengungguli tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Sementara itu, kumpulan 6ixth Sense berjaya membawa pulang RM20,000 apabila lagu popular mereka, Khatimah Cinta dipilih Lagu Paling Popular pilihan SMS.

Pertandingan GAH 1 yang sebelum ini dikenali sebagai Hitz 1 Gah 1 dinilai oleh barisan juri profesional dan dikendalikan oleh dua pengacara remaja iaitu E'One dan peserta Bintang RTM 2004, Eyeja Arshad.