Tasha hilang rasa takut




TUTURNYA masih takut-takut. Masih terlalu kaku gerak tubuhnya untuk bermesra-mesra dalam ramah pertemuan pertama.

Dia terlalu baru untuk digelar dramatis tempatan tetapi kemunculannya dalam drama Dottie yang disiarkan di saluran Astro Ria menjadi langkah awal kepada Tasha untuk memilih lakonan sebagai hala tuju ketika ini.

Salamnya sebagai pendatang baru tidak begitu lama untuk bersambut isi perut industri.

Di tangan pengarah yang sedang mahu mengukir nama, Shoffi G, pemilik nama hakiki Natasha Sheila itu diberikan satu karakter.

Biarpun sekadar sebagai pelakon tambahan untuk watak Rafida iaitu gadis kampung berjiwa tulus yang sangat menghormati orang tua, di tangan Tasha karakter menerusi drama Ku Yakin Berlaku itu menjadi satu persembahan yang tidak cacat.

Watak itu menjadi antara watak kegemaran kepada pelakon utama drama itu, Wan Hanafisu.

"Saya baru berlakon dalam dua buah drama, terima kasih kepada Shoffi selaku pengarah yang banyak memberikan tunjuk ajar.

"Sebelum ini saya agak takut untuk memasuki dunia lakonan.

"Melalui pembacaan dan cuba bersikap positif untuk menerima apa juga risiko dalam hidup, saya sanggup mencuba," kata Tasha yang sedang sibuk di lokasi Mencari Jannah, juga di bawah telunjuk Shoffi selaku pengarah.

Dalam diari karier yang baru bermula itu, wanita muda kelahiran Ampang, Selangor tersebut juga sedang menunggu waktu untuk merasa sentuhan Kabir Bhatia menerusi siri drama terbaru bertajuk Gemilang.

Pada usia semuda 23 tahun, Tasha juga mencari ruang yang stabil untuk bergelar pelakon hari esok.

Sesuatu yang istimewa, Ku Yakin Berlaku menjadi persembahan Tasha mengisi hari kebesaran semua muslimin dan muslimat sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Mengisi saluran Oasis, Tasha memberikan sepenuh penghayatan sebagai Rafida, gadis bertudung, anak yatim piatu yang tidak kesampaian untuk dijodohkan dengan Arif, lakonan Pierre Andre.

"Babak menyuap makanan kepada nenek saya dalam cerita berkenaan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya. Begitu juga ketika pertengkaran antara ibu bapa Arif, Mak Munah (Khatijah Tan) dan Pak Osman (Wan Hanafisu) di dapur.

"Saya terasa sedih dengan watak Rafida yang bergantung hidup kepada keluarga itu tetapi menjadi punca pergaduhan mereka pula," katanya.