UMP cipta gula daripada habuk kayu


MIMI SAKINAH menunjukkan gula daripada habuk kayu ciptaannya di UMP, Jalan Gambang, Kuantan semalam.


KUANTAN - Seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini berjaya mencipta gula alternatif daripada habuk kayu khusus untuk pesakit diabetes.

Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim memberitahu, gula baru itu tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan dan boleh digunakan sebagai bahan makanan, ubat-ubatan dan kosmetik.

"Gula ciptaan saya ini adalah baik jika dibandingkan dengan gula alternatif untuk pesakit diabetes di pasaran yang dipercayai mengandungi bahan kimia aspartam yang boleh menyebabkan tumor otak.

"Berdasarkan penyelidikan selama tiga tahun, saya dapati semua jenis habuk kayu mampu menghasilkan gula tetapi buat masa ini gula yang dihasilkan hanya daripada habuk kayu jenis meranti dan cengal," katanya pada majlis meraikan kejayaan cemerlang penyelidik UMP di sini semalam.

Mimi Sakinah menyertai British Invention Show 2010 di London baru-baru ini.

Pada pameran di London itu, beliau dan dua lagi penyelidik UMP termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Dr. Zularisam Ab. Wahid berjaya mendapat pingat emas dalam kategori masing-masing pada pertandingan selama empat hari bermula 13 Oktober lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.