Jumlah berkelulusan PhD di IPTA meningkat

27/11/2010 4:48pm

KUALA LUMPUR – Jumlah tenaga pekerja institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kini meningkat sebanyak 133 peratus berbanding 2005.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, kini jumlah tenaga kerja IPTA yang berkelulusan PhD seramai 14,000 berbanding 6,000 pada 2005.

Daripada jumlah itu, 60 peratus terdiri pemegang PhD dalam bidang sains yang merangkumi sains tulen, sains gunaan, kejuruteraan, biologi, fizik, perubatan dan berkaitan teknologi, katanya.

Selebihnya pula, dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Pengajian Siswazah keempat di sini, hari ini.

Radin Umar berkata, ini merupakan antara kejayaan terbesar kementerian dalam usaha memperkasakan IPTA bertaraf dunia dengan menambah bilangan penyelidik, saintis dan jurutera berkelulusan PhD. – Bernama