Cerita raya Coco, GSM & Ernie


ERNIE bakal mengagihkan duit raya kepada saudara-maranya pada raya kali ini.


SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri pastinya memberikan pengalaman yang baru bagi setiap orang terutamanya mereka yang bergelar artis. Bila tiba hari raya sudah pasti ada perkara atau suasana yang dinantikan dan adakalanya mungkin akan membuatkan seseorang itu menitiskan airmata kerana suasana itu tidak dapat dirasakan lagi pada hari raya kali ini.

Bagi tiga artis FMC Music Sdn. Bhd., Coco, Grey Sky Morning (GSM) dan Juara Bintang RTM 2009, Ernie juga mempunyai cerita menarik berkaitan raya.

Namun, tidak semua kenangan raya itu indah. Bagi vokalis Coco, Nine atau nama sebenarnya, Zulqarnain Jaafar, dia menyambut raya pada kali ini dengan suasana yang sangat sederhana kerana abang sulung yang disayangi telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

Menurutnya, abangnya itu meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah hati.

"Sebelum ini kalau masa raya, abanglah yang menggantikan ibu dan bapa yang telah meninggal dunia dari segi menyediakan segala persiapan. Bila abang dah tiada ini suasana pasti berbeza," katanya pada sesi fotografi di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Nine, apa yang dia impikan setiap kali pagi raya ialah ayam masak merah yang dihasilkan oleh ibunya.

"Dulu masa emak masih ada, ayam masak merah itu adalah makanan wajib dimakan pada pagi raya," ujarnya yang akan pulang berhari raya di Alor Star, Kedah.

Selepas kira-kira empat tahun menyepi, Coco yang dianggotai oleh Nine, AG dan Alle telah muncul dengan album baru berjudul Hey You awal bulan enam. "Album Hey You itu merupakan hasil sepenuhnya daripada kumpulan Coco sendiri," katanya.

Nine yang bakal pulang berhari raya selama tujuh hari memberitahu sepanjang bulan puasa ini, selain mempromosi album Hey You, dia dan anggota Coco juga turut membuat persediaan untuk album akan datang.


COCO dan Grey Sky Morning masing-masing mempunyai kisah di hari raya yang tersendiri.


Grey Sky Morning beraya di rumah peminat

Lain pula dengan kumpulan Grey Sky Morning (GSM) yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah grup underground. Mereka nyata mempunyai cara tersendiri untuk menghargai peminat-peminat yang sentiasa memberikan sokongan dari dahulu sehingga sekarang. Pada sesi fotografi kali ini hanya Ejal, Ojek dan Iwan yang dapat hadir.

Ejal atau nama sebenarnya Mohd Hafizal Mohd Nasir yang merupakan vokalis kumpulan itu berkata, GSM telah menjadikan amalan berhari raya di rumah peminat sejak tahun lepas lagi.

"Mungkin kalau sebelum ini peminat yang datang rumah artis tetapi kami adalah kumpulan yang terdiri daripada lima anggota, justeru peminat mungkin keliru mahu datang beraya ke rumah anggota GSM yang mana. Jadi kami satu kumpulan sepakat bila hari raya kami yang akan berkunjung ke rumah peminat kami," ujarnya.

Tambahnya, "Kami akan pergi beraya di rumah peminat setia yang menyokong kami dari dahulu sampailah sekarang.

"Pada hari raya keempat atau kelima kami semua akan berkumpul di Kuala Lumpur dan memulakan aktiviti beraya di rumah peminat. Selain Ejal, GSM dianggotai Ojek, Iwan, Eri dan Yatt itu bakal muncul dengan single terbaru yang berlainan sedikit daripada konsep asal mereka.

Menurut Ejal, GSM mahu mencuba lagu rentak perlahan pula.

"Kami akan mengeluarkan satu single selepas raya ini untuk tengok peminat boleh terima atau tidak lagu itu. Kami harus mencuba untuk membawakan kelainan baru dapat tahu hasilnya macam mana," katanya.

Ernie tungga drama raya


TIGA anggota Grey Sky Morning, dari kiri, Iwan, Ejak dan Ojek mempunyai cara yang unik bagi mendekatkan diri dengan peminat setiap kali menjelang raya.


Juara Bintang RTM edisi 2009, Ernie pula akan menyambut hari raya kali ini sebagai seorang artis untuk kali kedua.

Ketika ditanya apa yang paling ditunggu-tunggu pada hari raya kali ini, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri mengakui dia tidak sabar menunggu suasana di pagi raya ketika waktu memohon maaf antara satu sama lain.

"Saya tak sabar nak rasa suasana itu, walaupun ada kesedihannya tetapi seronok kerana ketika itu dapat meminta maaf antara satu sama lain," ceritanya yang akan beraya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Tambahnya, raya tahun lepas merupakan tahun pertama bagi dirinya untuk memberikan duit raya kepada saudara terdekat. Tradisi itu akan diteruskan Ernie pada tahun ini.

"Jika sebelum ini saya yang dapat duit raya tetapi kali ini saya pula yang perlu memberikan duit raya. Setelah dihitung, ada 21 orang saudara-mara yang lebih muda usia daripada saya yang akan mendapat duit raya yang pertama nanti," selorohnya sambil ketawa.

Ernie yang kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sudah selesai merakamkan dua lagu berjudul Rindu Bukan Teman dan Intan.

Selepas raya nanti, Ernie mungkin akan menyambung bagi rakaman lagu-lagu lain untuk persediaan menghasilkan album penuh selepas ini.