Debaran 1 November Chad, Deen


GANDINGAN baru. Dari kiri: Chad, Deen, Kieran, Ikhwan dan Tinie menjadi tunggak Hot FM.


TUJUAN asalnya adalah untuk mencari teman yang boleh digandingkan bersama Ikhwan pada slot Hot FM Zon yang ke udara pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Namun, kredibiliti dua daripada enam finalisnya yang dipilih menerusi kempen Ikhwan dan Dot Dot Dot membolehkan mereka mengisi ruang tersebut sendiri tanpa Ikhwan. Mereka yang dimaksudkan, Chad dan Deen bakal ke udara pada 1 November nanti.

Pada majlis memperkenalkan mereka berdua kepada media, Pengurus Rangkaian Program Hot FM, Anida Mohd Tahrim menjelaskan mengapa mereka menjadi pilihan stesen radio tersebut. Chad memiliki pengalaman di sebuah stesen kerajaan dan Deen pula pernah menyumbang suara untuk iklan.

"Chad sudah ada pengalaman dengan radio tetapi apa yang perlu dilakukan adalah mengasah dia menjadi seorang juruhebah komersial. Deen pula sering menyumbang suaranya dalam iklan. Pada mulanya kami memang inginkan seorang sahaja juruhebah baru.

"Namun, Deen berjaya menarik perhatian kami walaupun hanya pada sesi uji bakat. Meskipun, dia bukan pemenang, kami membuat keputusan untuk mengambil dia. Jadi dengan dua bakat baru, kami telah menempatkan mereka pada slot malam."

Kempen tersebut dijalankan sekitar pertengahan Ogos dan berakhir dua bulan kemudian. Disebabkan slot Ikhwan digantikan oleh Chad dan Deen, dia bersama Kieran akan menghiburkan pendengar di sebelah petang dari pukul 4 petang hingga 8 malam.

"Sudah lima tahun Ikhwan bekerja di Hot FM dan kami percaya dia sudah cukup matang untuk mengendalikan slot petang itu. Lagipun penukaran itu boleh memberikan cabaran kepada Ikhwan. Chad dan Deen pula sudah memiliki peminat mereka.


HARAPAN baru Hot FM, Chad dan Deen.


"Semasa menjalankan kempen tersebut, mereka sudah mengumpul peminat di laman sosial Facebook. Jadi kami percaya mereka mempunyai kredibiliti untuk mengendalikan slot malam," tambah Anida.

Selain memasukkan dua juruhebah baru, Hot FM juga akan mengemas kini isi kandungan programnya bagi menambah baik. Ia dilakukan selaras dengan kemasukkan kedua-dua pengacara tersebut.

"Sebenarnya ia secara kebetulan. Kami memang ada perancangan untuk memperbaiki kandungan dan memandangkan mereka berdua masuk pada 1 November, kami membuat keputusan untuk menukar intipati pada tarikh sama," jelas Anida.

Diberi masa tiga minggu untuk berlatih, Chad dan Deen bagaimanapun akan mulakan tugasan bermula 15 Oktober. Dalam jangkamasa itu sebelum bersiaran pada 1 November, mereka berdua akan menjalin keserasian bersama.

"Kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Jadi apabila kami memulakan latihan pada 15 Oktober, kami akan cuba mencari keserasian supaya dapat bersedia 100 peratus untuk pendengar Hot FM," kata Deen.

Walaupun mempunyai pengalaman, Chad bagaimanapun mengaku dirinya masih perlu banyak belajar. Lagipun skop pendengarnya kini lebih luas. "Dulu semasa menjadi penyampai radio kerajaan, jumlah pendengarnya tidak sebanyak ini. Jadi saya kini perlu belajar untuk menjadi juruhebah komersial," ujar Chad. - JESSABELL SOO