KTMB buka lima lagi stesen komuter baru di ibu kota


STESEN KTMB yang baru di Batu Caves, Kuala Lumpur.


GOMBAK - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus komited meningkatkan taraf sistem pengangkutannya dengan membuka lima lagi stesen komuter baru melibatkan perjalanan dari Sentul ke Batu Caves bermula 31 Julai ini.

Mulai tarikh itu, perjalanan bagi laluan itu diperluaskan lagi ke tiga lokasi baru iaitu di Batu Kentomen, Kampung Batu dan Taman Wahyu selain Sentul dan Batu Caves.

Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Kaunter KTMB, Mohd. Hider Yusoff berkata, selepas ini, laluan yang sebelum ini dikenali sebagai laluan Pelabuhan Klang-Sentul akan dikenali sebagai laluan Pelabuhan Klang-Batu Caves.

Beliau berkata, waktu perjalanan dari Sentul-Batu Caves dengan jarak 7.5 kilometer hanya mengambil masa 15 minit berbanding 30 minit sebelum ini.

Mengulas penambahan stesen komuter, Mohd. Hider berkata, ia merupakan usaha KTMB dalam memberi perkhidmatan yang terbaik.

"Populasi dan kepadatan kawasan-kawasan di situ juga agak besar di samping kedudukannya yang strategik.

"Justeru, kami berpendapat, pembinaan lima stesen itu mampu menampung keperluan penumpang di sana tanpa perlu bersesak-sesak,'' katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.