Kembara tanpa had


HIMPUNAN kasut Timberland musim bunga dan panas 2011 begitu ideal buat jejaka lasak.


IMEJ rugged yang dimiliki rangkaian kasut Timberland sememangnya padan dengan penampilan pemakai yang gemarkan aktiviti luar yang lasak. Justeru, sempena musim bunga 2011, rekaannya diperhebat dengan suntikan teknologi yang menjadikannya kalis air bagi memenuhi impian gaya lelaki dan wanita.

Menurut Pengurus Pemasaran Timberland Asia Tenggara, Cheryl Kow, kanvas sememangnya dikenali sebagai fabrik yang tahan lasak, ringan dan memudahkan aliran udara. Ia menjadi pilihan sempurna untuk digayakan sempena musim bunga dan musim panas khususnya bagi pengembaraan luar serta aktiviti lasak.

“Tetapi, seringkali kasut yang selesa mempunyai had keseronokan memakainya. Oleh itu, Timberland membawakan inovasi ke atas rangkaian kasutnya yang bukan sahaja tahan lasak dan kalis air, malah tidak mengabaikan faktor keselesaan agar kaki sentiasa ‘bernafas’. Jadi si pemakai akan sentiasa berasa hebat untuk tempoh yang panjang,” tambahnya.

Menurut beliau, kanvas bionik dihasilkan menggunakan benang bionik yang merupakan material unik yang dibuat daripada 50 peratus kapas organik, 38 peratus polietilena terephthalate (PET) dan 12 peratus poliester.

“Timberland adalah yang pertama memperkenalkan rangkaian kasut yang dihasilkan menggunakan struktur heliks berganda hasil inovatif material yang menjadikannya 30 peratus lebih kuat berbanding kanvas biasa. Bahan itu juga mengekalkan bentuk dan rasa asli kanvas daripada kapas.

“Ia terbukti 30 peratus lebih cepat kering berbanding 100 peratus kanvas kapas. Kanvas bionik adalah dua kali ganda kalis air dan kotoran serta menjadi elemen penting bagi rekaan musim bunga,” katanya.

Katanya, rangkaian kasut Timberland terdiri daripada siri City Adventure Streeterville Mixed Media Ox yang tampil dengan tiga warna iaitu Dark Brown Full Grain, Tan & Blue Full Grain dan White Full Grain.

Siri City Adventure Split Cupsole Leather & Fabric Ox pula tampil tiga warna iaitu Maroon Canvas/Suede, Yellow Canvas/Suede dan Off White Canvas/Suede,” katanya.

Kesemua rangkaian kasut terbaru Timberland boleh dimiliki pada harga RM439 sepasang.

Jaket Bionic Twill Wharf

Koleksi kanvas bionik Timberland kini lengkap dengan jaket yang direka khas dengan perincian yang mengangkat inspirasi keaslian klasik oleh New England. Ia diperbuat daripada fabrik benang bionik yang kalis air. Tampil dengan warna matahari, potongannya praktikal dan sesuai untuk pelengkap gaya.

Ia boleh didapati di semua butik Timberland seluruh negara bermula Januari lalu pada harga RM299.