Seni contengan seni dari hati




PERCAYA atau tidak, semua orang suka menconteng. Bakat terpendam itu boleh muncul bila-bila masa terutama apabila kita berada dalam situasi tertentu.

Tangan pasti akan ligat menconteng kertas apabila mesyuarat menjadi semakin membosankan. Bagi sesetengah orang pula, aktiviti menconteng menjadi kian parah ketika berbual di telefon dengan orang yang membuatkan jiwanya penuh berbunga.

Sebenarnya, contengan itu merupakan refleksi kepada apa yang tergambar di ruang fikiran dan perasaan. Sebab itulah hasil seni itu sebenarnya sangat eksklusif dan menarik sehingga mampu menerangkan perasaan tanpa banyak helah.

Pendek kata, hasil contengan bersifat terus-terang sahaja. Bagi ‘artis-artis’ di dalam bilik mesyuarat atau mereka yang gatal tangannya ketika menjawab telefon, ada platform untuk anda mengetengahkan bakat tersebut.

Sebabnya, Project Raksasa Doodles yang tercetus daripada benak fikiran dua beradik, Amy Leong dan Dr. Cecelia Leong berhasrat mengumpul sebanyak 1,000 hasil contengan.

Acara itu pastinya amat sesuai kerana kedua-dua orang pengasas tersebut ingin memberi peluang kepada golongan bukan artis yang memiliki bakat seni terpendam untuk menyerlah di khalayak.

Semuanya bermula apabila mereka mempunyai seorang rakan yang pandai melukis (dalam kes ini adalah menconteng), tetapi malu apabila diminta menunjukkan hasil lukisan itu kepada orang lain.

Objektif projek itu ringkas iaitu sekadar ingin membuktikan bahawa seseorang itu tidak perlu menjadi pelukis terkemuka dunia bak Leonardo Da Vinci bagi membolehkan orang ramai menghargai hasil karyanya.

“Sasaran kami adalah mereka yang bukan artis iaitu golongan yang sering berkata: Saya tidak tahu melukis, tidak berbakat atau hanya tahu melakar orang lidi di sekolah. Kami mahu buktikan bahawa seni itu wujud dalam diri ramai orang kerana ia menjadi medium untuk meluahkan ekspresi,” jelas Amy yang berusia 31 tahun.

Interaksi Facebook

Dengan mengumpul dan mempamerkan hasil contengan yang terdiri daripada pelbagai genre, material serta gaya lukisan, interaksi akan terhasil. Pengunjung boleh melihat atau menyukai contengan yang difikirkan berjaya menarik perhatian mereka. Di ruang maya sosial, Facebook, projek yang dikendalikan di bawah Squeak Art Asia itu berjaya menarik minat sekitar 600 pengunjung.


CONTENGAN bertajuk Penari Cilik oleh Singingsnowflakes dari Britain.


Malah, hasil-hasil contengan oleh khalayak turut dipampang di ruang Facebook untuk mendapatkan respons orang ramai.

Menurut Amy, kecantikan hasil karya itu terletak pada sifatnya yang ‘kasar’. Ia terhasil terus dari kotak fikiran dan emosi.

“Apabila orang ramai menghargainya, ia secara tidak langsung mampu membina rasa yakin di kalangan bukan artis untuk terus meneroka sisi artistik dalam diri masing-masing,” terangnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Percaya bahawa seni tidak lagi meliputi golongan artis profesional secara total, populariti seni kini boleh dilihat pada kekerapan penganjuran bazar-bazar seni serta flea market.

Kebanyakan penjual di sana adalah artis. Bagi Amy, jika dalam tempoh beberapa tahun lagi, golongan itu tidak terlibat dalam dunia seni sepenuh masa tetapi tetap mengaku sebagai artis, maka ia satu pencapaian yang agak membanggakan.

Sejak dimulakan pada Ogos lalu, Projek Raksasa Doodles kini berjaya mengumpul kurang 200 hasil contengan. Sejujurnya, Cecilia berharap jumlah contengan yang dikumpul mencecah sejumlah 1,000 keping.

Tolak perasaan malu

Namun, kekurangan publisiti serta perasaan malu kebanyakan orang untuk mendedahkan hasil contengan mereka menjadi antara cabaran bagi kedua-dua beradik itu.

“Inilah cabaran paling besar yang terpaksa dilalui. Ramai orang malu dengan contengan yang dihasilkan kerana beranggapan ia tidak cukup seni,” celah Amy.


AMY kini menghabiskan kebanyakan masanya mengendalikan Projek Raksasa Doodles dengan harapan ia membuka jalan kepada golongan pelukis baru.


Cecelia yang berkelulusan ijazah kedoktoran dan memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dan sosiologi pernah menjadi penerbit TV untuk Media Corp. di Singapura berharap orang ramai tidak membiarkan bakat seni mereka disia-siakan. Ibu kepada seorang anak itu kini merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Tabiat menghasilkan kad hari jadi dan karya seni lain tidak pernah berhenti. Kini, kami bergabung untuk menubuhkan Squeak Art Asia bagi membawa minat seni ke satu tahap yang lebih tinggi,” jelas Amy yang berkelulusan dalam bidang komunikasi.

Sebenarnya, Amy cukup berterima kasih kepada kakaknya, Cecelia, 38, kerana memperkenalkan seni kad pop yang sekali gus membentuk cara contengannya.

“Tidak perlu ada perasaan bimbang sama ada sesuatu contengan melanggar peraturan seni konvensional atau sebaliknya. Malah, hasil contengan menjadi sesuatu yang sangat peribadi,” tambahnya yang telah menghasilkan sebilangan besar hasil contengannya kepada orang lain.

Platform e-shop

Di samping Project Raksasa Doodles, Squeak Art Asia juga berada dalam peringkat terakhir penghasilan e-shop. Laman web tersebut dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun depan dan bakal menampilkan beberapa reka bentuk yang dihasilkan sendiri oleh Squeak Art Asia bersama seorang artis tempatan.

Idea e-shop tercetus untuk memberi satu platform komersial kepada rakan-rakan artis untuk mempromosikan hasil karya masing-masing. Memandangkan golongan artis muda sering berdepan dengan kesukaran untuk meyakinkan sokongan galeri-galeri terkenal, e-shop juga bakal berfungsi sebagai sebuah galeri dalam talian.

Hakikatnya, Projek Raksasa Doodles telah pun berjaya mendapatkan hasil-hasil karya daripada ‘penconteng’ terkemuka seperti Wanton Doodles dari Singapura dan Mick23 dari Amerika Syarikat (AS) dengan majoriti penyertaan dari seluruh Malaysia.


CONTENGAN merah menggunakan marker whiteboard ini dihasilkan oleh Nishi Chauhan dari India.


Jenama produk seni, Artmakr baru-baru ini turut bergabung untuk memberi sokongan terhadap projek murni ini. Hasil-hasil contengan terpilih akan dicetak pada muka depan buku nota contengan (doodle) edisi khas keluaran Artmakr.

Pengarah Urusan Artmakr, Jason Chen, dalam satu temubual bersama Squeak Art Asia pernah berkata, kolaborasi itu tepat pada masanya. Ini kerana produk Artmakr sememangnya sentiasa memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bereksperimentasi dan mempamerkan hasil karya mereka.

“Pada kebanyakan masanya, satu contengan ringkas boleh dikembangkan kepada hasil karya yang lebih kompleks,” kata Jason yang merupakan salah seorang pengasas Artmakr.

Oleh itu, jika anda ada hasil contengan yang masih terselit di celah-celah halaman buku atau tersorok di dalam laci, apa kata anda emelkannya kepada Amy sekarang juga.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 5 Disember ini bagaimanapun akan dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Untuk maklumat lanjut tentang Projek Raksasa Doodles atau ingin menjadi penaja mahupun menghantar penyertaan, sila hubungi Amy di alamat [email protected] Kesemua hasil contengan juga dipaparkan di ruang maya Facebook di alamat www.facebook.com/squeak.art.asia.