Rentak pelumba Malaysia sumbang


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diperkenalkan kepada pelumba negara, Hariff sebelum bermulanya saingan peringkat kelima di Pekan, Pahang semalam.


SEPERTI diduga, saingan peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM) 2011 semalam adalah perlumbaan paling mencabar buat barisan pelumba Malaysia.

Pada perlumbaan dari Pekan ke Bentong sejauh 221.2 kilometer itu, pelumba negara dilihat bergelut untuk menamatkan jarak terpanjang pada JM edisi kali ini apabila pelumba LeTua, Vidal Celis Zabala berjaya muncul juara, sekali gus merampas Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada tangan jaguh pecut negara, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Pro Asia (TSG).

Zabala yang juga juara peringkat kedua dari Bandar Penawar ke Kluang, mencatat masa 5 jam, 13 minit dan 10 saat untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Hanya seorang saja pelumba dari Malaysia, iaitu Mohd. Shahrul Mat Amin dari pasukan TSG yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terawal dengan menduduki tempat keenam dengan catatan masa yang sama.

"Hari ini jarak perlumbaan sangat jauh dan saya juga kehilangan banyak tenaga kerana terlalu banyak breakway daripada pelumba lain," kata Zabala pada sidang media semalam.

"Begitupun, saya tetap berusaha untuk memastikan saya tidak ketinggalan jauh daripada pelumba di depan dan ketika semakin menghampiri penamat, saya seperti mendapat tenaga baru untuk melakukan pecutan.

"Jadi esok (hari ini) saya akan cuba mengekalkan Jersi Kuning ini, tetapi perlumbaan terakhir esok juga amat jauh. Mungkin ramai pelumba lain yang akan cuba berada dekat dengan saya. Saya harap rakan sepasukan dapat membantu saya pada saingan esok," ujarnya lagi.

Sementara itu, pelumba TSG, Mohd. Hariff Salleh masih mengekalkan Jersi Hijau sebagai Raja Pecut dengan 66 mata diikuti rakan sepasukan, Anuar (62 mata) dan Ioannis Tamouridis (44 mata).

Jersi Biru selaku Pelumba Terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Tabriz Petrochemical, Mehdi Sohrabi manakala pelumba pasukan Asian Racing dari Jepun, Kenichi Suzuki mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit.

Bagi Jersi Putih untuk pelumba terbaik Malaysia pula dimenangi Amir Mustafa Rusli dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

PasukanTabriz Petrochemical dari Iran terus mengungguli gelaran pasukan terbaik keseluruhan diikuti Giant Kenda dari Taiwan dan Eddy Merckx - Indeland dari Greece.

TSG pula kekal menjadi pasukan terbaik Malaysia keseluruhan diikuti pasukan LeTua dan skuad kebangsaan Malaysia.

Hari ini, JM2011 akan melabuhkan tirainya dengan peringkat keenam bermula dari Batu Caves ke USIM sejauh 175.1 km dengan melibatkan tiga zon pecutan iaitu di Petronas Jalan Reko, Kajang (zon 1), IKTBN Sepang (zon 2) dan Petronas Taman Semarak (zon 3) manakala dua zon pendakian pula di Look Point, Ampang (KOM 1) dan Semenyih (KOM 2).