Farhan sedia menyerang




LEWAT kebelakangan ini, kelibat penyanyi yang dicungkil bakat melalui program realiti televisyen, Akademi Fantasia, Farhan sering terlihat bersama bekas pengurus penyanyi popular, Noryn Aziz iaitu Sam Kassim.

Di mana ada Farhan, di situ juga ada Sam yang setia di sisi. Bukan lagi ditemani ahli keluarga, dia kini bersama individu tersebut menghadiri acara-acara formal hiburan, undangan pentas ataupun sesi fotografi.

Terbaru, semasa bertemu pemilik nama lengkap Nur Farhan Azizan pada majlis Canon Celebrates With Celebrities di Mont Kiara, Kuala Lumpur, dia yang anggun dengan gaun paras lutut nuansa merah menjerit tetap berdampingan dengan Sam dari awal hingga pengakhiran majlis.

Menghurai kepastian, wanita berusia 26 tahun itu mengakui Sam menjalankan amanah mengurus kerjaya seninya sejak beberapa bulan lalu. Enggan lagi menjatuhkan sepenuh beban pada bapa dan adik-beradik, Farhan mengambil keputusan membenar dirinya dibantu orang lain.

"Saya mula mengenali Sam sejak empat tahun lalu. Kalau pergi mana-mana acara, pasti saya dan Sam akan bertembung. Dari situ, kami mengenali antara satu sama lain sehingga ikatan persahabatan kami menjadi akrab umpama abang dan adik.

"Waktu itu dia tidak lagi menguruskan kerjaya Noryn secara rasmi. Bahkan, dalam masa sama, saya tahu Sam terima pelawaan daripada artis lain termasuk beberapa nama besar untuk membantu menguruskan kerjaya masing-masing.

"Alhamdulillah, Sam sendiri buat keputusan hendak jaga Farhan. Maka, saya anggap ia sebagai peluang yang tidak boleh dilepas begitu sahaja," katanya yang senang dengan karakter Sam sebagai individu berpengalaman di gelanggang seni tanah air lebih sedekad lalu sebagai pengurus artis.

Seperti menyedari bukan mudah menghapus eratnya nama Noryn dan Sam selama ini, Farhan bagaimanapun memohon agar tiada lagi sesetengah pihak melontarkan kata perbandingan antara dirinya dan penyanyi jelita itu.

"Noryn adalah Noryn manakala Farhan adalah Farhan. Lagipun, kami ada kelainan jika bercakap soal personaliti. Biarpun berpegang pada jalur muzik hampir sama, Noryn terlebih dahulu mencipta nama dan mendalami ilmu seni secara profesional. Saya pula seperti diketahui umum, datang dari Akademi Fantasia musim keempat (AF4).


FARHAN kini mengamalkan sistem pemakanan yang lebih sihat.


"Selepas ini, memang orang akan sentiasa nampak Farhan bersama Sam. Benar, sebelum ini Sam pernah membantu uruskan karier Noryn. Tetapi, yang lepas, biar ia terus berlalu. Ini merupakan permulaan baru Farhan bekerja dengan Sam.

"Saya banyak terhutang budi dengan Sam. Selain famili, kosong rasanya tanpa bantuan dia sebagai orang kedua terpenting dalam hidup ini. Daripada pemilihan pakaian, mekap, undangan nyanyian dan pelbagai perkara berkaitan, Sam lakukan semua bagi pihak saya," jawab Farhan yang tidak terdaya mempertikai kepentingan pengurus dalam usaha menaikkan populariti artis.

Semakin langsing

Melihat sosok baru Farhan, jelas kelihatan ada perbezaan. Itu tidak mampu dinafikan lagi. Kalau sebelum ini dia kelihatan sedikit berisi, kini wanita yang dilahirkan pada 21 Ogos 1984 itu mula nampak langsing dengan bentuk badan baru.

Pelontar lagu Aku Saja Yang Tahu sebagai mercu tanda namanya bertebaran harum di persada muzik berkongsi cerita, dia mula mengamal diet sejak tahun lalu. Tanpa mengunjungi gimnasium atau menggunakan alat senaman di rumah, Farhan hanya menjaga pemakanan agar memperoleh keseimbangan.

"Saya akui tidak buat semua ini kerana hendak kurus. Cuma, tiada lebih membahagiakan saya apabila berat badan yang dulu sebanyak 60 kilogram kini turun empat kilogram. Hanya perlu mengurangkan tiga kilogram lagi, selepas ini saya boleh mencapai sasaran berat badan ideal seperti dinasihat doktor.

"Terus terang, saya makan sebanyak lima kali dalam sehari. Kedengaran agak banyak, saya sebaliknya ambil dalam kuantiti kecil sahaja. Contohnya, pagi saya minum air ekstrak buah dan sekeping roti. Kemudian, saya mula joging dan bersenam di kawasan berhampiran rumah.

"Makan tengah hari, saya masih makan nasi dan lauk-pauk bersesuaian dengan makanan diet saya. Waktu petang, saya minum air teh hijau dan menjamah biskut rendah lemak. Sebelum Maghrib, saya pasti akan makan dulu dengan mengambil nasi beserta sayur-sayuran atau ikan sebagai hidangan makan malam.


BERPELUANG merakam foto kenangan bersama bintang terkenal Hong Kong, Simon Yam.


"Kalau rasa lapar juga sekitar pukul 9 malam, saya ambil buah-buahan sebagai pengisi perut," akui Farhan yang mula teruja dengan perubahan fizikal pada diri setelah mengawal regim pemakanan dalam hidupnya bermula tahun 2009.

Album baru

Puas sudah menanti selama empat tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sekarang mampu menarik nafas lega kerana album debut yang menggunakan peruntukan sendiri bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Bernaung di bawah payung syarikat milik bapanya, Azizan Mohd. Khir iaitu Mezzo Forte Records Sdn. Bhd., Farhan mengeluarkan duit sendiri sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan lapan buah lagu sekali gus merealisasi impian muncul dengan naskhah sendiri.

"Lama menghilang diri, saya sebenarnya sibuk cari material untuk album ini kira-kira dua tahun lalu. Ia sepatutnya disasar keluar bulan depan kerana hampir 80 peratus proses rakaman telah disudahkan. Tetapi, saya tidak mahu tergesa-gesa melancarkan buah tangan sulung ini kepada peminat.

"Biarlah ambil sedikit masa lagi kerana saya sedang menumpukan perhatian terhadap sebuah projek istimewa. Saya ingin merahsiakan terlebih dahulu apa yang tengah diusahakan. Kalau semua selesai, baru saya fikir hendak keluarkan album pertama ini," terang Farhan yang menggunakan khidmat Shamril Salleh, Adnan Abu Hassan Sharon Paul dan Helen Yap sebagai komposer.

Bercakap tentang aliran albumnya, ia membayangkan sebenar diri Farhan. Biarpun sebelum ini orang ramai beranggapan dia terbiasa dengan nuansa jazz, hakikatnya wanita dengan sikap peramah itu tidak pernah mencanang diri sebagai penyanyi jazz.


Sam (kanan) kini bertanggungjawab mengurus kerjasa seni Farhan.


"Album ini menampilkan pelbagai pengaruh genre termasuk retro dan pop. Bukan tidak selesa dilabel sebagai artis jazz. Saya sebenarnya tidak mahu lari daripada tema album ini. Awal-awal lagi, saya tahu muzik jenis apa yang diingini. Malah, penghujungnya, saya mahu peminat tahu album ini menggambarkan diri Farhan dan jenis muzik saya.

"Lagipun, kalau muncul dengan album penuh jazz, belum tentu orang ramai boleh terima karya ini. Paling membimbangkan, orang boleh jadi bosan dengar album saya. Mengambil pendekatan mudah, saya mencampur pelbagai lagu dalam album ini bagi menampilkan kepelbagaian.

"Sebagai permulaan, lagu berjudul Bukan Mimpi ciptaan Shamril bakal dijadikan single pertama saya. Kemudian, barulah lagu kedua, Moga menemui peminat sebelum album sendiri berada di pasaran," singkapnya yang memberitahu sanggup merekod lagu-lagu di dalam studio beberapa kali demi memuaskan hatinya.