Sukan BMX masih belum mati




MENGIMBAU kembali awal tahun 1980-an, kita pasti akan mengingati kehebatan basikal bergelar BMX yang sering menjadi kegilaan golongan kanak-kanak dan remaja. Kerangka keluli yang kukuh, ringan dan kelihatan sporty menjadikannya begitu popular, malah kanak-kanak sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk memiliki basikal idaman mereka.

Pada waktu itu, kelibat basikal BMX bagaikan menjadi hiasan di taman-taman permainan dan perumahan apabila sentiasa ditunggang oleh remaja.

Basikal BMX juga mempunyai daya penarik tersendiri apabila ibu bapa menjadikan basikal tersebut sebagai galakan kepada anak-anak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Populariti basikal BMX terus memuncak sehinggalah Kuala Lumpur diberi penghormatan menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa X Games Asia pada tahun 2002, 2003, 2004 dan 2006.

Sukan X Games boleh dianggap sebagai platform terbaik kepada atlet sukan lasak tempatan menunjukkan bakat terpendam mereka di peringkat antarabangsa.

Ini kerana atlet sukan lasak antarabangsa sudah lama diiktiraf sehingga mendapat penajaan dan boleh mencari sumber pendapatan melalui sukan kegemaran mereka.

Di negara ini, sukan lasak turut mendapat pengiktirafan sehingga taman-taman lasak dibangunkan untuk memberi kemudahan kepada penggemar sukan lasak itu agar dapat terus aktif dalam sukan kegemaran mereka.

Menghidupkan zaman BMX

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini publisiti dan promosi mengenai sukan lasak terutama basikal BMX semakin berkurangan apatah lagi apabila sukan X Games Asia tidak lagi dianjurkan di negara ini.

Menyedari sukan lasak basikal BMX ini masih mempunyai pengikut sendiri, beberapa penggemar BMX telah menganjurkan Suka-Suka BMX Old School Gathering dan Jam 2011 di Taman Sukan Lasak, Seksyen 13 Shah Alam baru-baru ini.

Walaupun hujan lebat pada hari berkenaan kira-kira 200 penggemar basikal BMX tetap setia memeriahkan program Suka-Suka BMX Old School Gathering dan Jam 2011 tajaan empat jenama berkaitan sukan itu iaitu Kayuh BMX, Devise Clothing, ilovebmx dan Momentumlove.

Penganjur program berkenaan, Abd. Rahman Abd. Rahim, 27, atau lebih dikenali sebagai Man Convent berkata, program pembuka tirai 2011 itu diadakan bertujuan untuk mengumpulkan tiga kumpulan penggemar BMX iaitu flatland, street dan old school.

“Kami ingin mengembalikan semula zaman kegemilangan BMX yang satu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan golongan remaja dan kanak-kanak.

“Seingat saya, sukan lasak basikal BMX ini sangat popular pada tahun 1990-an hingga awal tahun 2000. Malah, ia semakin mendapat tempat apabila negara menganjurkan sukan X Games,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Begitupun, Man Convent memberitahu, promosi mengenai sukan lasak basikal BMX semakin berkurangan apabila penganjuran sukan X Games Asia tidak dilakukan di negara ini.

Katanya, sukan lasak basikal BMX masih mempunyai peminat setia yang sentiasa dahagakan aksi-aksi menarik daripada atlet sukan lasak itu.

“Justeru, kami menganjurkan program ini untuk memberi peluang kepada penggemar dan rider BMX bertemu antara satu sama lain sekali gus dapat bertukar pendapat.

“Kita ingin memastikan sukan BMX terus mendapat tempat dalam sukan lasak di negara ini kerana rata-rata atlet negara setanding atlet antarabangsa,” ujarnya.

Kata Man Convent lagi, mereka juga sering meraih kejayaan apabila menyertai pertandingan sukan lasak basikal BMX yang berlangsung di luar negara.

Penggiat sukan basikal BMX


SUKAN basikal BMX mempunyai peminat setia di negara ini.


Sementara itu, penggiat sukan lasak basikal BMX flatland, Shahrul Fazry Ismail, 23, yang mula meminati basikal BMX sejak berusia lapan tahun berkata, dia menggemari sukan berkenaan kerana ia berbeza berbanding sukan lasak lain.

“Apabila menceburi bidang ini kita akan menggunakan setiap anggota badan, malah memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk melakukan pelbagai kemahiran BMX flatland.

“Ia merupakan satu senaman yang amat baik untuk badan dan dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah serta menyihatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd. Raziff, 20, memberitahu, sukan lasak basikal BMX mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang maju di negara ini.

“Tidak mustahil sukan BMX mampu menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya yang dikenali sebagai Botak Kuantan.

Bagi Fadli Kamal, 25, atau Pak Tam yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, sukan lasak basikal BMX memberi peluang kepadanya mengembara di luar negara.

“Secara tidak langsung ia dapat mengukuhkan persabahatan di perantauan dan memperkenalkan Malaysia kepada mata dunia.

“Sukan lasak basikal BMX juga banyak membantu mencabar diri saya untuk maju ke hadapan memahirkan diri dengan kemahiran terbaru untuk dijadikan tatapan umum,” katanya.

Teknik dan basikal BMX

Mohammad Hezlan Abdul Ghafar, 27, yang pernah memenangi beberapa pertandingan peringkat antarabangsa pula menambah, terdapat kira-kira 30 teknik asas perlu dikuasai rider sebelum dapat mencapai kesempurnaan dalam BMX flatland.

Dia yang lebih dikenali sebagai Lan Ipoh dalam persada sukan lasak BMX berkata, sukan berkenaan amat unik dan memerlukan daya pemikiran selain tindakan refleks yang pantas untuk menggayakan pelbagai kemahiran.

“Berbanding permulaan melibatkan diri dalam sukan ini, saya rasa golongan remaja pada hari ini lebih bertuah kerana pelbagai kemudahan sudah disediakan kepada mereka.

“Bahkan, kalau diimbas dahulu kami terpaksa mengimport bahagian-bahagian khusus basikal BMX untuk memastikan ia mengikuti spesifikasi dikehendaki bagi melancarkan kemahiran yang ingin dilakukan,” katanya yang menceburi bidang tersebut sewaktu berusia 15 tahun lagi.

Ahmad Shaiful Azis, 31, yang lebih dikenali Mat Dagu dalam arena sukan BMX berkata, terdapat tiga kategori basikal dalam sukan BMX terutama bagi flatland.

“Kategori tersebut ialah beginner, amatur dan profesional. Terdapat perbezaan ketara pada basikal-basikal ini dari segi kualiti dan harga.

“Sebagai contoh harga bagi basikal profesional adalah RM4,000 ke atas manakala amatur dan beginner pula berharga RM1,000 hingga RM4,000,” katanya.

Mat Dagu menambah, bahan yang digunakan juga berbeza seperti penggunaan keluli chromoly dan aluminium siri 7075 untuk memastikan ia ringan.

Walaupun tidak sepopular dulu namun akuinya, sukan lasak BMX semakin berkembang di negara ini kerana terdapat barisan pelapis yang giat memasuki pertandingan antarabangsa dan tempatan.