Dua beranak parah dirempuh Perodua Viva


DUA anggota bomba memeriksa kereta Viva yang melanggar dua beranak selepas terperosok ke dalam longkang sebaik dirempuh sebuah van dalam kemalangan di Semabok semalam.


MELAKA - Orang lain yang cuai, orang lain pula yang terpaksa menerima padah.

Kata-kata itu sesuai untuk menggambarkan mengenai nasib yang menimpa dua beranak apabila mereka nyaris lemas selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva ketika sedang berjalan pulang ke rumah di Semabok di sini semalam.

Kejadian pukul 12.15 tengah hari itu menimpa Nurshamsiah Samawi, 6, dan ibunya, Misliyah Nafhan, 35, apabila mereka tercampak ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.

Ekoran itu, Misliyah patah kaki kanan manakala Nurshamsiah pula nyaris lemas sebelum diselamatkan oleh orang ramai yang menghantar mereka ke Hospital Melaka.

Seorang saksi, Sazly Mak Lip, 32, berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van yang dipandu laju melanggar belakang Viva sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter ke kiri jalan.

"Pada masa sama, kereta Viva itu telah merempuh dua beranak tersebut mengakibatkan mereka tercampak ke dalam longkang. Kereta Viva dan van itu juga terperosok ke dalam longkang," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.