Piala Dunia jadi penawar trauma mangsa gempa Haiti


SEORANG remaja Haiti mempamerkan kemahiran mengimbangi bola di sebuah padang di Port-au-Prince.


PORT-AU-PRINCE - Pihak berkuasa Haiti kelmarin mula menjadikan demam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selama sebulan sebagai terapi untuk memulihkan semangat rakyatnya daripada pengalaman ngeri gempa bumi awal tahun ini.

Menteri Kebudayaan dan Komunikasi, Marie Laurence Jocelyn Lassegue berkata, 137 majlis perbandaran masing-masing menerima dua buah skrin televisyen gergasi dan dipasang di kawasan mereka untuk menyiarkan semua siaran perlawanan.

Di ibu negara Port-au-Prince, pihak misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut bermurah hati mendirikan dua skrin gergasi di stadium utama yang membolehkan 10,000 orang menonton pada satu masa setiap hari.

"Penduduk cuma perlu membayar 10 gourd Haiti (RM0.82) setiap kali datang menonton dan wang ini akan disumbangkan kepada persatuan bola sepak Haiti bagi membantu ahli keluarga pemain yang terkorban semasa gempa itu," kata Lassegue.

Ketua Pengarah Majlis Telekomunikasi Kebangsaan, Marcelin Montaigne, usaha kerajaan membiayai siaran stesen televisyen negara sepanjang Piala Dunia dilaporkan menerima maklum balas positif rakyat kembali pulih daripada trauma gempa.

"Kami juga mendapat bantuan negara luar untuk memastikan liputan satelit televisyen dapat dipancarkan di seluruh negara dan ramai penduduk berasa gembira sehingga berpesta sekali gus menjadi terapi psikologi untuk mereka," katanya.

- Agensi