Sivachandran juara NS Masters


SIVACHANDRAN (tengah) bersama Tuanku Muhriz (dua dari kanan) dan kenamaan lain selepas berakhirnya kejohanan semalam.


HUJAN di penghujung aksi tidak menjejaskan aksi mantap pemain profesional negara, S. Sivachandran yang menepati ramalan untuk juara Kejohanan Golf Jemputan Negeri Sembilan Masters 2010.

Kejohanan bernilai RM500,000 itu berakhir di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) semalam.

Catatan tiga bawah par 69 untuk jumlah keseluruhan 18 bawah par 270 dengan kelebihan 12 pukulan ternyata sukar digugat oleh 61 pemain lain buat Sivachandran muncul pemain tempatan pertama merangkul gelaran juara pada kejohanan yang bermula sejak 2005.

Sejak dari pusingan awal hingga ke akhir, Sivachandran muncul pendahulu dengan corak permainan paling konsisten dan sukar ditandingi oleh pemain lain bagi membolehkan juara Kejohanan Golf Klasik KRPM, Mei lalu itu membawa pulang hadiah wang tunai RM78,500.

Hadiah tersebut tidak termasuk ganjaran RM10,000 yang dijanjikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada mana-mana pemain profesional negara yang muncul pemenang kejohanan edisi keenam tahun ini.

Paling menceriakan bintang handalan negara itu apabila catatan 18 bawah par 270 merupakan rekod baru kejohanan sejak bermula pada 2005.

Kejayaan itu membolehkan Sivachandran memahatkan nama selaku juara bersama pemenang terdahulu iaitu Toshiyuki Wasa dari Jepun (2005), M. Murugiah dari Singapura (2006), Juvic Pagunsan (2007), Benjie Magada (2008) kedua-dua dari Filipina dan Lam Chih Bing dari Singapura (2009).

Dua lagi pemain negara, Akhmal Tarmizee Mohd. Nazari dan Iain Steel pula masing-masing terikat dengan enam bawah par 282 bersama-sama juara tahun lalu, Lam Chih Bing dari Singapura untuk menduduki tempat kedua.

Ketiga-tiga pemain tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai RM36,250.

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawar.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Kapten SIGC, Datuk Mohd. Yaacob Mohd. Kassim.

Pada majlis tersebut juga, Mohamad turut menyerahkan cek RM10,000 kepada Sivachandran seperti yang dijanjikan sebelum kejohanan bermula.

Sementara itu, Airil Rizman Zahari yang juga bekas juara Terbuka Pakistan 2007 bersama R. Nachimuthu dan T.J Lim dari Korea menduduki tempat kelima apabila masing-masing terikat dengan lima bawah par 283.

Dalam aksi pusingan terakhir, Sivachandran konsisten dengan catatan tiga bawah par 69 apabila membenam empat birdie di lubang tiga, empat, sembilan dan 12 berbanding hanya satu bogey di lubang lima.

"Saya gembira menjadi juara lebih-lebih lagi sebagai pemain tempatan pertama memenangi kejohanan ini. Catatan 18 bawah par 270 juga merupakan rekod peribadi saya dan yang terbaik pernah saya lakukan sejak mula menjadi pemain profesional pada 2006.

"Saya dapat mengekal corak permainan konsisten sejak dari hari pertama dibantu oleh pukulan drive yang cukup sempurna kerap berada di fairway dan ketika melakukan putting dari jarak 20 hingga 30 kaki," katanya.

Sivachandran yang baru mendirikan rumah tangga bulan lalu menjelaskan bahawa kemenangan ini adalah hadiah perkahwinannya yang amat berharga.

Tambah beliau, kejayaan itu menjadi suntikan semangat kepadanya untuk menambah koleksi kejuaraan apabila menyertai Terbuka Brunei dari 29 Julai hingga 1 Ogos ini dan Selangor Masters (4 hingga 7 Ogos).

"Tumpuan saya selepas ini adalah untuk mencatat keputusan terbaik di Terbuka Brunei dan Selangor Masters bagi memperbaiki kedudukan saya dalam senarai Order of Merit Jelajah Asia," ujarnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan penaja kejohanan. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada penaja-penaja saya Kelab Golf Seri Selangor, Asia Baru, CrestLink dan Titleist. Saya turut berterima kasih kepada kedi saya sepanjang kejohanan yang banyak membantu dalam pencapaian cemerlang saya."

Sementara itu, Akhmal Tarmizee yang menduduki tangga kedua pada sirkit Kejohanan Golf Pembangunan Asia gagal mengekalkan corak permainan mantap apabila empat birdie awal di lubang satu, tiga, empat dan lapan untuk mengumpul lapan bawah par pada satu ketika.

Namun, dua bogey berturut-turut di lubang lima dan enam melihat dia selesa dengan catatan enam bawah par.

Biarpun birdie menyusul di lubang 13 untuk tujuh bawah par tetapi catatan bogey di lubang 17 sekadar membolehkan dia berkongsi kedudukan di tempat kedua dengan dua pemain lain untuk menamatkan saingan dengan enam bawah par 282.

"Apa pun, saya berpuas hati dengan keputusan satu bawah par 71 hari ini (semalam). Sepatutnya saya boleh muncul naib juara berseorangan tetapi putting saya kurang kemas berbanding hari pertama dan ia telah menjadi penghalang terhadap impian saya," kata Akhmal yang menduduki ranking kedua dalam sirkit Kejo- hanan Golf Jelajah Pemba- ngunan Asia.