Menteri letak jawatan selepas komen tugasnya mudah


MINORU YANAGIDA dikerumuni wartawan pada sidang akhbar peletakan jawatannya di Tokyo semalam.


TOKYO - Menteri Kehakiman Jepun, Minoru Yanagida meletakkan jawatan semalam selepas beliau menyatakan tugasnya sebagai menteri amat mudah.

Perdana Menteri, Naoto Kan menerima peletakan jawatan Yanagida yang mula memegang jawatan itu kira-kira dua bulan lalu.

Yanagida, 56, mencetuskan kontroversi dan kemarahan pengundi apabila beliau bergurau pada minggu lalu bahawa mudahnya menjadi Menteri Kehakiman.

Menurutnya, beliau hanya perlu mengingati dua ayat semasa mengalami kesukaran untuk memberi jawapan di Parlimen.

Dua ayat itu ialah: "Saya menahan diri daripada memberi komen ke atas kes individu."

Satu lagi ayat ialah: "Saya bertindak berdasarkan undang-undang dan bukti."

Anggota-anggota parti Liberal Demokrat (LDP) yang tewas dalam pilihan raya umum tahun lalu mengkritik komen tersebut.

Menurut mereka, kenyataan itu menghina Parlimen. Yanagida menjadi menteri pertama dalam Kabinet Kan meletakkan jawatan selepas satu rombakan Kabinet diadakan pada pertengahan September lalu.

Dalam satu tinjauan pendapat yang disiarkan akhbar Maninichi Shimbun semalam, 71 peratus pengundi menyatakan Yanagida sepatutnya meletakkan jawatan selepas beliau membuat komen tersebut. - AFP