Kereta Mercedes buatan Pekan tiada masalah

KUALA LUMPUR – Pemilik kereta Mercedes Benz model C-Class dan E-Class di negara ini boleh menarik nafas lega apabila Mercedes-Benz (Malaysia) semalam mengesahkan hampir kesemua kenderaan bagi kedua-dua model itu tidak terlibat dalam masalah stereng.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz (Malaysia), Peter Honegg berkata, semua kereta model C-Class dan E-Class yang dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang tidak mempunyai masalah tersebut.

“Di Malaysia, kenderaan yang terlibat hanya 38 buah kereta model E-Class Cabriolet yang dipasang dan diimport dari Jerman.

“Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan tersebut telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai masalah ini serta diminta menghantar kereta masing-masing ke pusat servis,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan Mercedes-Benz mengumumkan penarikan semula 85,000 unit model C-Class 2010 dan model E-Class Coupe serta Cabriolet ekoran masalah stereng.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.