'Boleh tembak' Tunku Puteri


TEMU BUAL wartawan Norlida Akmar Idros bersama Puteri Intan Syafinaz berlangsung santai disebabkan sikap ramah puteri bongsu Sultan Kedah itu.


PERTAMA kali bersua muka dengan seorang puteri raja sememangnya mendebarkan. Namun, sifat merendah diri dan kesantunan bahasa yang ada pada Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim membuatkan sesi temu ramah selama sejam itu bersifat santai.

Puteri Intan Safinaz atau lebih mesra dipanggil Tunku Puteri ialah puteri bongsu Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Almarhumah Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.

Beliau kini merupakan Pro-Canselor kepada dua buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Universiti


PELANTIKAN Puteri Intan Safinaz sebagai Pro-Canselor UKM melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan sejak 40 tahun penubuhan universiti tersebut.


Dilantik sebagai Pro-Canselor UKM, sebuah universiti yang sudah wujud selama 40 tahun dan UPNM yang baru ditubuhkan dianggap satu lagi pencapaian Tunku Puteri.

“Ini adalah satu pengiktirafan,” katanya kepada Jurnal di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Tunku Puteri dilantik sebagai Pro-Canselor UKM pada 5 Januari lalu manakala di UPNM 10 Oktober 2010.

Di UKM, Tunku Puteri menjadi wanita pertama dalam senarai 10 orang Pro-Canselor universiti itu.

“Saya kini sedang mendalami falsafah pendidikan negara dan merancang mengadakan perjumpaan dengan semua penuntut dan kakitangan universiti,” ujarnya mengenai perancangan awal selepas dilantik memegang dua jawatan itu.

Menurut Tunku Puteri, misi beliau di UKM adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan manakala di UPNM beliau menekankan aspek kepimpinan dan pertahanan negara.

“Walaupun bidang ini baru bagi saya, saya gembira kerana misi dan falsafah kedua-dua universiti ini amat bertepatan dalam pembangunan pengajian tinggi negara,” jelasnya.

Tunku Puteri juga melihat sektor pendidikan di Malaysia mampu berkembang lebih pesat setanding universiti terkemuka di luar negara di samping berupaya menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing ke negara ini.


SELAIN meluangkan masa bersama, Puteri Intan Safinaz juga gemar memasak hidangan itik golek buat ayahandanya.


“Saya yakin Malaysia boleh menjadi hab pendidikan serantau tetapi kita perlu ada tarikan tersendiri seperti pengkhususan dalam satu-satu pengajian.

“Contohnya, kita boleh menjadikan pengajian Islam atau perubatan sebagai pengkhususan yang boleh menarik lebih ramai pelajar asing datang ke sini,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Tunku Puteri, kemasukan mereka perlu dipantau bagi mengelakkan penularan masalah sosial seperti dadah dan jenayah.

Mengenali lebih dekat puteri berjiwa rakyat ini, Tunku Puteri ada cara untuk mengisi masa lapang selepas penat melaksanakan tugas-tugas rasmi.

“Saya minat mengisi masa lapang dengan membaca, bermain golf, berbasikal dan yang terbaru, saya aktif dalam permainan paintball,” tuturnya.

Itik golek


SEWAKTU menerima pentauliahan sebagai Pro-Canselor UPNM daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Oktober lalu.


Menurut Tunku Puteri, beliau masih baru dalam sukan itu.

“Saya tidaklah pandai sangat main paintball tapi ia memang menyeronokkan. Ia satu cara yang baik untuk berinteraksi dengan golongan remaja.

“Bagi saya, jika mahu memahami keperluan remaja, kita perlu melibatkan diri dengan mereka dalam sebarang aktiviti termasuk sukan,” katanya yang kini banyak membaca buku berkaitan sejarah negeri Kedah, kepimpinan, pertahanan serta ketenteraan.

Untuk benar-benar merasai keseronokan aktiviti ekstrem itu, tiada keistimewaan diberikan kepadanya walaupun bergelar kerabat diraja. Sebaliknya, permainan paintball itu berlangsung seperti biasa.

“Ada peserta yang tanya bolehkah tembak Tunku Puteri, saya kata boleh asalkan ikut peraturan. Apa lagi, habislah badan saya lebam-lebam terkena tembakan,” cerita beliau tersenyum.

Tunku Puteri juga kerap dilihat bersiar-siar menaiki basikal di sekitar bandar Alor Setar sambil menikmati pemandangan indah sawah padi di Negeri Jelapang Padi itu.

Menurut beliau, di samping menenangkan fikiran, semua hobi riadah itu membantu beliau menjaga kesihatan.

Selain aktif beriadah, Tunku Puteri juga tidak kekok untuk masuk ke dapur dan memasak makanan kegemaran ayahandanya.

Antara hidangan santapan istimewa hasil air tangan Tunku Puteri yang menjadi kegemaran Sultan Kedah ialah itik golek.

“Tuanku suka hidangan itik golek dan saya pernah buat sekali dua,” ceritanya.


SEBAGAI puteri sultan, Puteri Intan Safinaz prihatin dengan keperluan rakyat terutama semasa musim perayaan ataupun tatkala negeri Kedah dilanda musibah.


Biarpun dibesarkan dalam persekitaran istana, Tunku Puteri tidak canggung berbicara dalam loghat Kedah yang biasanya dituturkan oleh rakyat jelata.

“Saya memang cakap dengan loghat Kedah dan saya sedar ada banyak lagi perkataan Kedah lama yang saya tidak tahu.

“Perkataan lama seperti ‘godam’ iaitu pukul dan ‘meloroih’ (jatuh atau gugur) sangat jarang digunakan,” kata Tunku Puteri.

Menurutnya, perkataan unik itu hanya akan diketahuinya apabila berbual dengan orang tua-tua.

“Mungkin satu hari nanti saya akan buat kamus perkataan Kedah lama iaitu perkataan yang orang jarang guna,” katanya.

Namun, kata Tunku Puteri, loghat Negeri Sembilan juga tidak patut dilupakan kerana almarhumah bondanya, Tuanku Bahiyah dilahirkan di negeri Adat Pepatih berkenaan.

“Bila balik Negeri Sembilan, saya kena cakap loghat Negeri Sembilan juga walaupun ‘boghek’ (berat) nak bertutur dalam loghat itu,” ujarnya.

Masih berada pada bulan pertama tahun 2011, Tunku Puteri sempat berkongsi harapan dan azamnya untuk tahun pertama dekad baru ini.

Azam


PUTERI Intan Safinaz merupakan Brigadier Jeneral Rejimen 513 Askar Wataniah.


“Saya sedar bahawa kerja saya semakin bertambah dan sekarang saya perlu merancang bagaimana untuk menguruskan semua itu dengan baik,” katanya.

Selain melaksanakan amanah sebagai Pro-Canselor sebaik mungkin, azam terpenting Tunku Puteri adalah memastikan kesihatannya berada pada tahap paling baik dengan memperbanyakkan senaman serta meluangkan masa untuk berehat.

“Jangan kerja teruk sangat sampai minda dan kesihatan terjejas. Jangan abaikan pengurusan stres kerana ia amat penting,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Tunku Puteri turut berdoa agar musibah banjir yang melanda negeri Kedah pada November tahun lalu tidak lagi berulang.

“Ia satu tekanan yang berat kepada rakyat. Saya harap tidak ada lagi malapetaka seperti itu pada tahun ini,” tambahnya.