Hatsune Miku jadi penyanyi paling ganjil di Jepun


HATSUNE MIKU menyanyi di depan penonton-penontonnya dalam salah satu konsertnya di Jepun.


TOKYO - Penyanyi pop hologram, Hatsune Miku dianggap sebagai selebriti paling ganjil di Jepun, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Miku bukannya seorang manusia tetapi merupakan imej hologram yang menyanyi dalam konsert yang diadakan di negara itu.

Penonton-penonton akan bertepuk tangan dan Miku yang merupakan seorang wanita akan menari serta menyanyi seperti manusia biasa di atas pentas.

Dia dicipta oleh syarikat teknologi Jepun, Crypton Future Media yang membolehkan pelanggan membeli dan memprogramkannya supaya dia menyanyi pelbagai lagu di dalam komputer.

Miku menggunakan suara seorang penyanyi, Saki Fujita. Penyanyi pop hologram itu kini mempunyai ramai peminat dengan stadium yang menjadi tempat persembahannya dipenuhi dengan penonton.

Dia membuat persembahan pertama secara langsung dengan diiringi pemuzik-pemuzik pada 2009 dan telah mengadakan persembahan di Singapura.

Aksi penyanyi ganjil yang dikatakan berusia 16 tahun itu boleh dilihat di YouTube. - Agensi