11 cedera loji nuklear Jepun meletup


LETUPAN berlaku di janakuasa nuklear Fukushima Daiichidi Fukushima, timur laut Jepun semalam.


FUKUSHIMA - Letupan hidrogen kedua menggegarkan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di sini selepas pihak berkuasa Jepun berkerja keras untuk mengelakkan reaktornuklear loji berkenaan daripada melebur susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada Jumaat lalu.

Peleburan teras radioaktif di dalam reaktor nuklear loji itu boleh menyebabkan pencemaran radiasi yang mengancam keselamatan beribu-ribu penduduk sekitarnya.

Namun, beberapa pegawai berkata, dinding-dinding tebal yang mengelilingi teras radioaktif reaktor nuklear itu masih kukuh selepas letupan hidrogen tersebut, yang kedua sejak Sabtu lepas.

Kebimbangan besar kerajaan Jepun sekarang, adalah berlakunya kebocoran radiasi di loji nuklear tersebut yang terletak di Fukushima, 240 kilometer ke utara bandar ini.

Sejak hujung minggu lalu, jurutera-jurutera bertungkus-lumus berusaha untuk mengelakkan kebocoran radiasi di tiga reaktor nuklear loji berkenaan.

Dinding teras reaktor nombor 3 masih utuh selepas letupan berlaku, kata kerajaan tetapi ia memberi amaran agar orang ramai yang berada dalam zon perpindahan sekitar 20 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.

Pemilik loji tersebut, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, 11 orang cedera dalam letupan itu.

"Semua yang saya lihat menyatakan bahawa dinding bekas teras reaktor nombor 3 itu masih berfungsi dan ia mengelak radiasi daripada tersebar dan berita ini adalah berita baik," kata pakar nuklear Universiti Negeri San Diego State, Murray Jennex.

"Letupan ini bukan seperti letupan di loji nuklear Chernobyl, Ukraine. Loji Chernobyl tiada dinding penghadang apabila ia meletup pada 1986 dan menghamburkan bahan radioaktif ke udara," tambahnya.

Namun begitu, seorang pegawai Jepun berkata, terdapat 22 orang yang disahkan mengalami pencemaran radiasi sebelum letupan itu dan 190 lagi mungkin terdedah pada kebocoran tersebut.


KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik sebahagian janakuasa nuklearFukushima Daiichi meletup semalam.


Perkembangan tersebut turut menyebabkan beberapa kapal perang dan pesawat AS yang membawa bantuan kemanusiaan menjauhi kawasan Fukushima buat sementara waktu.

Pemerintah Ketumbukan Ketujuh Tentera AS menyatakan, tindakan itu merupakan langkah pencegahan bagi mengelak pencemaran radioaktif.

Sementara itu, di timur laut Jepun, hampir keseluruhan prasarana terutamanya jalan raya, landasan keretapi, bekalan elektrik dan pelabuhan kini lumpuh.

Anggaran awal kerugian yang ditanggung akibat malapetaka gempa bumi dan tsunami itu mencecah AS$170 bilion (RM516 bilion).

Kerugian besar itu, kata beberapa penganalisis ekonomi, boleh menyebabkan Jepun diambang kemelesetan ekonomi.

Kesan ekonomi itu dilihat semalam apabila bursa saham Jepun mengalami kejatuhan lebih enam peratus dengan nilai mata wang yen pula diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkembangan berkaitan, pekerja-pekerja penyelamat mencari mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan di utara ibu negara Jepun, di sini.

Berjuta-juta penduduk Jepun kini terputus bekalan elektrik dan air.

Keadaan di negara matahari terbit itu amat teruk sehinggakan Perdana Menteri Naoto Kan menyifatkan Jepun kini mengalami krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Beberapa pegawai memberitahu, sekurang-kurangnya 10,000 orang dikhuatiri terkorban di Jepun dalam bencana gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter itu yang disusuli ombak besar tsunami.

Semalam, agensi berita Kyodo News melaporkan sebanyak 2,000 mayat telah ditemui di dua buah pantai pesisiran pantai di Miyagi, timur laut Jepun. - Reuters