Kemunculan seketika Shamrin


ARWAH Shamrin (dua dari kiri) dan Ringgo (dua dari kanan) bersama dua lagi anggota Fotograf, Abol (kanan) dan Amran.


TIADA kata yang dapat diucap apabila mendapat khabar berita mengenai pemergian vokalis kumpulan Fotograf Mohd. Shamrin Abdul Samad yang kembali ke rahmatullah petang Khamis, kelmarin.

Sedang arwah mahu membuat kemunculan semula selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni dengan bernaung di bawah sayap Alibi Music Sdn. Bhd. peminatnya terpaksa melepaskan dirinya pergi untuk selama-lamanya.

Pemergian Shamrin pada usia 45 tahun, meninggalkan banyak memori terutamanya kepada peminat kumpulan Fotograf yang membesar dengan lagu-lagu seperti Di Alam Fana Cintamu dan Luka Seribu Rindu yang popular sekitar tahun 90-an.

Seminggu sebelum pemergian arwah, iaitu pada 3 November lepas, penulis bertemu dengannya yang hadir ke pejabat Kosmo! untuk sesi fotografi bersama penyanyi Farah Asyikin dengan tujuan mempromosikan lagu duet mereka iaitu Kamu Aku Satu.

Ketika itu, arwah mengakui sangat teruja untuk kembali ke persada seni selepas sekian lama tidak muncul dengan sebarang lagu baru dan publisiti.

Masih terngiang-ngiang di telinga kata-katanya yang mahu muncul dengan sebuah album baru bersama ahli kumpulan Fotograf meskipun ramai yang menganggap kumpulan yang pernah muncul dengan lima buah album itu telah berkubur.

Katanya: "Fotograf masih ada dan akan terus kekal selagi hayat di kandung badan, kumpulan kami tidak pernah bubar."

Semangat setia kawannya juga sangat tinggi, ini jelas kelihatan apabila arwah secara jujur mengatakan tiada siapa yang mampu menggantikan posisi pemain drum Fotograf, iaitu Ringgo yang kini sedang meringkuk di dalam penjara di Caracas, Venezuela setelah ditahan pada 25 November 2007 atas dakwaan menyeludup dadah jenis kokain seberat 4.6 kilogram dari Caracas, ke Madrid, Sepanyol.

Tuturnya: "Buat masa ini, saya buat kemunculan sebagai penyanyi solo kerana jika mahu keluar album sebagai Fotograf saya tetap akan menunggu Ringgo. Dia ahli kumpulan Fotograf dan kami sudah seperti adik-beradik, tidak adil untuk kami mengambil alih tempatnya dengan orang baru."

Arwah juga sempat memberitahu akan merakam lagu single terbaru berjudul Maafkan Pencinta, namun, hasratnya itu tidak berkesampaian.

Malah, ketika sesi fotografi berlangsung, arwah juga bercerita mengenai kehidupannya selepas Fotograf bukan lagi kumpulan yang berada dalam arus perdana populariti. Beritahunya, dia masih lagi seorang penyanyi sepenuh masa dan banyak membuat persembahan makan malam selain berbahagia dengan kehidupan berkeluarga bersama isteri dan tiga anaknya.

Bagaimanapun, Allah lebih menyayangi arwah dan menjemputnya ke rahmatullah pada pukul 6 petang Khamis lalu.

Sebelum itu, kira-kira pukul 12 tengah hari, arwah sempat mengadakan persembahan di Balai Seni Lukis Negara sempena pelancaran Duit Syiling Warisan P. Ramlee dengan mendendangkan lagu Bila Larut Malam.

Kemudian pada sebelah petangnya, arwah bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di padang bola Kelab Sultan Sulaiman dan rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru dan disahkan meninggal dunia di sana pada pukul 6 petang akibat jantungnya gagal berfungsi.

Arwah meninggalkan seorang balu Jasrizatul Akma Abu Saman, 29, yang kini sedang sarat mengandung sembilan bulan dan tiga orang anak iaitu Akmal Danish, 5, Akmal Syamin, 1, manakala Siti Najwa, 17, merupakan hasil perkongsian hidupnya bersama bekas isteri Noreda Mohd Razali, 45.

Sementara itu, penyanyi Farah Asyikin yang turut berada di hospital juga tidak dapat menahan kesedihan memandangkan dia merupakan rakan duet terakhir arwah Shamrin.

"Sepanjang mengenali arwah, dia seorang yang komited dan teliti dengan setiap kerja yang dilakukan. Arwah juga banyak membantu saya sepanjang kami bekerjasama menghasilkan lagu duet itu," tuturnya sedih.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Subang Jaya semalam selepas sembahyang Jumaat.

Isteri arwah yang ditemui di Masjid Al-Falah, USJ 9, dalam nada sebak mengulas ringkas: "Arwah tak tunjuk apa-apa petanda, tiada apa-apa perubahan pada dirinya. Tak sangka arwah akan pergi (buat selamanya)."

Takziah daripada Kosmo! Al-Fatihah, semoga roh Shamrin dicucuri rahmat.