2 pelajar maut dalam kemalangan berasingan

09/08/2010 6:31pm

KUANTAN - Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Temerloh semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mahasiswa Mohamad Assuandie Mohamad Aspar, 22, maut apabila motosikal yang ditungganinya berlanggar dengan sebuah kereta di KM 11 Jalan Kuantan-Gambang berhampiran lampu isyarat Taman Tas dekat sini pada pukul 7.30 malam tadi.

Mangsa, yang berasal dari Kampung Kurnia Bukit Pekan, Kampar, Perak, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat kecederaan parah di kepala, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian di Temerloh katanya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang, Zazleen Zulkasawari Zulkefely, 15, meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganinya bersama rakan sekolah berusia 16 tahun melanggar sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux di KM 122, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur. - Bernama