Waktu Rehat drama sekolah


SITKOM rantaian, Waktu Rehat menampilkan 11 watak yang penuh dengan keterujaan.


SIRI televisyen tempatan pertama dalam Bahasa Malaysia produksi Disney (Saluran Astro 615) yang berjudul, Waktu Rehat bakal membawa penonton menjiwai kehidupan pelajar-pelajar apabila berkumpul ketika waktu rehat sekolah.

Sitkom bersiri itu merupakan sebuah drama sekolah mengenai sekumpulan pelajar sekolah menengah rendah Malaysia yang berkongsi pengalaman hidup sambil berlepak di koridor sekolah semasa waktu rehat.

Produksi yang diterbitkan oleh saluran Disney Asia Tenggara dengan kerjasama Red Communication Sdn. Bhd. itu bakal memaparkan peristiwa lucu yang diperoleh daripada persahabatan antara watak di persekitaran suasana persekolahan.

Menurut pengarahnya, Shamyl Othman, Waktu Rehat adalah sitkom yang berlatar belakang alam persekolahan dengan menampilkan ikatan persahabatan budak-budak sekolah menengah rendah.

Katanya, siri itu memaparkan kisah kehidupan kanak-kanak sekolah sewaktu melepak di ruang legar sekolah semasa waktu rehat.

"Sasaran siri ini adalah kepada kanak-kanak lingkungan usia lapan hingga 14 tahun. Setiap episod selama lima minit ini akan dipenuhi dengan peristiwa melucukan yang sering berlaku dalam suasana sekolah," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Waktu Rehat di Barbera Cafe, Bangsar Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, tayangan perdana sitkom rantaian itu ialah pada pukul 12 tengah hari 31 Ogos depan dan seterusnya ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad waktu yang sama.

"Musim pertama sitkom itu mengandungi 16 episod dan bersiaran dalam bahasa Malaysia dengan sarikata dalam bahasa Inggeris.

"Antara pelakon yang membintangi sitkom ini ialah, Juzzthin, Nik Muhd. Farith Adruce, Nurul Elfira Loy, Mohd. Addy Ashraf, Farhanna Qismina dan Muhammad Nasiruddin Nasir," tambahnya.

Penerbit Waktu Rehat, Lina Tan berkata, program tersebut muncul dari adaptasi siri pendek saluran Disney di Itali berjudul Quelli dell' Intervallo (As The Bell Rings).

Katanya, ia juga merupakan sebahagian dari francais antarabangsa yang mana kanak-kanak tempatan melakonkan watak unik dan memberikan penuh keterujaan buat penonton tempatan saluran Disney.

"Waktu Rehat menampilkan 11 watak menarik dan disenangi dari sebuah sekolah rekaan iaitu dikenali sebagai Sekolah Menengah Jalan Mas," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan Saluran Disney Asia Tenggara, Laura E. Wendt dan Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Kandungan untuk Astro, Agnes Kim Rozario.