Giliran HMC Phlow tersingkir


PROFESIONAL. Anggota Wakaka Crew dan HMC Phlow selepas sesi 'battle' sebelum panel juri kemudiannya mengundi keluar HMC Phlow.


PROGRAM realiti pertandingan tarian Showdown 2010 sudah sampai ke kemuncaknya pada 14 Julai ini. Berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur, kini hanya tinggal tiga kru terdiri daripada Wakaka Crew, Floor Fever dan Giller Battle Crew yang akan bertanding menentukan kumpulan mana yang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 sekali gus menggalas gelaran juara Showdown 2010.

Pada minggu lalu giliran HMC Phlow untuk tersingkir selepas Famous Crew pada minggu sebelum itu. Menurut Ketua HMC Phlow, Mohd. Faruq Mohd. Suhaimi, mereka tetap bersyukur bila dah sampai tahap Top 4 dalam Showdown.

Katanya yang menubuhkan kumpulan itu pada November tahun lalu, perancangan HMC Phlow selepas ini adalah untuk terus fokus dengan aktiviti kumpulan mereka.

"Sebelum masuk Showdown kami selalu jadi penari latar untuk mana-mana persembahan. Kami akan teruskan aktiviti-aktiviti itu di samping meneruskan perjalanan untuk menaikkan nama HMC Phlow.

"Walaupun kami tersingkir kami tetap akan menyokong kru-kru lain yang berada di Top 3 kerana hubungan kami dengan mereka sudah macam adik-beradik," katanya pada sidang media selepas program itu di KL Live, Kuala Lumpur baru-baru ini.

HMC Phlow yang membuat persembahan dengan lagu iringan J-Squad berjudul Momma Smoove dan Dizzee Rascal berjudul Bonkers.

Mereka tewas dalam sesi 'battle' selepas bertarung dengan Wakaka Crew, apabila pihak juri tetap Joe Flizzow dan Maple Loo sebulat suara mengundi keluar HMC Phlow daripada Showdown 2010 pada malam itu.

Menurut Pengurus Besar 8TV, Lam Swee KIm, tekanan setiap peserta semestinya semakin terasa kerana setiap minggu satu kumpulan akan dihantar pulang.

"Kita dapat lihat setiap kru cuba untuk mencipta gerak tari yang lebih mantap, kreatif dan menghiburkan bagi memancing undian penonton.

"Kini hanya tinggal seminggu sahaja untuk ke peringkat akhir. Ia merupakan suatu cabaran yang menarik bagi setiap kru, kumpulan produksi dan juga penonton," katanya dalam satu kenyataan.

Minggu yang mempersembahkan tema Show Me Whatcha Got dan itu merupakan cabaran untuk kesemua kru untuk tampil dengan gerak gerak tari yang lebih menarik, kreatif dan menghiburkan.

Undi kru kegemaran anda dan pastikan mereka mendapat beraksi di peringkat akhir Showdown 2010 yang akan berlangsung secara langsung menerusi 8TV dari KL Live pukul 9.30 malam 14 Julai ini.

Sesiapa yang ingin menonton Showdown 2010 secara langsung boleh mendapatkan pas-pas masuk percuma di Butik Echo Park Sungei Wang, Mid Valley, Times Square dan Sunway Piramid atau KL Live dari Isnin hingga Jumaat pukul 9 pagi hingga 5 petang.