Kematangan Rentak Juara 2010


TERUJA dengan kemenangan mereka, E-6 bakal muncul dengan album sulung.


PERTANDINGAN Rentak Juara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baru masuk musim keempat mungkin dianggap sebagai masih hijau berbanding pelbagai program hiburan yang disajikan kepada penonton saban tahun.

Bagaimanapun, pertandingan pemuzik berkumpulan atau band sebenarnya sudah lama diterbitkan oleh RTM di sekitar tahun 70-an lagi yang ketika itu dikenali sebagai Juara Kugiran.

Malah beberapa kumpulan berbakat pada masa itu seperti Titiwangsa, De Westerlies, The Rezas, The Breeze, The Burglars, The Zurah, Suara Kilat, Teruna Ria dan The Wanderes turut dicungkil menerusi program berkenaan.

Beberapa dekad selepas itu RTM kembali dengan program serupa tetapi diberi nafas segar menerusi Rentak Juara : Rthym of Champions (RJROC) yang kali pertama diterbitkan pada 2004.

Walaupun diterbitkan dua tahun sekali ia tetap mendapat sambutan hangat dari penonton dan siapa yang tidak kenal kumpulan Thunderstorm, Gerhana Skacinta serta Disagree yang dilahirkan oleh program tersebut.

Rentak Juara 2010 yang berakhir Sabtu lalu itu sekali lagi memperkenalkan bakat baru dalam industri tanah air apabila kumpulan E-6 dijulang sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah RM200,000, sijil dan piala.

Pada pertandingan kali ini juga RTM mencipta sejarah apabila menawarkan hadiah paling tinggi kepada sang juara bagi menunjukkan prestij Rentak Juara yang tersendiri.

Persembahan para peserta ketika pertandingan akhir itu juga melihatkan kematangan selepas beberapa minggu berentap sesama sendiri dan terpaksa berhadapan dengan setiap sesi penyingkiran.

Pertandingan itu juga menonjolkan kelainan kerana semua peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pemuzik amatur perlu mencipta lagu sendiri untuk dipersembahkan.

Malah, pada konsert akhir itu kreativiti para peserta boleh dilihat dengan gimik persembahan dan juga pemilihan kostum yang dianggap menarik.

Konsert akhir tersebut juga berjalan lancar dengan pengacara juga lebih bersedia menunjukkan RTM belajar dari kesilapan dan mengambil iktibar dari kritikan sebelum ini.

Gabungan dua legenda Rock negara, Ramli Sarip dan Man Kidal turut mempunyai aura tersendiri ketika membuat persembahan dan membuatkan para penonton terus terpaku.

Peti suara koyak


KUMPULAN Brownies telah mencuba sebaik mungkin namun gagal meraih juara.


Seperti musim-musim sebelumnya pertandingan akhir Rentak Juara kali ini tetap meriah dengan setiap peserta berentap dan mempertaruhkan bakat masing-masing.

Malam itu gelaran juara berpihak kepada E-6 yang mempertaruhkan dua lagu ciptaan mereka iaitu Orang Areng dan Gipsy Terakhir.

Kumpulan anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur itu membawa pulang habuan bernilai RM200,000, sijil dan trofi.

Bagi vokalis utama kumpulan E-6, Mohd. Razali Amit, 38, dia tidak menyangka E-6 mampu meraih gelaran juara kerana terpaksa menanggung kesakitan setiap kali membuat persembahan.

"Sebenarnya sejak tahun 1995 peti suara saya koyak dan menyebabkan saya berasa sakit setiap kali membuat persembahan. Doktor menasihati saya supaya melakukan pembedahan pada tahun 2000 tetapi saya enggan berbuat demikian kerana enggan kehilangan suara dan terus menyanyi walaupun terpaksa menangung kesakitan," katanya.

Tambahnya, kejayaan itu merupakan sesuatu yang bermakna buat diri dan keluarganya yang sebelum ini banyak berkorban.

"Sebelum ini saya terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak dapat membahagikan masa kepada keluarga dan anak-anak. Bagaimanapun, semua pengorbanan ini sangat berbaloi dan saya berharap mereka terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada saya," ujarnya yang sudah berkecimpung selama 18 tahun dalam bidang muzik.

Menurutnya, wang hasil kemenangan tersebut akan dibahagikan sesama mereka dan selebihnya mereka merancang untuk menerbitkan album tidak lama lagi.

Sementara, naib juara dengan hadiah wang tunai RM50,000 diraih oleh kumpulan Enava yang gembira dengan kemenangan mereka sungguhpun hanya berada di tempat kedua.

Seorang ahli kumpulan Enava, Along berkata, tujuan mereka menyertai pertandingan itu adalah untuk mencari pengalaman di samping mempromosikan muzik mereka.

"Walaupun tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi ketika menyertai pertandingan ini tetapi ia memberi pulangan yang tidak disangka-sangka. Mungkin selepas ini kami merancang untuk muncul dengan album pertama selepas lebih lima tahun membuat persembahan di kelab-kelab malam," jelasnya.

Sementara, kumpulan Anthem pula diumumkan sebagai kumpulan paling popular yang dipilih melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penonton sekali gus membawa pulang hadiah RM30,000, sijil dan trofi.

Kumpulan The Rough Mixture juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila lagu ciptaan mereka yang berjudul Penyesalan dipilih sebagai lagu terbaik dan layak menerima hadiah RM20,000, sijil serta trofi.

Kini pemenangnya telah ditentukan tetapi persoalannya mampukah sang juara itu mempertahankan gelaran itu dalam industri hiburan tanah air.