Memartabatkan GAH 1




FINAL program pertandingan muzik GAH 1yang diadakan Ahad lepas sudah berakhir dengan lancarnya di Taman Tema Sunway Lagoon.Wajar dipuji usaha RTM kerana berani menyuntik elemen baru dalam program yang selama ini hanya disiarkan di tempat tertutup sejak tujuh musim program itu berlangsung.

Bagaimanapun, umpama rumah sudah siap pahatnya masih berbunyi. Itulah yang berlaku pada pertandingan GAH 1 yang indah khabar dari rupa.

Barisan artis yang menyanyi boleh dikatakan hebat-hebat belaka, namun menilai persembahan mereka malam itu jelas kelihatan mereka tidak memberi persembahan tahap maksimum berbanding persembahan sebelum ini.

Bahkan, Kosmo! difahamkan tidak semua penyanyi dapat melakukan sesi latihan beberapa hari sebelum program yang disiarkan di TV2 itu berlangsung walaupun mereka hadir pada tarikh latihan yang ditetapkan selama dua hari berturut-turut.

Alasan yang diberikan oleh penerbitnya, Sarena Mohd Salleh yang ditemui sejurus program itu berakhir, faktor cuaca menjadi punca utama sesi latihan tidak dapat dijalankan memandangkan pentas program tersebut tidak berbumbung.

"Saya akui untuk program yang disiarkan secara langsung, GAH 1 tidak mempunyai latihan yang cukup kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

"Tentang hal pentas tidak berbumbung itu memang kami telah rancang daripada awal dan mengambil risiko kerana pemandangan persekitaran cantik untuk disiarkan di kaca televisyen.

"Kami juga telah menyediakan beberapa opsyen jika malam final hujan, kami akan memasang bumbung di pentas tetapi Alhamdulillah, cuaca okey jadi kami terus dengan rancangan tanpa meletakkan bumbung di pentas," terangnya.

Selain itu, dua orang pengacaranya E'One dan Eyeja dilihat masih tidak bersedia untuk mengacarakan program berprestij seperti GAH 1.

Skrip dirasakan sangat longgar dan banyak kesalahan bahasa yang terjadi selain pertuturan mereka sungguh membingitkan.

"Pengacara, kami telah memberi mereka garis panduan. E'One merupakan pengacara untuk program mingguan tiga musim berturut-turut, manakala Eyeja pula masih baru. Mungkin mereka dilihat tidak bersedia disebabkan tidak ada sesi latihan yang dibuat untuk mereka," ujar Sarena lagi.




Tidak berakhir di situ, tiadanya penyanyi asal lagu seperti Misha Omar yang digantikan oleh juara Bintang RTM 2009, Erni dan Adam yang digantikan oleh kumpulan Evoke juga mengundang tanda tanya sedangkan dalam promosi yang dijalankan pihak produksi menggunakan penyanyi asal.

Tidakkah itu akan membuatkan penonton yang ingin menyaksikan penyanyi asal kecewa? Malah seolah-olah menunjukkan program GAH 1 tidak dipandang serius oleh penyanyi tempatan.

Balas Serena: "Tentang Misha dan Adam itu pihak kami telah umumkan ketiadaan mereka ketika majlis sidang media sebelum ini.

"Bukan mereka tidak mahu beri komitmen tetapi tarikh final GAH 1 yang sepatutnya diadakan pada bulan Mac telah ditunda kepada bulan Mei menyebabkan Misha dan Adam tidak dapat ikut serta kerana sudah ada komitmen lain. Mereka juga telah memaklumkan hal itu sejak awal lagi.

"Faizal Tahir juga ada showcase di Hard Rock Kuala Lumpur pada malam pertandingan, tetapi disebabkan lokasinya di Kuala Lumpur jadi dia telah minta untuk menjadi penyanyi pertama yang membuat persembahan. Itu sudah menunjukkan komitmennya."

Tambahnya lagi, secara peribadi meskipun banyak kesilapan yang tidak dapat dielakkan berlaku, namun GAH 1 masih boleh dikira antara program yang berjaya.

"Saya mengaku kami perlu banyak belajar lagi, tetapi saya rasa kami sudah cuba yang terbaik dan program ini pun dapat disiarkan secara langsung mengikut waktu yang ditetapkan," tuturnya.




Kekecewaan Alyah terubat

Tidak pernah menjangka akan membawa pulang wang tunai RM50,000 selepas dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Lagu Terbaik dan Persembahan Terbaik pada final GAH 1 benar-benar memberi momen yang manis kepada Alyah.

Menyanyikan lagi ciptaan komposer Ajai dan lirik ditulis oleh Habsah Hassan, lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dilihat memberi tuah apabila lagu itu juga yang mempopularkan namanya di pentas seni tanah air.

"Saya menyanyi 100 peratus kerana ini merupakan kali terakhir saya menyanyikan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dalam pertandingan.

"Semasa di atas pentas saya membayangkan kesusahan yang saya lalui sebelum ini secara tidak langsung memberi kekuatan dan membuatkan saya fokus kepada persembahan," ujarnya.

Mengakui, lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian asal Misha Omar antara saingan terdekatnya, Alyah tetap rasa tergugat meskipun pada malam final itu ia dinyanyikan oleh penyanyi baru yang juga juara Bintang RTM 2009, Erni.

"Kalau ikutkan saya, Misha dan Erni lahir daripada tempat yang sama. Jadi, suara serta kekuatan yang kami miliki adalah sama. Walaupun lagu Cinta Adam dan Hawa dinyanyikan oleh Erni saya masih lagi rasa Erni saingan terdekat saya," katanya jujur.

Bercakap tentang wang kemenangan yang diperoleh, Alyah akan menggunakan wang tersebut untuk pembikinan album terbarunya yang kini masih dalam proses rakaman.

"Setakat hari ini saya sudah rakam dua buah lagu iaitu Pesanan Azimat Dijiwa ciptaan Azkan Abu Hassan dan Habsah Hassan dan Bisu, ciptaan Omar K dan lirik oleh Sulu Serawak," ujarnya yang akan muncul dengan lagu single terbaru selepas raya nanti.

Erni ganti Misha

Menggantikan penyanyi asal pada final GAH 1 benar-benar beri tekanan yang besar buat Erni. Namun, gadis berusia 18 tahun itu membuktikan dia mempunyai kualiti sebagai bintang apabila dipilih sebagai pemenang tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.


STACY (tengah) tampil bersama kumpulan Evoke yang menggantikan Adam.


Terangnya yang masih berada di dalam Kem Millennium, Beranang, Selangor kerana mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama tiga bulan, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada ibunya dua minggu lalu yang memberitahu dia akan menggantikan Misha Omar dalam final GAH 1.

"Saya memang terkejut dan tidak percaya pada mulanya sehinggalah ibu saya meminta saya mula menghafal lirik lagu. Mula-mula saya tidak mahu kerana merasakan tugas ini terlalu berat tetapi setelah diyakinkan oleh komposernya, Azmeer baru saya setuju.

"Azmeer juga telah menghubungi Misha dan dia juga setuju saya menggantikan tempatnya. Pemilihan saya mungkin kerana sebelum ini saya pernah bekerja dengannya dan dia tahu lenggok suara saya," ujarnya yang sudah dua bulan berada di kem tersebut.

Jelas Erni, menyanyikan lagu Misha di final GAH 1 merupakan satu penghormatan besar buatnya apatah lagi dipilih sebagai pemenang tempat kedua oleh juri profesional.

Apabila ditanya, adakah dia ingin sebahagian daripada wang kemenangan meskipun itu bukanlah lagunya, dalam tawa Erni menjawab: " Mestilah nak sikit tetapi perkara itu masih belum dibincangkan dengan Azmeer lagi."


TOMOK dengan aksi tersendiri.


Erni yang akan menamatkan sesi latihan PLKN pada 10 Jun depan juga bakal muncul dengan album solo bergenre pop balada tidak lama lagi.

Selain itu, kumpulan 6ixth Sense yang mendendangkan lagu popular mereka Khatimah Cinta berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000 apabila dipilih oleh peminat sebagai pemenang Lagu Paling Popular SMS.

Final GAH 1 turut disertai oleh penyanyi Azharina (Rawan), Kumpulan Grey Sky Morning (Cinta Gila), Tomok (Rindu Terhenti), Faizal Tahir (Bencinta), Stacy dengan dua buah lagu iaitu Pakai Buang dan duet bersama Evoke (Menggegar Dunia).