Banjir kilat landa ibu negara


PENUNGGANG motosikal terpaksa meredah air akibat banjir kilat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat menyebabkan kesesakan teruk petang semalam. Laluan terlibat ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) menghala ke Cheras, Jalan Ampang dan Jalan Semarak.

Banjir kilat akibat hujan lebat itu turut menyebabkan 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P. Ramlee, Setapak dinaiki air.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, banjir kilat itu menyebabkan ribuan kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Hujan lebat pada petang ini (semalam) menyebabkan air di Sungai Gombak dan Sungai Bonus melimpah.

"Akibatnya berlaku banjir kilat sedalam kira-kira 0.7 meter sekali gus menyebabkan banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.