Mas Diana tauke bengkel kereta


MESKIPUN ramai yang kurang yakin dengan kemampuan Wan Mas Diana, namun dia membuktikan kebolehannya setanding lelaki.


JANGAN pandang wanita sebelah mata. Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk sesetengah individu yang memandang remeh kebolehan wanita yang menggalas tugas yang dimonopoli oleh golongan lelaki.

Bukan tidak percaya, tetapi mereka kurang yakin dengan kebolehan wanita yang lazimnya sesuai dengan kerja-kerja yang melibatkan penelitian.

Namun, kepada pemilik bengkel mengecat kereta, Wan Mas Diana Mezlan, 28, beliau melihat tohmahan dan sikap memandang rendah terhadap kebolehan wanita itu sebagai satu cabaran.

Walaupun tidak ramai golongan wanita yang berani bergelumang dengan kerja-kerja di bengkel kereta, kepada Wan Mas kerjaya itu sudah sebati dengan dirinya.

“Saya sudah biasa dengan pandangan orang tentang kebolehan saya menjalankan perniagaan ini tapi semangat saya kuat untuk meneruskannya.

Kuat semangat

“Buat apa mendengar pandangan orang lain kerana hanya kita yang tahu kebolehan diri dan orang di luar hanya pandai bercakap sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” tegasnya.


WAN MAS DIANA menganggap tohmahan terhadap kerjaya pilihannya sebagai satu cabaran.


Wan Mas Diana menambah, sokongan ahli keluarga juga penting dalam menentukan hala tuju kerjaya anak-anak.

“Ibu bapa saya sendiri pada mulanya sukar nak terima kerjaya pilihan saya ini, namun melihatkan kesungguhan saya lama-kelamaan mereka rasa seronok dan sangat responsif,” katanya yang pernah bercita-cita membuka bengkel membaiki kereta kerana minat yang mendalam pada enjin.

Namun atas beberapa faktor, beliau menjurus kepada bidang mengecat dan mengetuk kereta.

“Mula-mula saya ambil kursus berkaitan automotif di Giat Mara, Jitra, Kedah, namun disebabkan kursus mengenai enjin agak sukar jadi saya beralih kepada bidang mengecat kereta,” katanya.

Beliau juga pernah melanjutkan pelajaran di peringkat sijil setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

Wan Mas Diana yang baru sahaja menamatkan pelajaran dalam bidang Mekanikal Plastik di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra mengakui mengalami kesukaran mendapat kerja menyebabkannya beliau meneruskan pelajaran di Giat Mara tersebut.

“Setelah tamat pengajian pada tahun 2002, saya sukar mendapat pekerjaan di kilang-kilang kerana kebanyakan majikan tidak menerima juruteknik wanita.

“Saya mengambil keputusan untuk memasuki Giat Mara dan mendalami bidang automotif sebelum terjun ke bidang mengecat,” katanya.


WAN MAS DIANA melakukan kerja-kerja baik pulih dan mengecat kenderaan di bengkelnya di Kubang Pasu, Jitra, Kedah.


Tambah beliau, sejak mengusahakan bengkel mengecat kenderaan yang disewakan oleh pihak Giat Mara awal tahun lalu, beliau bersama dua orang rakan mendapati permintaan untuk mengecat dan mengimpal kenderaan mendapat sambutan menggalakkan.

Pelanggan puas hati

“Mula-mula ramai pelanggan tidak percaya dengan kemampuan dan kebolehan saya kerana saya seorang perempuan, tapi setelah melihat hasil kerja, mereka berpuas hati malah permintaan mengecat dan mengimpal juga semakin tinggi,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Katanya, ketika menyatakan hasrat untuk menceburi bidang tersebut, beliau mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun mereka akur setelah melihat kemampuannya mengusahakan bengkel sendiri.

“Pada mulanya mereka juga tidak setuju dan sukar untuk terima kerja yang saya buat tapi lama-kelamaan ia jadi perkara biasa,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapat khidmat mengecat dan mengimpal boleh menghubungi Wan Mas Diana di talian 016-4924 842 atau datang terus ke bengkelnya yang terletak di Giat Mara Prima, Kubang Pasu, Jitra, Kedah.