MCKK tuntut pembaharuan


BANGUNAN bercirikan Greco-Roman MCKK perlu dibaikpulih dan dipulihara dengan teliti.


BERSTATUS sebagai sekolah elit, mungkin ramai yang tidak menyangka sekolah berasrama penuh pertama negara itu memerlukan sumber kewangan dalam usaha untuk mengembalikan keceriaan persekitarannya.

Seperti juga bangunan-bangunan lama yang lain, bangunan yang bercirikan seni bina Greco-Roman MCKK itu tidak terlepas daripada faktor dimamah usia.

Justeru itu, ia menuntut sentuhan semula untuk menceriakan kembali sekolah yang telah melahirkan ramai pemerintah, pembesar, pemimpin dan tokoh korporat terkemuka negara.

Bercakap dalam konteks pembaharuan, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua MCKK waNita (MCOBANITA) iaitu sebuah persatuan isteri dan keluarga wanita bekas pelajar sekolah itu, Datin Norzihan Ahmad memberitahu, bahagian dalam bangunan institusi pendidikan ulung di bandar diraja Perak itu kelihatan begitu daif.

“MCKK perlu dibaikpulih kerana sebagai sebuah bangunan lama, banyak bahagian yang telah usang dan warna cat juga sudah teruk.


MAJLIS minum petang dan pertunjukan fesyen Granoff dan sepatu London anjuran MCOBANITA diadakan untuk mengumpulkan dana membaikpulih bangunan MCKK.


“Kerana itu beberapa bahagian bangunan di MCKK termasuk di bahagian prep school untuk pelajar di tingkatan satu telah dibaikpulih untuk julung-julung kalinya bermula 5 Februari lalu yang menelan kos sebanyak RM30,000,” katanya yang ditemui selepas Majlis Minum Petang dan Pertunjukan Fesyen MCOBANITA di ibu negara baru-baru ini.

Sebelum itu, Norzihan memberitahu, semasa menyambut perayaan 100 tahun MCKK pada tahun 2005, selain menyaksikan penubuhan rasmi MCOBANITA, majlis tersebut turut menyaksikan pengumpulan dana sebanyak RM65,000 untuk disumbangkan kepada MCKK.

Menjelang pertemuan baru-baru ini, sebanyak RM90,000 telah berjaya dikumpulkan dengan tujuan untuk membaikpulih bangunan MCKK.

“Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang sudi untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada kami dalam usaha untuk memelihara bangunan MCKK.

“Majlis ini turut berperanan seperti penggera khususnya kepada kerajaan. Kami menerima apa sahaja bentuk bantuan sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit,” ujarnya sambil memberitahu projek itu akan berterusan sehingga bila-bila.

Bagi yang ingin menyalurkan bantuan, boleh menghantar e-mel ke alamat [email protected] atau menghubungi 03-2274 3176.