KAFA, Cardiff City jalin kerjasama


ANNUAR (tiga dari kanan) ketika melancarkan kad keahlian The Red Warriors di Kota Bharu semalam.


DALAM usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak England, Cardiff City dalam semua aspek termasuk pengurusan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, buat permulaan, pihaknya akan meminta bantuan daripada pemilik kelab England itu, Datuk Chan Tien Ghee untuk membantu mereka bentuk stadium baru KAFA.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hubungan di antara The Red Warriors dengan pasukan yang berada di tangga kedua Divisyen 1 England itu adalah atas dasar persahabatan dan belum ada hubungan secara rasmi lagi.

“Banyak benda yang dapat dipelajari daripada pasukan profesional ini. Saya berharap suatu masa nanti KAFA boleh menghantar pegawai dan pemain untuk menimba ilmu di sana.

“Sekarang kita meminta pertolongan daripada Cardiff untuk mereka bentuk stadium kerana mereka mempunyai stadium bola sepak yang cantik biarpun kecil,” katanya.

Semalam, lebih 1,000 penyokong setia The Red Warriors membanjiri salah satu pusat beli-belah di Kota Bharu untuk melihat dengan lebih dekat pemain-pemain kesayangan mereka.

Selain dapat bertemu pemain, peminat juga dapat melihat Piala Malaysia dan Piala Suzuki AFF yang turut dipamerkan pada majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee yang turut melancarkan kad keahlian kelab The Red Warriors.

Paling istimewa anak Tian Ghee, Nicholas Chan yang berusia 18 tahun akan turut memperkuatkan skuad Kelantan musim depan dan dikatakan akan menjadi bintang baru bagi menggantikan bekas kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke T-Team.

Dalam pada itu, Datuk Tien Ghee turut membuat pengumuman mengejut apabila memberikan penajaan sebanyak RM100,000 kepada Kelantan dan berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk bertemu dengan penyerang sensasinya, Craig Bellamy.

Mengulas mengenai masalah lampu limpah, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super pada 28 Januari ini.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh FAM, kita diarahkan bermain pada sebelah petang sahaja kerana tidak memenuhi syarat-syarat lampu limpah yang ditetapkan.

“Saya difahamkan, pihak kera- jaan negeri telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan ia sedang diusahakan sekarang,” katanya.

Musim 2011 menyaksikan skuad The Red Wrriors membaris- kan sembilan muka baru iaitu K. Soley, Nurul Azuwan Roya, Wan Rohaimi Ismail, Daniel Fadly Abdullah, Khairan Ezuan Rozali, Nicolas Chan, Norhadi Ubaidillah, Muhammad Abdul Aziz Ismail dan Mohd. Khalid Jamlus.