Francissa Peter 33 tahun unggul


FRANCISSCA PETER kelihatan ceria dan tidak sabar untuk mengalunkan lagu-lagu hitsnya menjelang konsert Keunggulan 33 Tahun pada 5 hingga 6 Februari nanti.


MASIH diingati dengan lagu Sekadar Di Pinggiran, nama Francissca Peter, penyanyi bukan Melayu yang sangat intim di hati peminat muzik, khususnya lagu-lagu malar segar era 80-an dan 90-an.

Agak lama khabar pemilik nama sebenar, Luciana Francissca Peter atau dibahasakan Fran itu tidak dijaja di dada media, namun gemersik suaranya tidak pernah pudar.

Kini, kerinduan para peminat terhadap deretan hit seperti Aku Hanya Pendatang, Kerna Terpaksa dan Diri Ku Terbelenggunya bakal terubat apabila Fran akan muncul menjayakan sebuah konsert sulungnya di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari ini.

Diberi judul Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter, konsert khas itu sebagai meraikan penyanyi tersohor yang bertahan sekian lama dalam industri muzik tanah air.

Persembahan ini pasti akan mengingati kembali zaman kegemilangan satu-satunya artis bukan Melayu yang telah berjaya membawa lagu-lagu Melayu ke tahap antarabangsa dan bertahan sehingga kini.

Konsert sulung setelah 33 tahun terlibat dalam dunia nyanyian pastinya memberi keterujaan kepada Fran kerana ia bakal dipersembahkan di sebuah pentas yang menjadi titik kebanggaan anak seni.

"Konsert ini begitu memberi keterujaan kepada saya. Ia amat bererti dan begitu bermakna sepanjang tempoh saya berkecimpung sebagai seorang penyanyi.

"Sebelum ini ramai juga peminat yang bertanyakan bilakah saya akan mengadakan konsert berprestij seperti ini. Jadi, saya mengharapkan peminat dapat memberi sokongan menjayakan persembahan ini, dan yang pasti saya akan memberikan persembahan terbaik pada konsert sulung ini," katanya pada sidang akhbar sempena konsert itu di Fraser Place, Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Menggabungkan semula gandingan Fran bersama Royston Sta Maria dan persembahan istimewa bersama penyanyi jemputan Imran Ajmain. Tugas pengarah muzik pula tersandang di bahu Ramli MS yang akan memimpin 33 pemuzik orkestra dengan menampilkan 33 lagu popular nyanyian Fran sejak kali pertama muncul dengan duet Siapa Dia bersama Royston Sta Maria pada 1982

Imran turut mencipta sebuah lagu untuk single terbaru Fran berjudul Tidak Gementar Lagi yang akan dinyanyikannya secara eksklusif pada konsert itu nanti.

Menyepi daripada publisiti, Fran bagaimanapun masih aktif memenuhi jemputan majlis-majlis korporat serta program televisyen. Sehingga kini, jiwanya masih teguh untuk meneruskan perjuangan seni suara.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik, Fran bebeberapa kali menggondol anugerah berprestij antaranya, Juara Asian Song Festival 1987, Penyanyi Wanita Popular 1987, Anugerah Juara Lagu 1986 (Sekadar Di Pinggiran), tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 1987 (Kerna Terpaksa) dan naib juara Anugerah Juara Lagu 1988 (Diriku Terbelenggu).