Noh, Nina cinta dua darjat


PASANGAN 'darah manis', Noh dan Mizz Nina.


HILANG sudah segala ayat klise. Sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, penyanyi band indie Hujan, Noh serta bintang baru yang hangat dengan irama hip hop, Mizz Nina membuka ruang personal yang mereka tutup kemas sejak hampir tiga minggu lalu.

Faktanya, Noh, 26, dan Nina, 30, sudah selamat mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup di teratak keluarga Mizz Nina di Ampang pada 6 November lalu. Permintaan keluarga menjadi alasan kepada Noh dan Nina untuk merahsiakan majlis itu kepada media.

Bab pertunangan sudah selesai, tanggal 1 Julai 2011 yang kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran ke-31 Nina dipilih sebagai tarikh akad nikah mereka berdua. Dua majlis resepsi persandingan dijadualkan, pada 3 Julai di Hotel Shangri-La khusus buat keluarga manakala 6 Julai di Hotel Doubletree by Hilton khas untuk teman-teman rapat dan media.

Ketika ditemui, Mohammad Noh Salleh dan Shazrina Azman itu masih orang yang sama. Tiada perubahan waima sedikitpun. Noh masih dengan sifat humor manakala Mizz Nina terus pemalu. Begitupun, ketenangan hubungan mereka tercalar dengan khabar angin.

Noh didakwa tidak tahu mengukur baju di badan sendiri kerana memilih keluarga tokoh korporat terkemuka terkenal iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim sebagai mertua.

Noh mengaku sedih mengenangkan isu tersebut bagaimanapun dia semakin optimis berikutan hubungan mereka direstui keluarga Mizz Nina.


MIZZ NINA selamat bergelar tunangan Noh Hujan. Kini menanti hari pernikahan mereka.


"Saya sayang Nina sebagai Shazrina Azman dan bukan Mizz Nina. Ada orang tidak faham benda ini. Namun, selepas bertemu keluarga Mizz Nina pada Hari Raya Aidilfitri lalu, saya akui keluarganya merupakan seorang yang hebat dan cukup menghormati sikap rendah dirinya (Azman).

"Awal-awal lagi, saya beritahu beliau, saya bukan anak orang kenamaan. Sebagai anak seni dan suami, saya akan menjalankan tanggungjawab asas seperti menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian buat anaknya. Itu janji saya."

Komen apabila Mizz Nina dikatakan mula mengongkong hidup Noh?

NOH (N): Merepeklah. Apa yang saya lakukan sekarang datang daripada diri sendiri tanpa ada paksaan oleh sesiapa termasuk Nina. Cuma, Nina sedikit garang kepada saya.

Mizz Nina (MN): Sejujurnya, saya tidak pernah sesekali mengawal Noh baik dalam karier atau corak kehidupan. Tanggungjawab saya sekadar menasihati dia jika perlu. Saya tidak pernah cakap apa Noh perlu lakukan. Saya nampak perubahan dirinya sejak kebelakangan ini. Mungkin Noh mahu membahagiakan saya sehingga dia mengambil keputusan melakukan perubahan tertentu.

Apakah jarak umur berbeza bakal memberi masalah?

N: Umur bukan penghalang. Bahkan, umur saya meningkat dari semasa ke semasa. Lagipun, tiada salahnya kalau saya kutip pengalaman terlebih dahulu tambahan pula proses pembelajaran akan berterusan sehingga kita meninggal dunia.

MN: Umur sekadar angka. Saya tidak kisah tentang jarak usia kerana ada waktunya saya rasa lebih muda daripada Noh. Ada waktunya, saya juga berperangai kebudak-budakan.


NOH dan Nina mengaminkan doa selepas selepas acara pertunangan mereka.


Signifikan Kurnia pada kalian?

N: Kami sebenarnya bercinta selepas lagu ini disiapkan. Sewaktu menjalani proses rakaman, saya dan Nina tidak menjangkakan sama sekali hubungan kami akan sejauh ini. Beberapa hari selepas Kurnia dihasilkan, baru hubungan ini mencapai tahap serius.

MN: Kalau orang cakap bahawa Kurnia sebagai lagu lambang cinta kami, saya katakan ia benar.

Sisi buruk yang diketahui selepas menjalin cinta?

N: Nina suka sepah barang terutama dalam kenderaan. Lihat saja keretanya yang dipenuhi itu dan ini. Tetapi, saya belajar banyak perkara positif daripada dia selama ini. Justeru, saya tidak nampak kekurangan pada diri Nina selepas kami menjalin hubungan serius.

MN: Noh gemar melepaskan perangai marahnya terutama dalam laman sosial, Twitter. Saya akan menasihati dia agar lebih tenang dan sentiasa bersabar apabila berdepan sebarang masalah.