Sambung pengajian di luar negara




LIYANA Jasmay bersara? Itulah desas-desus terbaru mengenai pelakon comel Liyana Jasmay. Khabarnya dia akan menghentikan segala kegiatan seninya buat sementara waktu kerana mahu menyambung pelajaran di luar negara pada tahun 2012.

Peluang bertemu dengan figura genit itu pada sidang media teater Natrah di Istana Budaya, Khamis lalu tidak dilepaskan. Tidak menafikan mengenai berita tersebut, ujar Liyana perkara berkenaan masih lagi dalam perancangannya buat masa ini memandangkan dia perlu menamatkan pengajiannya pada peringkat diploma ketika ini.

“Hasrat untuk menyambung pengajian di luar negara hanya sekadar perancangan sahaja. Lagipun saya tidak mahu perbesarkan perkara ini kerana takut apa yang dirancang itu tidak menjadi kenyataan nanti.

“Tentang negara mana yang menjadi pilihan saya itu juga belum pasti. Sekarang ini saya perlu fokus terlebih dahulu pada pengajian saya yang akan tamat pada penghujung tahun hadapan,” ujar Liyana yang kini menuntut di Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya.

Tambahnya lagi, dia memilih untuk menyambung pelajaran di luar negara kerana mahu menimba lebih banyak lagi pengalaman dan akan mengambil jurusan yang berkaitan dalam bidang seni.

Menurutnya, jika perancangannya itu menjadi kenyataan hanya setahun sahaja tempoh yang diambil untuk menyambung pelajaran dan sekembalinya ke Malaysia nanti, dia akan menyambung semula karier lakonannya.

Sememangnya Liyana Jasmay merupakan antara pelakon muda berpotensi tinggi, sementelah keupayaannya menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) tahun lalu sedikit sebanyak merupakan jaminan kepada masa depannya yang cerah dalam industri lakonan negara.


BUKAN sebarang artis remaja. Biarpun kerjaya lakonannya memuncak, Liyana tetap mengutamakan pelajaran.


Namun, itu bukan bermaksud dia tidak perlu bekerja keras. Cuma, dia yang kini lebih jarang dilihat dalam filem atau TV tidak mahu terlalu tamak mendominasi skrin. Baginya, kualiti lebih penting berbanding kuantiti.

Bakal muncul menerusi Ponti Anak Remaja, Liyana pada sidang media drama bersiri itu baru-baru ini memberitahu dia menerima tawaran berlakon dalam naskhah tersebut kerana menganggap projek itu istimewa. “Sudah lama sebenarnya saya tidak muncul di kaca TV. Tapi, sebagai seorang pelakon, kita tidak boleh tamak.

“Kita perlu menjaga kualiti lakonan dan perlu banyak bersabar untuk menanti skrip bagus. Seperti penerimaan drama ini, selain menyukai wataknya, saya memikirkan peminat-peminat saya di Sabah, Sarawak serta Singapura.

“Mereka ada kalanya tidak dapat menonton filem saya kerana tidak diedarkan di sana. Jadi dengan medium TV, mereka boleh menyaksikan lakonan saya. Lagipun, kalau saya memainkan lima watak setahun, saya sendiri akan berasa tertekan untuk membezakan watak-watak itu,” jelas Liyana.

Pernah disaksikan di kaca TV menerusi karya Laila Sari dan KAMI, Liyana juga mahu melakonkan sebanyak boleh watak remaja semasa dirinya masih muda. Selain dekat dengan jiwanya, dia berpendapat seseorang pelakon itu perlu berlakon mengikut peningkatan usianya.

“Jika saya berusia 27 atau 28 tahun, saya tidak boleh lagi menjayakan watak sebagai pelajar. Ini kerana saya suka berlakon mengikut usia. Jangan terlalu tergesa-gesa untuk mengejar watak terlalu matang.

“Lebih baik saya belajar melalui pengalaman. Saya mahu menjadi seperti aktres terkenal Hollywood, Kirsten Dunst. Dia mula berlakon sejak kecil tetapi watak yang dipegangnya berkembang sejajar dengan usianya. Saya mahu mencontohi dia,” tambahnya yang berusia 22 tahun.

Gagal raih pencalonan

Watak sebagai Mia Sara Saadom menerusi filem Papadom telah membolehkan dirinya membawa pulang anugerah pada majlis FFM22. Namun, tahun ini, Liyana tidak tercalon langsung dalam festival tersebut.

Tidak kecewa, Liyana sendiri sedar bahawa wataknya dalam filem Niyang Rapik dan Duhai Si Pari Pari tidak mencabar. “Melihat senarai pelakon yang tercalon, saya akur dengan kehebatan mereka.

“Lagipun saya tidak ada impian untuk tercalon atau menang setiap tahun. Berbekalkan kedua-dua filem lakonan saya, ia tidak cukup mencabar untuk bertanding tahun ini,” ujar Liyana lagi.

Terlibat dengan produksi filem Senjakala, Liyana yang sedang dalam tempoh berehat daripada berlakon berkemungkinan besar akan terlibat dalam projek filem Papadom 2 pada tahun depan. Menyukai perjalanan tahun ini yang diisi penuh dengan kerja, Liyana juga sedang mencuri masa untuk kembali ke studio rakaman.


LIYANA mesra di sisi gandingannya dalam Ponti Anak Remaja, Nazim Othman.


“Sudah lama saya tidak berlatih menyanyi bersama kumpulan saya. Diharap sebelum saya mula berlakon, saya dapat mencuri masa untuk merakamkan lagu baru atau menghasilkan album untuk tahun depan,” katanya yang dilahirkan di Kuantan, Pahang.

Menyentuh mengenai karakter lakonannya dalam Ponti Anak Remaja, Liyana menjelmakan dirinya sebagai Ponti - puntianak yang berubah menjadi manusia. Melalui kehidupan sebagai pelajar, dia perlu meniru tingkah laku manusia untuk kelihatan normal.

Memiliki perwatakan ceria, Ponti sangat menyayangi kekasihnya, Hazuan. Pada masa yang sama, Ponti terpaksa berdepan dengan bekas kekasihnya, Kamal yang dikenalinya semasa hidup sebagai puntianak. Kamal nekad untuk memenangi hati Ponti.

“Menjadi manusia, Ponti sudah tidak mengingati kisah lampaunya kerana ingatannya telah dihapuskan. Walaupun Kamal cuba untuk mendapatkan Ponti semula, dia tetap menyanyi Hazuan,” terang Liyana.

Ponti Anak Remaja yang disiarkan setiap Isnin bermula 25 Oktober lepas, pukul 10 malam di saluran Astro Ria (Astro 104) diinspirasi daripada versi telefilemnya dengan judul sama.

Hanya dibikin dengan empat episod, versi bersiri itu bagaimanapun tidak melibatkan Lisa Surihani dan Farish Aziz yang terlibat dalam versi telefilemnya. “Drama ini sebaliknya dijayakan oleh Nazim Othman dan Azlee Khairi kerana Lisa dan Farish tidak dapat turut serta disebabkan jadual kerja mereka yang padat.”

Walaupun pengarahnya, Nizam Zakaria menafikan siri itu mempunyai persamaan seperti filem puntianak popular, Twilight, Liyana memberitahu ia sedikit sebanyak mempunyai persamaan.




“Saya sangat menyukai Twilight dan rasanya drama ini mempunyai persamaan dengan filem tersebut. Persamaan yang dimaksudkan adalah apabila saya perlu membuat pilihan antara dua orang lelaki,” ujar Liyana mengenai drama yang menyelitkan banyak elemen sains-fiksyen itu.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Batang Berjuntai, penceritaan serta kandungan drama itu dihasilkan selepas mendapatkan pandangan serta komen penonton di laman Twitter dan Facebook.

“Siri ini amat ringan dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan. Selain cinta, ia juga padat dengan komedi. Ia dekat dengan siri komedi seperti Friends dan Ugly Betty. Cuma yang ini ada kewujudan puntinak,” jelasnya lagi.