Shahriza nekad dedah umur


PASANGAN pengantin bergambar kenangan bersama ahli keluarga sebelah mempelai lelaki.


LUKA di hati pengarah dan pelakon drama, Shahriza Mahmud, 45, selepas dikecewakan seorang lelaki bernama suami 14 tahun lalu masih berbekas sehingga ke hari ini.

Malah, episod duka ditinggalkan suami beberapa hari selepas bernikah itu turut mengundang keresahan kepada anak kelahiran Alor Setar itu untuk naik ke jinjang pelamin buat kali kedua.

Tidak dapat menolak ketentuan Ilahi, Shahriza pada Sabtu lalu bertemu jodoh dengan abang penyanyi Anna Raffali iaitu Saddiq yang 15 tahun lebih muda daripada usianya.

Pasangan yang sudah menjalin cinta sejak empat tahun lalu itu sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Rafeah, Alor Setar, Zakaria Long berwalikan bapa pengantin perempuan, Mahmud Ismail, 76, dengan mas kahwin RM1,111.11.

Dengan sekali lafaz, pelakon drama Semanis Janji dan Antara Maruah dan Pengorbanan itu sah bergelar isteri kepada Saddiq yang merupakan penolong pengarah dan pelakon drama.

Sementara, majlis persandingan pula berlangsung di kediaman keluarga Shahriza di Taman Muhibbah, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada pukul 1 petang hari yang sama.

Kedua-duanya mengenakan persalinan tajaan Zeellion Bridal Gallery & Beauty bertemakan warna hijau.

Shahriza ketika ditemui selepas majlis akad nikah, sebak apabila ditanya tentang perasaannya setelah bergelar seorang isteri kepada Saddiq.

“Sehingga ke saat ini saya seperti tidak percaya sudah menjadi isteri orang kerana terlalu lama saya hidup sendirian tanpa suami,” tuturnya.

Dihantui kisah silam

Menurutnya, biarpun masih dihantui kisah silam, dia menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada Saddiq untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dengan bertanggungjawab.

“Saya teringin sangat nak melalui alam rumah tangga dengan Saddiq kerana dulu saya tidak sempat nak alami saat-saat seperti ini. Masa perkahwinan pertama, saya ditinggalkan suami beberapa hari selepas bernikah dan dia menghilangkan diri selama empat tahun empat bulan sebelum muncul semula dan kami bercerai selepas itu,” ungkapnya.

Tambah Shahriza, dia tidak meragui keikhlasan hati Saddiq untuk mengahwininya dan yakin dapat hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.

“Jika berulang lagi kisah pahit, saya mungkin buat keputusan untuk hidup single,” ucapnya.

Kata Shahriza, angka mas kahwin iaitu RM1,111.11 membawa makna tersendiri kepada dia dan suami kerana ia merujuk cinta dan kebahagiaan yang berkekalan buat selama-lamanya.

“Walaupun kami berdua sensitif dan suka merajuk tetapi kami akan berbaik semula dan berbincang untuk memperbaiki kesilapan untuk membina hubungan yang lebih baik,” akuinya.

Menyentuh tentang jarak usia, ujarnya, perkara itu tidak menjadi masalah selagi wujud persefahaman antara mereka.

“Jarak usia tidak penting, apa yang perlu diutamakan adalah sikap saling menghormati dan menyedari tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, dia tidak pernah mendedahkan usianya yang sebenar kepada kalangan wartawan.

“Tetapi hari ini saya tidak kisah untuk mendedahkan usia saya yang sudah mencecah 45 tahun kerana saya sudah berpunya,” tegasnya sambil tersenyum.

Menceritakan tentang perkenalannya dengan Saddiq, katanya, dia mula mengenali suaminya itu ketika dia menjadi tenaga pengajar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam bidang seni lakonan, lima tahun lalu dan Saddiq merupakan salah seorang pelajarnya.

“Pada masa itu saya tidak suka dengan dia (Saddiq) sebab sombong sedikit kerana dia ada stail tersendiri dan kemudiannya kami terpisah selepas Saddiq habis kursus di situ.

“Tidak lama kemudian kami bertemu lagi di Bukit Antarabangsa selepas bekas pelajar saya termasuk Saddiq merancang untuk buat filem pendek,” ceritanya.


ANNA RAFALLI mendoakan abangnya, Saddiq dan kakak iparnya, Shahriza beroleh kebahagiaan selagi hayat dikandung badan.


Ujarnya lagi, sepanjang proses pembikinan filem pendek selain mengadakan program Anjung Budi untuk RTM, hubungannya dengan Saddiq semakin rapat dan serius setahun selepas perkenalan itu.

Tambahnya, perbincangan mengenai perkahwinan pula dilakukan pada Disember tahun lalu bagi menunaikan hasrat kedua-dua ibu bapa untuk melihat mereka disatukan selepas kembali daripada menunaikan Haji di Mekah.

“Alhamdulillah, hasrat baik ibu bapa saya dapat ditunaikan dan insya-Allah kami akan melayari alam perkahwinan ini dengan baik,” ujarnya.

Cahaya mata

Ketika diajukan tentang cahaya mata, Shahriza mengakui dia tidak merancang dan menerima dengan hati terbuka sekiranya diberi rezeki anak dalam masa terdekat.

“Saya tidak merancang apa-apa dan akan menerimanya dengan tangan terbuka jika ditakdirkan saya dikurniakan anak dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Saddiq yang hanya tersenyum sepanjang sesi temu ramah itu berkata, dia gembira apabila hasratnya untuk bergelar suami kepada Shahriza yang dianggapnya sebagai insan istimewa dalam hidup tercapai.

“Saya sudah lama tunggu saat-saat ini kerana kami telah bercinta selama empat tahun dan Alhamdulillah kami sudah jadi suami isteri yang sah.

“Bercinta lama sangat pun tak elok dan saya buat keputusan untuk berkahwin kerana keikhlasan yang ditunjukkan Shahriza dalam hubungan ini,” katanya.

Tambahnya, dia dan Shahriza selepas ini akan cuba membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Kesibukan tidak ada masalah kepada kami kerana selama empat tahun bercinta kami sudah biasa dengan keadaan kerja dan jika ada masa terluang kami akan berehat bersama,” ungkapnya.

Pasangan tersebut memilih Cameron Highlands untuk berbulan madu dan merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat di rumah suami pada masa terluang kelak.

Jodoh Anna Raffali

Dalam pada itu, Anna Raffali berharap agar hubungan abangnya dengan isteri berkekalan sampai bila-bila.

“Harapan saya semoga abang saya dan Kak Shah mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat,” katanya.

Ditanya tentang jodohnya sendiri, menurut Anna, dia masih belum mempunyai perancangan ke arah itu buat masa ini dan akan menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian.

“Buat masa sekarang, sejak menang satu anugerah besar (Anugerah Juara Lagu Ke-25) pada hari itu, saya perlu tumpukan perhatian dalam bidang nyanyian untuk buktikan bahawa saya betul-betul serius dalam bidang itu,” tegasnya.