Memantau rumah dari jarak jauh




PINTU rumah, pagar dan tingkap sudah pun berkunci, tetapi tiada siapa yang menafikan wujud perasaan bimbang apabila terpaksa meninggalkan rumah untuk satu tempoh masa yang lama jika bercuti atau mempunyai tugasan kerja di luar.

Perasaan sebegini wujud dalam diri sesiapa sahaja. Ini kerana, dengan jarak jauh yang memisahkan seseorang dari kediamannya, setiap individu mahu memastikan kawalan keselamatan terpelihara tanpa diceroboh sesiapa.

Biarpun semua aspek keselamatan telah diambil, tiada sesiapa mampu mengatakan rumah berada dalam keadaan 100 peratus selamat. Namun, apabila pemantauan dapat dilakukan dari jarak jauh, perasaan lega pasti segera menerpa apabila melihat rumah dalam keadaan selamat tanpa ada tanda-tanda diceroboh.

Seiring kemajuan teknologi, sistem kawalan dari jarak jauh kini semakin dikomersialkan dan dikenali sebagai sistem Automasi Bangunan Noxel. Ia bukan sahaja menggunakan panel sentuh sepenuhnya, tetapi turut memikul tanggungjawab sebagai kawalan sistem elektrik di dalam rumah secara keseluruhan.

Bayangkan, walaupun berada jauh dari kediaman, seseorang itu bukan sahaja mampu mengawal sistem keselamatan rumah melalui kamera litar tertutup (CCTV), tetapi mampu menutup lampu, memasang muzik, menutup televisyen dan sebagainya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Noxel International, Farbod Sadeghian, sistem Automasi Bangunan Noxel boleh dipasang di semua jenis kediaman sama ada apartmen kecil, villa mahu pun istana.


KINI anda boleh bercuti dengan aman apabila peranti Noxel membolehkan anda memantau keadaan rumah menerusi telefon bimbit.


"Kami juga boleh memasang sistem automasi ini di pejabat, pusat persidangan, bilik darjah, restoran atau di mana sahaja dengan hasilnya adalah sistem kawalan elektrik dan elektromekanikal kediaman mudah hanya di hujung jari.

"Sekiranya ada yang keliru mengenai sistem ini, ia sebenarnya adalah mengenai kawalan lengkap ke atas semua suis utama termasuk kipas, lampu, suhu bilik, muzik, televisyen dan akses keselamatan," katanya.

Jelas Farbod, semua kawalan tersebut boleh dilakukan dengan sebuah panel skrin sentuh Crestron tanpa wayar yang istimewa yang boleh diakses dengan sebarang model telefon skrin sentuh sekali gus memudahkan kawalan dari jarak jauh.

"Pemasangan kabel sistem ini juga adalah mudah dan mampu dilakukan sendiri oleh pemilik kediaman apabila mereka bercadang untuk menukar laluan kawalan kepada produk elektronik lain dengan kapasiti yang sama.

"Bagaimanapun bantuan teknikal daripada Noxel perlu apabila membesarkan saiz kawalan. Kos adalah bergantung kepada saiz kawalan dan bermula dengan RM10,000 bagi kediaman kecil sehingga RM50,000 bagi sebuah rumah," katanya.

Dalam pada itu katanya, panel skrin sentuh berkenaan terdapat dalam pelbagai pilihan, bergantung kepada kapasiti kawalan sama ada bilik mahupun kediaman. Ia juga terdapat dalam pelbagai konfigurasi dan warna untuk disesuaikan dengan gaya hidup dan dekorasi kediaman.


PERANTI pintar Noxel bukan sahaja berfungsi sebagai sistem sekuriti rumah tetapi juga mengawal sistem elektrik dan elektronik kediaman.


"Setiap kali anda masuk ke dalam rumah, anda tidak perlu lagi dikelirukan dengan barisan suis lampu, kipas, pendingin hawa yang banyak kerana semuanya kini dilabel dengan mudah dalam panel skrin sentuh.

"Walaupun anda berada di ruang tamu, kawalan pagar, CCTV, pencahayaan bilik tidur dan dapur atau keseluruhan rumah berada di dalam tangan anda," katanya.

Pilihan selebriti

Bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, hos terkenal, Xandria Ooi antara individu yang memilih untuk melengkapkan kediamannya dengan sistem Automasi Bangunan Noxel bagi kediaman barunya bersama suami.

"Selain memudahkan kawalan elektrik dan elektronik di dalam rumah, soal keselamatan amat penting. Dengan adanya sistem kawalan keseluruhan rumah ini, semuanya menjadi mudah dan saya dapat memantau penggunaannya dari jauh.

"Sistem ini amat penting bagi individu seperti saya yang sering menjalankan kerja luar lebih-lebih lagi apabila tiada sesiapa di rumah," kata Xandria.

Bekas Ratu Cantik Malaysia 2008, Soo Wincci pula berkata, dia sering terkeliru dengan suis elektrik yang pelbagai dan sering tertekan suis yang salah setiap kali hendak memasang lampu atau kipas.

"Saya perlu melabel semua suis yang ada di dalam rumah bagi mengelakkan kekeliruan. Tetapi dengan sistem baru ini, ia menyelesaikan semua masalah saya kerana penetapan dan label elektronik memudahkan keseluruhan kawalan," katanya.


WINCCI (kiri) dan Xandria memilih untuk melengkapkan kediaman mereka dengan peranti pintar ini.


Beliau juga memberitahu, rumahnya pernah dimasuki pencuri sehingga membuatkannya sering bimbang apabila berada di luar rumah meskipun semua aspek keselamatan telah diambil.

"Apabila saya dapat memantau keselamatan rumah melalui iPhone, perasaan bimbang hilang kerana saya dapat melihat keadaan rumah saya dari jarak jauh," katanya.

Dalam pada itu, Noxel turut menjadi rakan kongsi kepada Da Vinci Prestige, pengeluar perabot berjenama dengan menjalankan demonstrasi pemasangan sistem automasi bangunan ke atas rangkaian perabot berasaskan pencahayaannya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Da Vinci Prestige Sdn. Bhd., Michael Lee berkata, kemajuan teknologi meningkat seiring kehendak dunia yang mahu menyerapkan teknologi-teknologi berkenaan dalam kehidupan seharian.

"Noxel menyediakan penyelesaian sofistikated yang mampu berhubung dengan pelanggan dengan satu jalan mudah. Saya yakin mereka yang menghargai produk Da Vinci akan turut menghargai teknologi automasi Noxel tanpa ragu," katanya.

Katanya lagi, beliau berharap melalui kerjasama dengan Noxel, Da Vinci dapat meluaskan penglibatan dalam menyediakan pengalaman rumah mewah yang selesa, bergaya dan gembira untuk diduduki.