Persiapan atlet berjalan lancar


ZOLKPLES yakin dua pingat emas negara diperoleh menerusi acara skuasy.


KOSMO!: Apa khabar Datuk? Terlebih dahulu boleh ceritakan serba sedikit penglibatan Datuk dalam sejarah Sukan Asia.

ZOLKPLES: Khabar baik. Sebelum ini ketika kita menyertai Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan saya bertindak sebagai ketua urusetia dan kemudian pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar saya menjadi Timbalan CDM.

Jadi kali ini untuk Sukan Asia 2010 di Guangzhou saya diberi tugas sebagai ketua kontinjen negara selain tugas hakiki saya selaku Ketua Pengarah MSN.

Kini hanya tinggal dua bulan saja lagi sebelum temasya Sukan Asia 2010 berlangsung di Guangzhou. Boleh Datuk ceritakan sedikit persiapan semasa kontinjen negara?

Setakat ini persiapan berjalan dengan lancar terutama Program Cabaran 2010 yang telah kita mulakan sebaik berakhir Sukan Asia 2006 di Doha. Program ini sebenarnya untuk Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2010 kerana tahun ini kedua-dua temasya ini berlangsung selang sebulan berbanding bulan Mac dan November pada 2006.

Jadi menjelang fasa terakhir persiapan ketika ini, Alhamdulillah program persediaan ini telah berjalan dengan cukup lancar sekali dan pada masa yang sama prestasi atlet kita juga agak memuaskan.

Tapi Datuk, pasti terdapat juga beberapa masalah kecil yang dihadapi ke arah Sukan Asia 2010?

Memang program Cabaran 2010 ini tidak menghadapi masalah besar kecuali terdapat seorang dua atlet yang berada dalam kumpulan sasaran pingat mengalami kecederaan. Jadi hal ini mungkin menjejaskan sedikit sasaran kita. Cuma kita berharap atlet-atlet lain pula dapat menampung semula pingat yang kita sasarkan.

Bagi saya Sukan Asia 2010 tiada kesan sangat tetapi untuk Sukan Komanwel 2010 agak terasa selepas Wong Pei Tty cedera kerana dia merupakan sasaran pingat emas badminton acara beregu wanita dan beregu campuran. Tapi tiada sasaran kepadanya untuk Sukan Asia 2010.

Jika ada pun yang terjejas untuk sasaran pingat Sukan Asia 2010 ialah menerusi Lim Yoke Wai dalam sukan karate dan juga Romzi Mohamad bagi sukan pelayaran. Atlet-atlet lain Alhamdulillah semuanya berada pada prestasi yang baik.

Jadi boleh Datuk jelaskan serba sedikit acara sukan yang menjadi sasaran utama untuk kita memungut pingat emas di Sukan Asia 2010?

Sudah tentu sukan skuasy yang kita anggap dua pingat emas dalam genggaman bagi acara individu menerusi Datuk Nicol Ann David dan Azlan Iskandar. Hanya kecederaan saya boleh menghalang mereka daripada tercicir pingat emas. Jika kemerosotan prestasi, saya tak rasa ia akan berlaku dalam tempoh dua bulan ini.

Apa yang menarik, Sukan Asia kali ini menawarkan empat pingat emas dengan dua pingat lagi ditawarkan dalam acara berpasukan. Jadi kita perlu beri tumpuan lebih kepada Pakistan untuk berpasukan lelaki. Kita perlu kutip dua mata menerusi Azlan dan Ong Beng Hee.

Untuk berpasukan wanita pula, Hong Kong masih lagi hebat jika dilihat di atas kertas. Memang Nicol kita sudah pasti boleh memungut satu mata, cuma satu mata lagi kita perlu kutip sama ada menerusi Low Wee Wern atau Delia Arnold. Harap prestasi mereka meningkat dalam tempoh dua bulan ini.

Selain skuasy, bagaimana pula sasaran yang diletakkan terhadap sukan boling yang menjadi penyumbang utama pingat emas di Doha pada 2006?

Memang boling sentiasa menjadi penyumbang pingat pada Sukan Asia. Di Doha saja ia menyumbang tiga pingat emas. Jika dahulu, pemain wanita kita saja yang menyerlah tetapi kini pemain lelaki juga mampu. Baru-baru ini mereka menang pingat perak pada Kejohanan Dunia menerusi Muhd Nur Aiman dan Alex Liew.

Jadi ini sepatutnya menjadi pendorong buat skuad lelaki kita untuk terus mengekalkan prestasi kerana kedua-dua mereka bukan sasaran utama kita berbanding Zulmazran Zulkifli dan Adrian Ang. Bagi wanita pula kita ada ramai pemain seperti Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Zatil Iman Abdul Ghani dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi. Nak pilih tiga pemain bukannya mudah.

Tapi yang membuatkan sukan boling ini istimewa, ia bergantung kepada persembahan kita pada hari pertandingan itu nanti. Siapa-siapa pun boleh menang. Bagi Sukan Asia ini, Korea Selatan, Singapura dan Filipina semuanya memiliki peluang seimbang untuk menang. Harap kita dapat buat yang terbaik di Guangzhou nanti.

Bagaimana pula dengan sukan badminton. Situasi terkini menyaksikan Datuk Lee Chong Wei dilanda kecederaan. Adakah ia menjejaskan sasaran kita?

Bagi badminton, lebih mudah untuk kita menang tiga atau empat pingat emas pada Sukan Komanwel berbanding satu pingat pada Sukan Asia. Sewaktu di Doha, kita menang satu pingat emas menerusi Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang pada masa itu baru saja bergandingan. Bagi acara perseorangan lelaki, kita masih harap Chong Wei dapat segera pulih.

Memang bagi sukan seperti badminton, basikal dan skuasy, ia agak mencabar kerana atlet kita terpaksa beraksi dua kejohanan secara berturut-turut iaitu Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober dan Sukan Asia di Guangzhou pada November.

Jadi untuk Sukan Asia, selain acara perseorangan lelaki, kita harap Koo-Tan terus mengekalkan prestasi terbaik mereka ketika ini. Pasangan China, Korea Selatan, Indonesia dan Jepun juga bagus. Tapi saya cukup berharap badminton dapat menyumbang pingat emas di Guangzhou nanti.

Sukan berbasikal pula bagaimana Datuk? Kita memiliki jaguh-jaguh terutama dalam acara trek ketika ini. Apakah sandaran buat mereka pada Sukan Asia 2010?

Bagi acara basikal, kita lama dahulu pernah menang pingat emas semasa zaman Ng Joo Ngan dan Daud Ibrahim (era 1970-an). Selepas itu memang lama kita tak menang pingat emas. Tapi kebelakangan ini atlet berbasikal kita terutama dalam acara trek sudah bertaraf dunia.

Cuma Sukan Asia ini berbeza sedikit berbanding kejohanan sirkit yang mereka sertai. Biarpun kita mungkin berada dalam ranking dunia untuk acara keirin dan pecut, semua negara akan menghantar pelumba terbaik mereka. Jika prestasi kita baik pada hari kejohanan nanti, mungkin tiga pingat emas boleh diperolehi. Tapi saingan sengit dijangka akan hadir daripada pelumba Jepun dan China.

Saya harap latihan fasa terakhir di Melbourne, Australia ketika ini dapat meningkatkan prestasi para pelumba kita. Walaupun mereka turut akan beraksi pada Sukan Komanwel 2010, tapi tumpuan utama adalah untuk Sukan Asia 2010.

Bagaimana pula dengan sukan-sukan lain Datuk?

Kita juga meletakkan sasaran pingat emas pada acara wusyu. Di Doha kita menang satu pingat emas menerusi Hai Fong Ying. Tapi kini kita ada juga Diana Bong dan Loh Jack Chang yang mampu menyumbang pingat. Cuma masalah pada wusyu, atlet China memang berada dalam kelas tersendiri.

Di Doha, daripada enam pingat emas yang ditawarkan, kita berjaya curi satu. Jadi kali ini lapan pingat emas ditawarkan dan harap sekurang-kurangnya sebutir pingat emas dapat kita kekalkan berdasarkan pencapaian baik mereka pada Sukan SEA 2009 dengan meraih tiga pingat emas. Selain itu juga, harap sukan lain seperti karate dan pelayaran turut mampu menyumbang pingat emas di Guangzhou nanti.

Jadi secara keseluruhan, apakah sasaran rasmi jumlah pingat emas kita pada Sukan Asia 2010?

Sasaran kita ialah untuk memperbaiki prestasi terbaik dalam sejarah Sukan Asia seperti dicatat pada 2006 di Doha iaitu dengan lapan pingat emas. Jadi kita harap dapat sekurang-kurangnya sembilan pingat emas di Guangzhou nanti. Kita memang letak sasaran 10 pingat emas tetapi jika menang sembilan pun sudah memadai untuk kita memperbaiki rekod sebelum ini.

Harap sukan seperti badminton dan boling menjadi penyumbang utama selain skuasy yang saya jangka memang pingat emas dalam genggaman kita.

Bagaimana pula dengan sukan lain yang tidak disasarkan pingat emas?

Kita akan menghantar sejumlah 346 atlet ke Sukan Asia 2010 berserta 105 pegawai dan jurulatih. Daripada jumlah itu, 210 atlet kategori A iaitu mereka yang mendapat tempat ketiga atau layak ke separuh akhir pada temasya sebelum ini. Jadi mereka ini mampu menang pingat. 201 atlet ini termasuklah acara berpasukan seperti hoki.

Baki 136 atlet lagi termasuk dalam kategori B iaitu jika mengikut prestasi memang tak mampu meraih pingat. Mereka ini lebih kepada pendedahan selain mungkin dapat mencipta kejutan.

Sesetengah sukan seperti bola tampar pantai, catur, kabadi, kriket, ragbi dan triatlon yang tiada dalam program Cabaran 2010 pula kita hantar tetapi tidak meletakkan harapan tinggi untuk mereka meraih pingat.

Selain 10 pingat emas yang disasarkan tadi, sukan-sukan lain yang mampu meraih pingat perak atau gangsa termasuklah acara terjun, equestrian, gimrama, hoki walaupun kita mahukan pingat emas untuk layak ke Sukan Olimpik 2012, memanah, menembak, olahraga dan juga sepak takraw. Di samping itu, taekwondo dan tinju juga mungkin mampu mempamerkan prestasi terbaik. Sasaran kita ialah 15 hinga 17 pingat perak dan 10 hingga 15 pingat gangsa. Semua ini kita buat berdasarkan penilaian prestasi semasa atlet kita.

Bagi sukan subjektif pula, adalah ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan sasaran pingat kita andai berlaku keputusan 'bias' daripada pengadil?

Sukan subjektif juga bergantung kepada prestasi semasa hari pertandingan. Tapi saya yakin masalah 'bias' pada Sukan Asia ini tidak seteruk seperti pada Sukan SEA. Cuma di Doha pada 2006, Sazali Samad dinafikan pingat emas walaupun sebulan sebelum itu beliau menjadi juara dunia di Republik Czech tetapi tewas kepada atlet UAE di Sukan Asia. Tapi satu acara itu saja yang nampak jelas berat sebelah.

Sukan lain seperti terjun, biarpun kita mendominasi Sukan SEA 2009 dengan memenangi tujuh atau lapan pingat emas, pada Sukan Asia kita perlu bersaing dengan atlet China yang ternyata bertaraf Sukan Olimpik. Jadi seperti sukan wusyu, mereka ini pada kelas tersendiri. Jika kita berjaya meraih pingat perak pun, ia sudah cukup baik. Kecuali pengadil kena 'bias' kepada kita untuk melihat kita menewaskan atlet China. Jadi jika kita berjaya menang pingat perak di Sukan Asia, maka peluang untuk kita meraih pingat perak di Sukan Olimpik 2012 juga tampak cerah.

Akhir sekali, apakah harapan dan impian Datuk selaku CDM ke Sukan Asia 2010?

Sebagai CDM Sukan Asia 2010 dan juga Ketua Pengarah MSN, saya sentiasa berharap agar atlet kita terus berusaha gigih meningkatkan prestasi mereka, memberi sepenuh tumpuan dalam latihan dan pertandingan serta mendengar nasihat pakar-pakar terutama daripada jurulatih, pakar sains sukan dan jurulatih mental. Selain itu, jaga juga pemakanan dan kesihatan.

Aspek-aspek lain, serahkan saja kepada kami untuk memastikan semua bantuan dan keperluan dapat kami sediakan. Kita mahu melihat sukan sebagai penyumbang kepada imej negara selain membantu mencapai matlamat dan wawasan negara. Kita juga mahu menjadikan sukan sebagai salah satu agenda penting dalam arus pembangunan negara.