15 rumah musnah dalam kebakaran

07/09/2010 8:23pm

TAWAU – Sekurang-kurangnya 15 rumah yang didiami 80 penghuni musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pasir Putih, dekat sini hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Tawau, Albert Jiran Tanjung berkata, dua kereta bomba dan tiga kenderaan sokongan dengan 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 11.24 pagi.

"Ketika anggota bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak dengan kuat, namun ia dapat dikawal daripada merebak ke kawasan lain pada pukul 12.34 tengahari,” katanya kepada pemberita di sini.

Albert berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala jumlah kerugian belum diketahui. – Bernama