Kepuasan tahap maksimum


GABUNGAN Hujan dan Bunkface di pentas yang sama menerbitkan irama muzik penuh keterujaan.


PARAS kepuasan maksimum jelas terpancar pada raut wajah kira-kira 1,000 anak-anak muda dengan selaut bakat yang membentuk formasi Hujan dan Bunkface malam itu.

Saat usai merealisasi konsert Hujan Vs Bunkface berlangsung di KL Live Centre, Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Julai lalu, setiap daripada mereka turun pentas dengan hati teruja.

Biarpun mengenengahkan konsep Battle Of The Band, tema Hujan Vs Bunkface tetap digarap dalam fizikal penuh sihat. Ia bukan seteru menunjukkan siapa paling berkuasa dan sebaliknya. Hujan dan Bunkface punya kelebihan dan pengikut masing-masing.

Vokalis Hujan, Noh mentafsirkan konsert anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) sempena Festival Muzik Kuala Lumpur itu sebagai kejayaan terindah buat mereka.

"Konsert ini ibarat kepuasan melampau Hujan. Terus-terang, kami tidak menyangka sama sekali Hujan Vs Bunkface akan menjadi sehebat seperti ini," jelas pemilik nama lengkap Mohammad Noh Salleh itu sambil menjelaskan semua gimik dipamerkan bukan dirancang.

Tidak mahu memberatkan kepala memikir warna persembahan Hujan, pemuda berusia 25 tahun itu mengambil kata putus muncul dengan stail biasa seperti mereka mengadakan pertunjukan pentas sebelum ini.

"Hujan dan Bunkface pada mulanya sudah sepakat untuk redah saja membuat persembahan sepanjang dua jam ini. Namun, pada waktu sama, kami cukup berbangga menyaksikan Bunkface yang tidak kurang hebat.

"Kalau dulu mereka menjadikan kami sebagai pemuzik kegemaran, sekarang, lihatlah Bunkface sudah menjadi idola ramai termasuk penggiat seni tempatan lain. Ia dianggap satu kejayaan besar buat mereka," jelas Noh yang turut dipersetujui oleh ahli Hujan lain.

Pantas menurut pemain keyboard Hujan, Hang Dimas, konsert Hujan Vs Hujan merupakan penyatuan untuk pengkarya aliran bebas tempatan.

"Nama konsertnya saja Hujan Vs Bunkface. Tetapi, mengikut konteks kami, persembahan ini merupakan gabungan dua buah grup yang mempertemu muzik indie menjadi satu. Sejujurnya, kami tidak pernah bersaing antara satu sama lain ditambah sejak dulu Bunkface menjadi sahabat seperjuangan kami," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi utama Bunkface, Shamsul Anuar Mohd. Baharom atau lebih dikenali sebagai Sam yang sebelum ini menghasilkan karya berisi antem isi hati dan kreativiti cara Bunkface turut meluah pandangan.

"Sebelum kami dikenali sebagai pemuzik, Hujan antara kumpulan indie yang cukup kami hormat dan kagumi. Bukan itu saja, kami bangga apabila disatukan pada konsert ini. Untuk mengatakan Bunkface sudah berdiri sama tinggi dengan kredibiliti grup ini memang tidak sama sekali.

"Sebabnya, genre Bunkface dan Hujan berbeza. Begitu juga dengan stail kami menyanyi dan melakukan persembahan," jelas anak muda berusia 23 tahun itu yang baru muncul dengan album berjudul Phobia Phoney menggunakan wang hasil titik peluh sendiri berjumlah RM15,000.

Gitaris utama Bunkface, Ahmad Farhan Hashim atau Paan dalam bicaranya pula menyifatkan penggabungan Hujan dan grup mereka memperlihatkan tenaga berganda pada konsert berkenaan.

"Kalau sebelum ini Bunkface selalu buat persembahan sendiri, malam ini semua nampak lain apabila kami dapat melampias sepenuh kecintaan terhadap muzik bersama Hujan. Penyatuan ini membuatkan energi kami meningkat pada tahap tertinggi berbanding melakukan pertunjukan biasa," luah Paan sambil dipersetujui Mohd. Farouk Jaafar (Youk) selaku pemain bass dan vokal latar.

Menyorot semula perjalanan Hujan Vs Bunkface bermula pukul 9 malam dengan lagu Overture, kemudian Revolusi yang sebelum ini terbiasa dilagukan oleh Bunkface bertukar vokal disampaikan oleh Hujan. Begitu juga sebaliknya apabila Bunkface mendendangkan Aku Skandal dengan cara sendiri.

Mengilham strategi pertunjukan secara berselang-seli boleh dikatakan sebagai keputusan bijak.

Ini kerana tidak ada peminat yang berganjak pulang sehingga tamat konsert kerana teruja dengan bentuk persembahan selang-seli oleh mereka.

Cuma agak mendukacitakan apabila pusat hiburan yang boleh memuatkan anggaran 5,000 penonton hanya terisi tidak sampai suku daripada kapasiti keseluruhan. Dengan sistem audio bertaraf lima bintang, konsert itu sepertinya kurang mendapat sambutan umum sedangkan publisiti cukup meluas disumbangkan pihak media sebelum ini.

Dalam pada itu, seleksi lagu dinyanyikan Hujan adalah Pagi Yang Gelap, Jiwa Kelajuan, Kau Harus Ada, Dugaannya, Obsesi, Empayarmu, Mencari Konklusi dan Bila Aku Sudah Tiada. Bunkface yang merupakan pemuzik berasal dari Klang, Selangor pula memperdengar rangkaian lagu seperti Bunk Anthem, Prom Queen, Soldier, Escape Dance dan Through My Windows.

Sebelum tirai Hujan Vs Bunkface yang menjadi konsert berbayar sebanyak RM50 itu tamat kurang lima minit pukul 11 malam, peminat menikmati persembahan mantap gandingan Hujan dan Bunkface melontarkan medley Situasi dan Ludah Amerika (Hujan). - FAIZAL SAHARUNI