Indra Putra mungkin akan sertai T-Team musim depan

TIGA pemain Kelantan, Indra Putra Mahayudin, Azizi Matt Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad dilaporkan berminat untuk menyertai T-Team dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengurus pasukan T-Team, Rozi Mamat berkata, mereka sedang berusaha untuk mendapatkan surat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum mendapatkan pemain tersebut.

Katanya, T-Team juga meminta pemain-pemain berkenaan menyelesaikan perkara-perkara yang bersangkutan jika ada dengan bekas pasukan mereka.

"Kita berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan mereka," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini dilaporkan sesi latihan skuad Kelantan yang bermula penghujung bulan lalu tidak melihat kelibat kehadiran tiga tonggak berkenaan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, beliau belum dimaklumkan apa-apa berita mengenai ketiadaan tiga pemain tersebut.

Manakala Rozi berkata, perhatian T-Team bukan tertumpu kepada tiga pemain itu sahaja tetapi juga terarah kepada pemain negeri lain bagi memperkuatkan pasukan itu tahun depan.

Antara pemain lain yang dijangka menandatangani kontrak dengan T-Team ialah Amzar Junaidi (Perlis), Mohd. Saufi Saidi (Perak), Tengku Hasbullah Awang (Terengganu), Badrul Hisani (KL Plus) dan Khairul Izwan (Felda United).

Beliau berkata, semua pemain yang bakal mewarnai pasukan T-Team sudah berada di Terengganu kecuali Indra Putra, Azizi dan Nor Farhan.

Pasukan T-Team tahun depan akan dilatih oleh Yunus Alif, katanya. - Bernama