Nostalgia zaman kanak-kanak di Toy Museum


PATUNG Predator bersaiz gergasi sebesar orang dewasa yang menjadi tarikan kanak-kanak.


BUKAN sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut teruja. Itu gambaran jujur sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam Muzium Mainan Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Toy Museum.

Merupakan muzium pertama seumpamanya di negara ini, Muzium Mainan Pulau Pinang memang unik dengan koleksi kira-kira 80,000 patung mainan.

Tidak susah untuk ke sini. Terletak di Jalan Tanjung Bungah, namanya turut tercatat dalam peta pelancongan negeri sebagai lokasi yang perlu dilawati jika ke Pulau Mutiara.

Bayaran masuknya hanya RM10 bagi dewasa dan RM6 kanak-kanak, manakala pelancong asing pula dikenakan bayaran RM20 dan RM10 seorang.

Selain watak kartun dan permainan popular, koleksinya terdiri watak rancangan televisyen, filem sehinggalah selebriti dan tidak ketinggalan figura aksi.

Antaranya koleksi superhero daripada komik Marvell, siri televisyen Buffy The Vampire, watak-watak filem Army of Darkness dan set patung Eddie iaitu maskot kumpulan rock Barat popular Iron Maiden.

Tidak ketinggalan Power Rangers, Lilo & Stich, Spiderman, Mr Bean, Shrek, Kung Fu Panda, Transformers, Batman, Gremlins dan Conan.

Turut mencuri tumpuan ialah set patung permainan Barbie dan teman lelakinya Ken, Snow White serta watak figura filem-filem aksi Hollywood bersaiz sebenar.

Kepuasan pelawat

Bagi si dewasa, menyusuri satu persatu ruang pameran di dalam Toy Museum mengembalikan nostalgia di zaman kanak-kanak, tidak kiralah sama ada yang lahir di era 60-an, 70-an mahupun 80-an.

Mana tidaknya, mata tidak berkelip melihat koleksi perwira galaksi seperti G-Force Battle of The Planet, set permainan Gundam dan robot hebat Voltron.

Bukan sekadar pameran biasa, di setiap sudut pameran turut dijelaskan serba sedikit mengenai watak-watak yang dipamerkan.

Ini termasuklah di Galeri Field of Combat yang bukan sahaja mempamerkan patung permainan tentera seperti kapal dan pesawat pejuang, tetapi mencatatkan latar belakang peristiwa sesebuah peperangan.

Toy Museum pernah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records pada tahun 2003 kerana memiliki 120,000 koleksi patung permainan yang disifatkan sebagai antara jumlah terbanyak di dunia.

Ia mengatasi jumlah muzium serupa di Jepun dan Singapura.

“Sudah lama kami sekeluarga merancang ke sini dan kami memang berpuas hati walaupun terpaksa membayar RM68 untuk kami sekeluarga masuk,” ujar guru dari Batu Pahat, Johor, Rus Mizi Ibrahim, 37.

Seorang lagi pengunjung dari Ipoh, Perak, Mohd. Salleh Ayarshah, 33, pula memberitahu, anak-anaknya begitu teruja ke sini.

“Muzium ini menjadi antara lokasi wajib kami ketika melancong ke Pulau Pinang,” ujarnya.

Bercakap dengan pemiliknya pula, Ir. Loh Lean Cheng, 55, minat yang mendalam menyebabkan beliau membuka muzium itu pada tahun 2005 bagi mempamerkan segala koleksinya untuk dikongsi bersama orang ramai.

“Kunjungan ke sebuah muzium maninan di London ketika berusia 19 tahun memberi inspirasi kepada saya.

“Sejak itu saya mula mengumpulkan pelbagai jenis mainan dan jumlahnya semakin bertambah sehinggalah mencecah 100,000 mainan dan tidak muat untuk disimpan di rumah,” katanya berseloroh.

Kebanyakan patung-patung itu diperoleh secara eksklusif terus dari syarikat produksi di Hollywood, jadi ia sukar ditemui di tempat lain.

Menerima kunjungan kira-kira 100,000 pengunjung setahun termasuk 35 peratus dari luar negara, Toy Museum disifatkan sebagai lokasi yang wajib dilawati selain, Bukit Bendera dan pantai Batu Feringghi.

Lokasi baru

Namun, di sebalik reputasi itu, ia masih belum memberikan kepuasan kepada Lean Cheng kerana impiannya kini adalah untuk membina sebuah muzium mainan yang lebih besar dan lengkap.

Ruang muzium yang terletak berhampiran Hotel Copthorne Orchid itu yang sempit menyebabkan banyak koleksi-koleksi patung permainan baru tidak dapat dipamerkan.

“Lihatlah keadaan dalamnya, ada bahagian lantai yang rosak tetapi, sukar dibaiki kerana kami hanya menyewa di sini.

“Kami perlukan ruang lebih besar agar banyak lagi koleksi patung permainan boleh dipamerkan, malangnya niat kami terbatas,” keluh Lean Cheng yang membuka muzium itu kerana ingin berkongsi minat dengan orang ramai.

Cadangan beliau untuk membina sebuah muzium mainan baru bertaraf antarabangsa berkeluasan 2,787 meter persegi berdekatan Taman Botani ditolak kerajaan negeri.

“Saya bukan memohon bantuan kewangan kerana kos membina muzium bernilai kira-kira RM5 juta itu saya biayai sepenuhnya, tetapi kebenaran menyewa tanah di kawasan itu.

“Dengan jumlah pengunjung yang bertambah sebanyak 20 peratus setahun, muzium ini perlu dipindahkan.

“Taman Botani paling sesuai selain tidak jauh dari pusat bandar. Projek ini pun bukannya menjejaskan kehijauan taman itu, sebaliknya melonjakkan lagi kehadiran pengunjung ke sana,” ujarnya.