Cemerlang walaupun kahwin muda


DARI kiri, Mohd. Fadzli, Baridah, Rozita dan Mohd. Faiza selepas Majlis Konvokesyen UTM di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Siapa kata tidak boleh cemerlang dalam akademik walau pun berkahwin pada usia muda?

Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Yazdaan Mohammad Aris, 23, membuktikan tanggapan itu salah apabila menerima Anugerah Pingat Jaya Cemerlang pada Majlis Konvokesyen UTM ke-45 di Skudai semalam.

Muhammad Yazdaan yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum) berkata, isterinya, Syamimi Samuin, 23, yang dikahwininya tahun lalu banyak memberi dorongan kepadanya.

Katanya, dia mengenali isterinya ketika sama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi Perak dan sering berkongsi idea.

"Asalkan bijak membahagikan masa, kahwin pada usia muda tidak menjadi masalah.

"Isteri saya yang juga graduan Universiti Sains Malaysia sering berkongsi perkara ilmiah di rumah," katanya.

Anugerah Pingat Jaya Cemerlang dianugerahkan kepada graduan yang cemerlang dalam bidang selain akademik.

Seramai 5,482 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada konvokesyen tiga hari itu.

Majlis disempurnakan oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Sementara itu, dua pasangan suami isteri, Mohd. Fadzli Merican Md. Affendi Merican, 29, dan Baridah Ahmad, 28, serta Mohd. Faiza Abdullah, 32, dan Rozita Jaafar, 32, juga bertuah dapat menggenggam ijazah menerusi Program Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSpace).

Kesemua mereka lulus cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.00.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.