Magis sulung Edry




PERTAMA kali memegang peranan sebagai seorang pengarah filem, komposer dan penyanyi, Edry Abdul Halim nyata gugup.

Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri, tetapi jika dibandingkan dengan dua abangnya, Norman dan Yusry yang lebih berpengalaman dalam bidang filem, Edry menyifatkan filem muzikal, Magika sentuhannya sebagai kerja tangan terbesarnya setakat ini.

Namun, debaran di hati Edry sedikit reda apabila dia menerima banyak komen positif selepas majlis tayangan perdana filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu Februari lepas.

"Saya akui masih gugup dan berdebar. Maklumlah buah tangan pertama. Perasaan saya sekarang ini umpama persembahan pentas pertama KRU. Tetapi disebabkan saya mempunyai sokongan daripada dua abang yang mempunyai pengalaman lebih daripada saya dalam filem, ia sangat membantu," ujarnya.

Mengakui selain bimbang akan prestasi filemnya yang akan menemui penonton dalam tahun ini, dia juga bimbang jika ada pihak akan membandingkan kerja tangannya dengan dua abangnya.

"Sebenarnya itulah hakikat apabila menjadi anak ketiga dan mempunyai dua orang abang yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"Banyak pertanyaan muncul di minda. Boleh ke Edry buat filem seperti Yusry? Boleh ke Edry kaut untung dari filem seperti Norman? Itu antara perkara yang sering saya fikirkan. Bagaimanapun, saya bertuah kerana dua orang abang ini membantu saya seperti dalam satu pasukan," ulas bapa kepada tiga orang anak ini lagi.

Kisah mitos Melayu

Bercakap tentang pengalamannya mengarah filem muzikal yang boleh disifatkan antara karya terbaik dari KRU sendiri, Edry memberitahu, bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan sebuah filem muzikal.


BARISAN bintang yang mempunyai aura tersendiri (dari kiri), Ning Baizura, Maya Karin, Raja Azura dan Aznil Nawawi menambah daya tarikan filem, Magika.


Selain lagu yang diselitkan dalam filem harus selari dengan skrip, kisah fantasi yang dihasilkan juga harus realistik dengan dunia sebenar supaya ia lebih senang diterima penonton.

"Skrip dan lagu dalam filem ini dibancuh dengan mudah kerana, sayalah pengarah, penulis skrip dan juga pencipta lagu serta penulis lirik. Jika ambil orang lain mungkin mood itu agak berlainan.

"Bila saya yang buat semua benda, mudah untuk saya merancang apa yang perlu ada dalam setiap babak dan lagu apa yang sesuai untuk babak tersebut.

"Saya boleh ambil jalan mudah dengan mengambil beberapa lagu yang telah popular tetapi saya tidak mahu kerana ingin memberi identiti tersendiri untuk filem Magika," tuturnya.

Ada benar apa yang dikatakan oleh Edry itu. Pihak media yang berpeluang menonton filem Magika pada majlis tayangan perdananya itu rata-rata berpuas hati dengan kualiti serta jalan cerita yang dihasilkan Edry.

Ditambah pula dengan kelucuan setiap watak mitos dalam dunia Melayu yang dilakonkan oleh bintang-bintang ternama, Badang (Mawi) , Bawang Putih (Amani), Bawang Merah (Aleya) , Hang Jebat (Lan Pet Pet), Hang Tuah (Saiful Apek) , Nenek Kebayan (Ziana Zain), Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura) , Pak Pandir (Aznil), Mak Andeh (Raja Azura), Orang Minyak (Nabil), Mahsuri (Vanida Imran), Puteri Santubong (Marsha), Lembing Awang Pulang Ke Dayang (Norman Hakim), Nujum Pak Belalang (Zaibo), Penunggu Gua (M. Nasir) dan Puteri Bunian (Maya Karin) .


EDRY bertindak sebagai pengarah, penulis skrip, pencipta lagu dan penulis lirik lagu filem Magika.


Kata Edry, dia sengaja menghasilkan watak-watak mitos tersebut supaya generasi kini lebih mengenali dan menghargai kisah mitos tempatan.

"Saya sendiri mempunyai anak-anak yang masih kecil dan mereka tidak tahu kisah mitos seperti Badang. Apa yang mereka tahu hanyalah kisah Cinderella. Saya rasa ini pendekatan terbaik untuk seisi keluarga terhibur di samping mengajar anak-anak tentang mitos orang Melayu.

"Walaupun apa yang saya gambarkan tidaklah seratus peratus serupa dengan apa yang difikirkan orang, saya harap apa yang saya hidangkan akan dinikmati oleh penonton.

"Sebagai contoh, Nenek Kebayan lakonan Ziana Zain. Selalunya nenek kebayan digambarkan sebagai orang tua yang bongkok tetapi dalam filem Magika, nenek kebayan seorang yang cantik dan sentiasa nampak muda," katanya.

Akui Edry, dia sengaja mengambil kebanyakan pelakon popular kerana strategi pemasaran selain mereka merupakan orang yang benar-benar sesuai untuk watak yang diwujudkan.

"Saya tidak nafikan menggunakan ramai artis popular sebagai penarik orang ke panggung tetapi apa yang penonton harus lihat sendiri ialah bakat lakonan setiap pelakon serta jalan cerita itu sendiri," ujarnya.

Terangnya, dia tidak akan membikin filem sekuel buat Magika tetapi jika filem pertamanya itu berjaya, dia akan menggunakan konsep yang sama untuk membikin filem yang seterusnya.

"Saya tidak mungkin buat benda yang sama. Jika begitu, filem tersebut tidak akan berjaya. Saya tidak kisah menggunakan konsep yang sama tetapi cerita yang dihasilkan itu haruslah berbeza," ucapnya.


BAKAL menggegarkan panggung, Magika menampilkan ramai bintang terkenal yang muncul sebagai bintang undangan.


Ditanya, jika ada yang melabelnya sebagai pengarah harapan, Edry hanya tersenyum dan mengakui agak terharu jika ada yang melabelnya sedemikian meskipun baru menghasilkan sebuah filem.

"Apa saja gelaran yang diberi saya terima (ketawa). Sebagai pengarah filem, ia merupakan fasa terbaru dalam hidup saya selepas 18 tahun saya bergelumang dalam dunia seni," bicaranya.

Filem Magika mengisahkan adik-beradik Ayu (Diana Danielle) dan Malik (Fimie Don) yang tersesat ke dunia magika. Di sana Malik telah ditangkap oleh nenek kebayan untuk dijadikan ubat jamu muda. Dalam perjalanan Ayu cuba menyelamatkan adiknya, dia telah bertemu dengan pelbagai watak mitos kepercayaan orang Melayu.