Wanita sasaran syarikat rokok


BAYI pramatang antara risiko dan kemungkinan yang terpaksa dihadapi oleh wanita hamil yang merokok.


RAUT wajah penuh resah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai jelas terpancar ketika beliau ditemui sejurus selepas Perasmian Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Kebangsaan kali ini membawa tema Wanita dan Tembakau - Waspada.

Rupa-rupanya beliau tidak senang duduk apabila mendengar perkhabaran bahawa wanita di negara ini kini telah menjadi sasaran syarikat-syarikat rokok dalam strategi pemasaran mereka.

Fakta itu dibuktikan menerusi laporan terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Wanita dan Kesihatan menyatakan bahawa pemasaran dan pengiklanan rokok yang menjurus ke arah wanita telah meningkat.

"Data dari 151 buah negara menunjukkan bahawa tujuh peratus daripada remaja perempuan merokok dan angka itu tidak jauh daripada peratus remaja lelaki iaitu 12 peratus," katanya.

Di sesetengah negara yang tidak dinyatakan beliau, terdapat ramai perokok gadis yang melebihi lelaki.

WHO dalam laporannya menyatakan, syarikat rokok telah menghabiskan kira-kira sepuluh juta dolar setahun untuk mendapatkan perokok baru dan menggalakkan perokok sedia ada supaya tidak berhenti merokok.

"Pihak industri dilihat mengambil pendekatan terutama kepada remaja perempuan agar menjadi perokok.

"Ia bertujuan untuk memenuhi matlamat masing-masing bagi menambah perokok baru di kalangan wanita bagi menggantikan hampir separuh perokok-perokok yang akan mati akibat penyakit yang berkaitan dengan amalan yang tidak sihat itu," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Apakah faktor yang mendorong wanita terjebak dengan gejala merokok yang jelas bertentangan dengan budaya ketimuran itu?

Tiong Lai menjelaskan, hasil informasi WHO, untuk merealisasikan matlamat pihak industri telah menggunakan pelbagai helah untuk menjerat kaum Hawa.

"Antaranya ialah dengan memberi gambaran bahawa dengan merokok, seseorang wanita kelihatan langsing.

"Namun percayalah, ini semua tipu kerana merokok boleh meningkatkan berat badan," ujarnya.

Bukan itu saja, syarikat rokok juga kreatif dalam hal-hal pembungkusan rokok. Umpamanya, beritahu orang kuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, saiz kotak rokok telah disamakan dengan kotak menyimpan lipstik yang dibaluti dengan warna-warna kegemaran wanita seperti ungu dan biru.

Strategi pengiklan


AMARAN kesan merokok yang tertera pada kotak rokok sedikit pun tidak menakutkan wanita.


Lebih mengecewakan Tiong Lai, strategi pengiklan juga dianggap keterlaluan apabila imej wanita merokok digambarkan akan kelihatan lebih matang, anggun, glamor, bebas, penuh daya tarikan seks berbanding dengan mereka yang tidak memilih jalan itu.

"Saya ingin mengingatkan semua terutama wanita bahawa sama ada anda merokok secara aktif atau pasif, anda akan berhadapan dengan risiko penyakit tidak berjangkit," katanya.

Kepada wanita, beliau ingin memaklumkan bahawa golongan itu berisiko untuk putus haid awal, mengalami kelewatan hamil, berpotensi untuk mandul, melahirkan bayi pramatang, boleh mengakibatkan kematian janin dalam kandungan, keguguran termasuk tumbesaran janin akan terencat, saluran pernafasan kronik dan penyakit jantung.

Selain itu, perokok wanita juga barangkali akan mendapat kanser paru-paru, tekak, pundi kencing, payu dara serta kanser serviks.

"Justeru, nasihat saya khususnya para gadis, jangan mudah terpedaya dengan taktik dan tipu helah syarikat rokok dan jangan biarkan diri mudah diekploitasi," nasihatnya.

Namun fakta itu lebih keras dan harus direnung oleh semua perokok supaya tidak mengira jantina, WHO mengisytiharkan bahawa tembakau adalah pembunuh nombor satu masa kini.

Pada abad ke-21, sebanyak satu bilion manusia dijangka akan maut akibat tembakau!

"Kerajaan juga akan terus memastikan harga rokok kekal tinggi demi mengehadkan kebolehpercayaan rokok oleh golongan sasaran," tegas Tiong Lai.

Ada satu lagi kebimbangan beliau iaitu trend wanita yang berpendidikan dan bekerjaya kian meningkat.

Ya, memang benar kerana di kalangan rakan-rakan penulis sendiri tidak kira yang bekerja di sektor kerajaan mahu pun swasta memang merokok.

Alasannya ialah merokok membantu menghilangkan stres di samping ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa dengan merokok, mereka memiliki pesona tersendiri.