Bertunang lagi, Sarah pilih Shuib




PENGUMUMAN Shuib, ahli kumpulan Sepah atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berhubung pertunangannya yang berlangsung pada 16 November lalu dengan penyanyi Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini mengejut banyak pihak.

Ramai tidak mengetahui kisah cinta mereka dan turut terkejut dengan pilihan Sarah yang jauh menyimpang daripada 'seleranya' sebelum ini, daripada mat saleh kepada lelaki Melayu.

Sarah yang ditemui di majlis pelancaran produk Balung baru-baru ini, hanya tertawa ketika diajukan soalan berhubung pertunangannya itu.

"Sebenarnya saya bukannya jenis memilih malah saya tidak kisah bakal suami saya bangsa apa, apa warna kulitnya, dari negara mana? Apa yang penting adalah dia menyayangi saya sepenuh hati dan kalau sudah jodoh, saya terima seadanya," ujar Sarah sedikit serius.

Disoal lagi, jika dulu dia memilih lelaki mat saleh berasal dari New Zealand kenapa kini dia beralih arah kepada Shuib, seorang pelawak berusia 26 tahun yang berasal dari Johor?


SAH menjadi tunangan Shahmira Muhammad pada 16 November lalu, Siti Sarah mahu tempoh 'ujian' itu berjalan dalam durasi yang pendek. Namun, tiada tarikh yang ditetapkan lagi untuk menandakan hari pernikahannya.


Sarah dalam senyuman bahagia mengatakan: "Shuib seorang yang sangat ringkas. Saya juga sangat selesa berada di sampingnya kerana dia kenal siapa Sarah. Shuib yang dilihat di kaca televisyen seorang yang sangat berbeza dengan Shuib yang saya kenal kerana dia seorang yang serius.

"Perkara yang membuatkan saya suka pada Shuib adalah kerana dia sangat menghormati keluarga saya dan dia mempunyai hubungan yang baik dengan bapa saya. Dia telefon bapa saya dan cakap dia benar-benar sayangkan saya."

Sejak bercinta dengan Shuib selama setahun lebih, akui Sarah dirinya banyak berubah kerana lelaki tersebut banyak mengajarnya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Alhamdulillah, banyak perubahan diri yang saya alami sejak kenal Shuib. Dia seorang yang pandai menceriakan suasana dan merendah diri. Selain saya dan bapa, dia rapat dengan semua keluarga saya," kata Sarah.

Tidak sorok majlis pertunangan

Majlis pertunangannya yang berlangsung secara senyap-senyap di kediaman keluarga Sarah yang terletak di Kuala Selangor bukanlah satu rahsia.

Tegas Sarah, majlis tersebut berlangsung dalam waktu yang singkat selepas Shuib meluahkan hasrat untuk menghantar rombongan menyebabkan dia dan ahli keluarganya melangsungkannya secara sederhana. Malah, ramai saudara-maranya tidak dapat hadir.

"Saya bukan nak sorok, bukannya ada sebarang rahsia pun. Cuma semuanya berlaku dalam waktu yang singkat. Lagi pun ini hanya majlis pertunangan, yang penting adalah majlis pernikahan nanti," ujarnya.


SHUIB (kiri), tunangan Siti Sarah merupakan ahli kumpulan Sepah yang diwujudkan bersama Mamat (kanan) dan Jepp (tengah).


Ditebak soalan, mungkinkah majlis pertunangan yang dibuat secara sederhana tanpa liputan pihak media ada kaitan dengan kes putus tunangnya sebelum ini?

Tanpa berselindung Sarah memberitahu, pengalaman putus tunang sebelum ini banyak mengajarnya, jelasnya dia tiada niat untuk menyorok perihal hari bahagianya tetapi baginya majlis pertunangan bukan petanda yang dia sah menjadi milik orang.

"Walaupun bertunang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana tiada ikatan yang sah. Jadi, saya tidak mahu terlalu menghebohkannya.

"Apa yang penting adalah akad nikah, nanti kalau sudah benar-benar sah saya mahu berkahwin, jangan risau saya akan jemput semua orang," tutur Sarah yang tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama.

Sedia jadi isteri dan ibu

Usianya menginjak angka 27 tahun pada tahun depan dan dia juga sudah melalui pelbagai pengalaman pahit sebagai anak seni dan juga seorang wanita.

Justeru, akui Sarah, sudah pasti dia telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu apabila mereka disatukan tahun hadapan.

"Saya sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal. Kalau tidak, buat apa saya bertunang? Saya sudah jumpa orang yang benar-benar sayangkan saya seadanya dan saya juga menyayanginya," katanya.

Namun tarikh sebenar majlis perkahwinan mereka berdua belum dapat diputuskan lagi kerana masing-masing masih sibuk dengan aktiviti seni.

"Buat masa sekarang kami dua-dua sibuk, Shuib pun ada penggambaran drama, jadi kami bagi tempoh dua bulan untuk dia habiskan semua kerjanya sebelum melangsungkan perkahwinan.


BAKAL bertukar status, Sarah berazam untuk menukar imej dan konsep untuk album terbarunya kelak.


"Sebagai perempuan tidak manis untuk saya merancang tarikh perkahwinan sendiri kerana ia terpulang kepada keluarga kedua-dua belah pihak. Jika sudah ada satu tarikh yang ditetapkan saya akan umumkan," ucap Sarah.

Mengimbas kembali bagaimana cinta mereka boleh berputik, cerita Sarah, semuanya bermula apabila mereka bertemu dalam set penggambaran program Gelak Khas yang ditayangkan di Astro Warna sekitar bulan Oktober tahun lalu.

Bermula daripada seorang teman biasa, hubungan mereka secara perlahan-lahan berubah kepada teman istimewa. Kata Sarah, dia cukup tertarik dengan sikap Shuib yang bertanggungjawab dan merupakan seorang pendengar setianya.

"Dia pendengar setia kepada semua cerita saya dan dia juga sentiasa adakan masa untuk saya walaupun dia sibuk dengan kerja," bicara Sarah tentang lelaki yang dicintainya itu.