Rooney kembali mengganas


ROONEY (kiri) bijak memperdaya penjaga gol Aston Villa, Brad Friedel untuk menjaringkan gol kedua United di Old Trafford, kelmarin. Dia turut menjaringkan gol pertama.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya 'ayam tambatannya', Wayne Rooney kini telah kembali menemui sentuhan penyudahnya semula.

Kenyataan Ferguson itu hadir selepas penyerang antarabangsa England itu meledak dua gol ketika membantu skuad The Red Devils menewaskan Aston Villa 3-1 dalam saingan Liga Perdana England, awal pagi semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, Rooney membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan sebelum meledak gol kedua pada minit ke-45.

Darrent Bent berjaya merapatkan jurang gol buat Villa pada minit ke-58 namun Nemanja Vidic melengkapkan kemenangan The Red Devils apabila menjaringkan gol ketiga lima minit kemudian.

Sebelum ini, Rooney sering kali bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila dia hanya mampu merekodkan lima gol dalam saingan liga musim ini.

Kemenangan yang dilakar United itu terus mengukuhkan lagi cengkaman mereka selaku pendahulu liga apabila mengumpul 54 mata, lima mata meninggalkan Arsenal yang menghuni tangga kedua.

Lebih manis, anak-anak buah Ferguson turut mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini dengan kemenangan ke atas Villa itu.

Ferguson berkata, dia tidak pernah berasa ragu dengan kualiti yang dimiliki Rooney sebagai penyerang malah percaya yang pemain itu mampu menjaringkan gol buat United.

"Faktor utama yang mendorong seseorang penyerang itu terus digeruni adalah dengan menjaringkan gol. Apabila kamu menjaringkan gol, ia akan menjadi pendorong untuk kamu terus melakukannya.

"Dia (Rooney) tidak boleh dikritik disebabkan prestasi cemerlangnya itu tetapi dia perlu diberikan ganjaran di atas kerja keras yang dipamerkannya selama ini," kata Ferguson. - AFP