Lirik bukan sekadar luahan kata-kata




"DULU, buat lirik tidak dapat banyak duit. Bayaran paling rendah diterima hanya RM40 atau RM50. Paling sedih, saya asyik kena kelentong. Tetapi, demi mahu berkarya, saya teruskan juga," akui penulis lirik lagu lama berdendang di telinga umum, Habsah Hassan atau mesra dengan panggilan Kak Chah di kalangan teman dan taulan.

Mengisi kata-kata puitis dalam sebuah melodi indah bermula tahun 1976 sehingga ke saat ini, sosok berusia 60 tahun itu sudah menjadi pemilik kepada lebih 1,000 buah lirik. Ia bukan pencapaian biasa. Ironinya, selain golongan penyanyi, banyak jiwa sudah terpesona dengan setiap karya garapannya.

Menjengah fasa awal menulis lirik, penulis yang menjadikan sastera sebagai kunyahan harian itu terhutang budi dengan Din Osman dan Ooi Eow Jin kerana membentang karpet merah buat diri Kak Chah mengisi bait-bait lagu ketika masih bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menggagahkan diri buat kali pertama mencorak lagu saduran, diubah judul menjadi Tidak Guna Dikesalkan nyanyian Salamiah Hassan pada tahun 1976, kemudian, karya Terkenang nyanyian naib juara bintang RTM 1975, Zulkifli Ahmad menjadi hidangan kedua Kak Chah lalu memaku portfolio sebagai penulis lirik lagu.

Dan sejak itu, dia tanpa lelah membikin lirik untuk dilontar penyanyi tempatan dan tidak terkecuali negara Indonesia. Sekadar menyebut beberapa nama - Sudirman Arshad, Zaiton Sameon, Aishah, Francisca Peters, Ukays, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Misha Omar, Adibah Nor, Zahid, Mila, Jaclyn Victor, Alyah dan Ayu manakala penyanyi dari seberang ialah Muchlas Adi Putra, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Tommy J. Pisa dan artis Filipina, Gigi Villa.

Lirik lagu terbaru Kak Chah, Terhenti Di Tanda Koma baru-baru ini dinyanyikan oleh pendatang baru di laman seni, Nurhadzwani Salleh atau nama pentasnya, Nani. Ia dipersembah buat kali pertama pada peringkat akhir Mentor berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.

Bidang penulisan lirik, menurut isteri kepada Mohamed Jusoh, 63, itu menjadi medium terbaik mendekati semua golongan masyarakat. Bukan semua orang suka mendengar lagu. Namun, peranan penulis lirik sama penting dengan penyanyi dan pencipta lagu.

"Melodi memainkan fungsi utama dengan seni kata. Namun, mungkin mereka kurang memberi perhatian kerana penulis lirik bekerja di belakang tabir, tidak menjadi tumpuan seperti penyanyi yang sering tampil di atas pentas.


HABSAH HASSAN tetap meletakkan penulisan lirik lagu sebagai nombor satu dalam kariernya meskipun dalam masa yang sama turut bergelar penulis skrip dan penerbit filem.


"Saya faham, kurang adil menuding jari kepada mana-mana pihak dalam soal ini. Tetapi, sekurang-kurangnya masih ada pihak tertentu mengambil inisiatif untuk mengiktiraf hasil kerja kami," luah Kak Chah yang menyandang gelaran Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).

Bercakap tentang penulis lirik generasi baru, Kak Chah yang lahir pada 28 Ogos 1949 memberitahu, mereka perlu memupuk lebih banyak usaha bagi mengangkat karya terisi dengan isu semasa. Ia tidak sekadar menyelit himpunan seni kata dalam lagu tanpa membawa sebarang maksud.

"Bukan hendak kata diri ini pandai, pandangan saya sebaliknya tidak semua orang dikurnia Tuhan kebolehan menulis.

"Setiap lirik kena ada latar belakang, cerita dan matlamat baik yang tersurat serta tersirat. Saya lihat senario ini secara subjektif. Mungkin sesetengah penulis lirik sekarang berdepan tekanan antara kehendak pendengar dan kemahuan sendiri.

"Namun, penulis harus juga memikirkan tanggungjawab menjadikan apa yang ditulis mempersembah mesej tertentu sekali gus berupaya menjadi sebagai satu khazanah negara," luahnya.

Sumber rujukan

Lirik barangkali boleh dijadikan sumber rujukan oleh generasi akan datang bagi menilai serta menganalisis corak kehidupan pada sesuatu zaman.

"Kita boleh saja tulis lirik seperti dimahukan dalam fikiran. Cuma, jangan menyalahguna kebebasan yang diberi. Apa jua ditulis, ingatlah akan setiap kesannya buat masyarakat. Jangan sekadar memandang kejayaan pada masa singkat. Persepsi asal lagu meletup dan mendatangkan untung, tidak boleh diikut dalam memegang gelaran penulis lirik.

"Saya dapati penulis lirik sekarang tulis untuk luahan kata-kata saja. Kalau situasi putus cinta, seni kata digarap tentang perpisahan semata-mata tanpa ada pengertian tersembunyi. Saya akui, menulis lirik tidak boleh diajar. Tetapi, kadang-kadang kita kena fikir dengan mendalam," ujarnya yang sinonim sebagai penulis melakar lirik dengan patah perkataan berkias.

Pentingnya 'bunga' dalam setiap seni kata dihasilkan, jelas anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, ia bukan perkara perlu dipandang enteng. Apa sahaja dimuntahkan daripada fikiran, harus punya aliran tertentu biarpun pendengar mengambil sedikit waktu membuat pentafsiran.

"Saya tahu ada sesetengah pihak cakap bahawa anak-anak muda zaman ini sukar hendak memahami lirik berbunga. Tetapi, kalau mereka terus kata macam ini, saya anggap semakin cair nilai seni. Justeru, kita kena sentiasa berfikir positif. Saya nampak kita terlalu ikut keinginan orang. Kalau begitu, bagaimana pula tanggungjawab kami sebagai penulis lirik?


HABSAH (empat dari kiri) meraih kemenangan hasil tulisan lirik lagu pada Anugerah Juara Lagu.


"Implikasinya, harga dan definisi sebenar seni cuba diangkat sudah tidak bernilai lagi. Sekarang memang ada lagu lekas dapat sambutan. Tetapi, ia cuma bertahan selama lima atau enam bulan saja sekali gus tidak meresapi jiwa peminat. Ambil contoh lirik lagu lama, ia terus jadi koleksi malar segar hingga waktu ini," terang Kak Chah yang tidak bersikap selektif memberi lirik lagu baik kepada orang lama atau baru.

Menghasilkan lirik lagu berdasar melodi disuap penggubah lagu dan bukannya mengikut personaliti si penyanyi, Kak Chah bagaimanapun mengaku hanya Sudirman mendapat 'keistimewaan' berbanding karyawan lain. Bukan sengaja, ada sebab amalannya sedikit tergelincir semasa menulis.

"Artis lain termasuk Zaiton Sameon saya tulis lirik lagu Menaruh Harapan ciptaan A. Ali bergantung kepada melodi. Walhal, waktu itu saya tidak mengenali Zaiton secara dekat. Cuma, saya buat lirik Merisik Khabar dan Terasing untuk Sudirman ikut dirinya sebenar. Ditambah kami sungguh akrab, saya sudah dapat baca isi hati penghibur tersohor ini.

"Kerana itu saya sangat menggemari lirik dua lagu berkisar hati dan perasaan ini sekali gus dianggap ada nilai sentimental tinggi kepada diri," tutur Kak Chah yang turut menyukai lirik lagu Kemaafan Dendam Terindah dan Cinta Beralih Arah nyanyian Aishah.

Biarpun telah melepasi usia emas, Kak Chah sebenarnya seorang yang tidak pernah mati cita-cita. Juga sudah punya segala yang baik dalam hidup, dia terus mahu memperjuangkan diri dalam bidang seni cukup dicintai selepas bergelar penulis skrip, cerpen dan sajak.


SUDIRMAN


"Alhamdulillah, pengiktirafan terbesar buat saya apabila orang ramai mampu menerima dan menghayati setiap karya dihasilkan lebih tiga dekad lalu. Kecintaan terhadap bidang ini cukup mendalam biarpun mengetahui kehidupan ibarat pengulangan yang menyukarkan proses penulisan lirik.

"Selepas buat banyak benda, penghasilan seni kata merupakan pekerjaan akhir saya," ungkap Kak Chah yang mengambil waktu selama sehari memikirkan plot sesebuah lagu terlebih dahulu sebelum hanya dua atau tiga jam diperuntuk untuk menyusun seni kata dalam melodi.