Bapa dan anak kaki kritik


SALING memuja. Dua beranak ini juga menjadi pengkritik nombor satu kepada karya masing-masing.


BARANGKALI, perumpamaan mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi sudah tidak asing di telinga semua. Hakikatnya, ayat itu masih relevan menghurai dua individu, Datuk Yusof Haslam dan Syamsul Yusof yang meladeni bidang sama yakni pengarahan selepas pernah likat dalam aliran lakonan pada awal pembabitan seni mereka.

Si bapa pernah dibalut jolokan pengarah bernilai RM6 juta selepas kejayaan filem Sembilu kira-kira 15 tahun lalu. Sementelah anak terunanya yang sedang mengulit diri sebagai sutradara, baru diberi pengiktirafan tertinggi gelanggang perfileman - Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) baru-baru ini.

Berlatar teguhnya Darul Haslam di atas bukit Taman Melawati, Hulu Klang, Sensasi Bintang sengaja melontarkan bicara terarah kepada seni pengarahan. Sejauh mana Yusof dan Syamsul yang muncul daripada dua dimensi berbeza saling mencanai idea dalam pembikinan filem, bingkisan itu diperincikan buat umum.

Bagaimana langkah Syamsul selepas menggondol gelaran Pengarah Terbaik?

YUSOF HASLAM (YH): Saya nampak dia lagi kuat dan bersemangat. Kemenangan ini jadi perangsang untuknya berkarya dengan lebih baik. Selepas FFM23, kami tidak tidur kerana berborak panjang. Jelas Syamsul, dia bukan hendak buat filem untuk tujuan komersial. Sebaliknya berkarya secara serius. Jika pecah panggung, dia cukup bersyukur. Dia ingin memberi sumbangan kepada industri. Biarpun buat empat atau lima filem setahun, seboleh-bolehnya kena ada sebuah filem bernilai seni.

SYAMSUL (S): Umum tahu saya anak Datuk Yusof Haslam, secara tidak langsung, mereka sentiasa mengharapkan yang terbaik. Awalnya, ia memberi tekanan tapi lama-kelamaan, saya ambil perkara itu cabagai cabaran. Saya anggap anugerah itu satu penghormatan dan pembakar semangat. Selepas menang FFM23, tanggungjawab jadi lebih besar. Tidak hanya kepada diri, sebaliknya kena bekerja keras untuk Skop Productions, industri dan negara.

Pernah sangka atau tidak Syamsul akan mencapai sukses ke tahap sekarang?

YH: Memang tidak sangka sama sekali sebab saya fikir kejayaan mengambil masa panjang tambahan pula tidak semua anak seni boleh berjaya. Perkara ini (pengarahan) datang spontan. Cuma, saya nampak, Syamsul sejak kecil minat kamera dan penyuntingan. Pada usia 18 tahun dia sudah beli kamera sendiri untuk belajar merakam video dan menyunting klip video. Saya pernah menyuarakan keinginan untuk menghantar dia sambung belajar kursus perfileman di Australia. Tetapi, pada waktu itu, dia tengah seronok mengarahkan beberapa episod Gerak Khas dan Sembilu Kasih. Syamsul ada cakap untuk menangguhkan pengajian. Jika ada kelapangan, barulah dia hendak buat kursus jangka pendek di Hollywood selama tiga atau enam bulan.

S: Saya tidak pernah termimpi memenangi anugerah Pengarah Terbaik pada usia 26 tahun. Saya rasa itu pencapaian luar biasa. Tetapi, biasalah, kita sebagai manusia ada perancangan dan wawasan. Usia muda bukan penghalang untuk saya tidak perlu bekerja keras. Alhamdulillah, apa yang saya dilakukan ini berbaloi. Usia bukan penghalang untuk berjaya tetapi apa yang penting, kena ikhlas.

Bercakap tentang pengarahan, apakah Syamsul bekerja dengan stail tersendiri atau terikut gaya Datuk?

YH: Saya nampak Syamsul ada cara tersendiri. Kalau hendak cakap terikut cara saya, memang tidak sama sekali. Ada waktunya, saya tidak boleh baca atau menggambarkan bentuk pengarahannya. Apa yang ada dalam minda orang tua dan muda tidak selalunya sama. Boleh dikatakan bahawa Syamsul ambil semangat saya yang sentiasa menerbitkan filem bertemakan isu sosial tetapi dia berikan dimensi baru dalam teknik sinematografi. Saya jumpa ramai pengarah iklan yang memuji hasil kerja Syamsul kerana punya sentuhan filem iklan.

S: Penonton punya pendapat tersendiri. Kalau tanya saya, apa yang dipelajari baik buat skrip atau mengarah, saya tidak hanya belajar daripada papa. Tapi saya juga ada melihat hasil kerja Tan Sri P. Ramlee, Datuk Shuhaimi Baba dan pengarah lain. Begitupun, saya ada cara sendiri apabila tibanya soal kerja.

Adakah kalian sependapat semasa berbincang tentang pengarahan?

YH: Banyak perkara kami tidak sehaluan. Syamsul merupakan pengkritik mutakhir filem-filem saya seperti Sembilu 2005 dan Gerak Khas The Movie 3. Dua filem ini menerima kritikan paling pedas daripadanya. Seingat saya, waktu itu, dia sedang belajar mengarah drama. Dia kata filem saya sangat klise. Tidak hanya itu, dia mula kritik cara pengarahan saya. Tapi saya tak melatah, saya biarkan dia beri komen. Selepas itu, saya suruh dia bikin drama. Biarpun skrip saya tapi saya nampak gaya pengarahan Syamsul ada elemen baru. Ini yang membuatkan saya kagum. Dia juga menasihati saya agar tidak buat karya yang terang-terangan mahu menyekolahkan penonton. Isi cerita yang penting dan tak perlu berkhutbah panjang lebar.

S: Tolak soal kerja, papa merupakan seorang ayah yang baik di rumah. Tetapi, kalau bercakap hal kerja, dia cukup profesional. Dia boleh marahkan saya sama macam dilakukannya kepada pekerja lain. Ada waktunya saya yang lebih teruk dikenakan. Papa ialah pengkritik nombor satu saya.

Nasihat bagaimana yang selalu Datuk beri kepada Syamsul?

YH: Saya selalu mengingatkan dia agar bekerja keras, berdisiplin dan timba pengalaman daripada orang lama, bukannya cedok idea orang lama.

S: Papa selalu bercakap tentang situasi bidang seni dan bagaimana saya sebagai pengkarya muda ingin bawa diri dalam industri yang penuh cabaran. Dia pesan supaya gunakan psikologi apabila berdepan kemarahan tapi papa juga sukar hendak menerima idea orang lain termasuk anak-anak muda yang belum ada kejayaan.

Ramai mendakwa Syamsul sebenarnya banyak dibantu bapa semasa berada di lokasi penggambaran, betulkah?

YH: Bila saya cakap hendak meninjau ke set penggambaran, Syamsul terus tak mahu mulakan penggambaran. Ketika filem pertamanya, Evolusi KL Drift di lokasi, saya dan isteri (Datin Fatimah Ismail) sengaja menjenguk dia buat kerja. Sampai saja di sana, dia boleh melambatkan aktiviti penggambaran. Disebabkan mula naik angin, saya cakap biarkan saja saya mengarah. Tanpa pengetahuan saya, dia bercakap kepada emaknya, meminta kami pulang kerana tidak boleh bekerja. Bila filem sudah siap, saya tidak percaya dengan hasilnya. Benarlah kata Syamsul, kalau saya campur tangan dengan ideanya, Evolusi KL Drift akan menjadi filem Yusof Haslam. Untuk filem pertama, dia yang masih budak baru belajar, saya nampak luar biasa hasil garapannya.

S: Saya agak keliru, tidak faham dan terkejut apabila ada sebilangan pihak cakap saya tidak buat kerja di lokasi penggambaran dan meminta pertolongan papa untuk menyudahkan filem sendiri. Kata-kata ini timbul sejak saya berumur 22 tahun ketika awal mengarahkan drama-drama Skop Productions Sdn. Bhd. Sejak membikin drama, papa hanya beri nasihat kepada saya. Bahkan, dia jarang turun ke set. Kalau penggambaran memakan masa selama 30 hari, hanya sehari atau dua dia akan menjenguk saya bekerja.

Apakah filem garapan Syamsul yang menarik perhatian Datuk, begitu juga dengan Syamsul?

YH: Saya menyukai filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam kerana kandungan cerita dan pendedahan berani yang dilakukan oleh Syamsul. Saya sendiri takut hendak menghasilkan filem genre begitu.

S: Banyak sebenarnya filem papa yang jadi pilihan saya termasuk Bayangan Maut dan Pemburu Bayang. Tetapi, filem buat saya tidak sabar untuk jadi pengarah adalah Janji Diana. Selain aspek pengarahan, babak dan gabungan pelakonnya, apa jua yang dipersembahkan dalam filem ini dilihat cukup meresapi perasaan saya.


YUSOF HASLAM (kiri) ketika melawat ke lokasi penggambaran filem Evolusi KL Drift 2 arahan anaknya, Syamsul.


Komen kalian tentang senario pengarahan tanah air sekarang?

YH: Saya perhatikan sekarang ramai tokoh muda yang melangkah maju ke depan. Contohnya, adik beradik KRU yang semakin memperlihatkan kehebatan mereka. Kewujudnya institusi pengajian tinggi seperti universiti dan kolej juga telah melahirkan lebih ramai generasi baru dalam bidang pengarahan. Macam Syamsul, dia menimba ilmu dan pengalaman di kolej. Saya harap orang lain tidak memperkecil bakat generasi muda kerana mereka ada keistimewaan sendiri.

S: Sebagai orang muda, saya lihat ramai pembikin filem tempatan ada idea yang bagus dan hebat. Kadangkala ada yang lebih baik daripada penggiat filem Hollywood dan negara Asia lain. Cuma, kita berdepan masalah utama iaitu bajet. Macam saya yang hendak menghasilkan semula filem Bukit Kepong tidak lama lagi. Sudah pasti ia memerlukan modal besar sekitar RM5 atau RM6 juta. Saya bersuara ini bukan hanya untuk kepentingan diri, ia sebaliknya menyeluruh. Saya berharap kerajaan dapat memberi sokongan padu terutama sumber kewangan. Saya juga kagum dengan semangat adik-beradik KRU yang membangunkan KRU Studios. Sikap positif mereka yang sering mendahului, itu yang harus kita contohi.