Video seks: Misteri ‘Datuk T’ terjawab

23/03/2011 7:32pm

KUALA LUMPUR - Misteri di sebalik “Datuk T” yang mengemparkan negara dengan pendedahan sebuah klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang, terjawab hari ini.

Datuk Shazryl Eskay Abdullah, seorang ahli perniagaan, mengaku bahawa beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara dua hari lepas.

Pendedahan itu dibuat pada satu sidang media bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik di sebuah hotel di sini petang ini.

Shazryl juga mendedahkan bahawa “Datuk T” sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, Rahim dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, yang tidak hadir pada persidangan akhbar itu.

Shazryl dan Rahim mengulangi pendirian “Datuk T” bahawa mereka mahu sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menentukan kesahihan video tersebut untuk membuktikan pelaku seks dalam rakaman itu adalah seorang pemimpin pembangkang. - Bernama