Helah dan ilusi di tangan pakar




BEBERAPA kad terup dilihat dilekat menggunakan pita lutsinar membentuk kipas. Sekeping kad bernombor lapan dilekatkan di bahagian tengahnya. Tangan kanan yang memegang kad tersebut diserongkan sedikit ke bawah sementara tangan kiri perlahan-lahan melepaskan kad itu.

Ini diikuti tangan kanan. Mimik muka si pelakunya kelihatan serius memberi tumpuan pada siri kad yang sudah terapung tanpa dipegang.

Bagi ahli silap mata itu, Arif Muazzim Abdul Rahman atau Amar, muslihat yang dilakukannya itu tidak menggunakan kuasa tertentu. Menurutnya, silap mata adalah permainan helah, ilusinasi dan mentalisme.

Bagi lelaki berusia 30 tahun itu, silap mata mengapungkan sesuatu objek mahupun diri sendiri sama sekali tidak memerlukan bantuan kuasa luar biasa. Amar yang berlatar kerjaya sebagai peguam itu memberitahu, sesiapa pun mampu membuat helah itu dengan mudah jika rajin berlatih.

"Ia sebenarnya skil meyakinkan orang untuk berfikir dan percayakan sesuatu melalui ilusinasi. Itu sahaja," kata Amar yang turut dikenali sebagai penyanyi nasyid.

Sementara itu, seorang lagi ahli silap mata, Mohd Hafidz Osman, 39, juga memberikan jawapan yang hampir sama, bagaikan melindungi kerahsiaan kerjaya menarik itu.

"Silap mata tiada kaitan dengan sihir. Ia hanya ilusinasi, ibarat menonton filem dengan efek khas. Mata sering ditipu," katanya yang menjaja nama Hafizz The Wizzard.

Hafidz yang ditemani adik iparnya, Mohd Yusni Hafis Younus, 27, yang juga berkongsi minat yang sama banyak menyimpan muslihat daun terup.

"Semua ini hanya helah. Tiada apa yang boleh dibongkar kerana kami sendiri banyak belajar, berlatih berkali-kali dan memastikan ia benar-benar memberi impak ilusi sebelum dipersembahkan kepada khalayak.

"Tentang bantuan kuasa luar biasa, saya tidak pasti!" Kata Hafidz apabila terus diasak mengenai penggunaan jin atau kuasa lain dalam sesebuah persembahan silap mata.

Begitupun, dia akhirnya mengakui akan kemungkinan sesetengah ahli silap mata yang menggunakan bantuan dari dimensi lain tersebut. Namun, bantuan itu bukan untuk melakukan silap mata tetapi untuk memastikan persembahan dikawal.

Sekadar cabang hiburan

Khususnya di Malaysia, silap mata atau magik adalah salah satu bidang hiburan yang masih belum mendapat pengiktirafan sebagaimana bidang nyayian, tarian mahupun lakonan. Ia masih terikat dengan persepsi bahawa kemahiran tersebut berhubung kait dengan ilmu sihir atau kuasa luar biasa dan bukannya bakat.


BIARPUN bermula lewat, Hafidz sudah banyak menguasai kemahiran silap mata dalam tempoh kurang 12 tahun.


Mereka yang mampu membuat silap mata ibarat mempunyai kelebihan namun perwatakan yang ditonjolkan seseorang ahli silap mata turut menjadi penentu sama ada mereka senang didekati khalayak atau sebaliknya.

Bagi Amar, seorang ahli silap mata yang kemas berpakaian sut tuksedo atau santai tanpa tali leher seperti dirinya lebih mudah didekati berbanding personaliti pelik, berunsur misteri atau lain-lain elemen negatif yang cuba dipapar oleh seseorang ahli silap mata.

"Saya mahu orang memandang saya dengan rasa selesa. Mungkin itu sebab mereka kerap memilih saya untuk membuat persembahan dalam majlis kanak-kanak atau sekolah," terang Amar.

Begitupun bagi Hafidz, pemakaian mengikut konsep Hafizz The Wizzard adalah salah satu pelaris persembahannya.

"Jubah ini wajib dipakai semasa membuat persembahan. Namun, ada kalanya saya akan memakai pakaian kemas, mengikut permintaan. Saya bergerak dan membuat persembahan mengikut konsep dan ia diterima penonton," ujarnya.

Hafidz dan Amar adalah antara ahli silap mata tempatan yang melihat dunia mereka sebagai satu bidang yang berpotensi besar dan mempunyai masa depan namun masih belum diterokai sepenuhnya di Malaysia.

Minat dan impian

"Saya terlibat dalam bidang ini semasa berusia 28 tahun dan dapat belajar dengan cepat, iaitu kurang daripada 12 tahun.

"Awalnya saya hanya suka-suka mencuba helah. Semasa sedang bekerja dalam bidang produksi, saya berpeluang menemui seorang ahli silap mata yang membantu saya memperkenalkan kelab silap mata Magic Ring di Berjaya Times Square," kata Hafidz yang melanjutkan pengajian dalam bidang itu sehingga memperoleh diploma daripada Persatuan Ahli Silap Mata Antarabangsa pada tahun 2007.

Menurut bapa kepada seorang anak berusia lapan bulan itu, keluarganya juga kebetulan meminati persembahan silap mata malah isterinya, Yusniza Mohd. Younus, 37, bertindak sebagai pengurusnya.

Hafidz memulakan karier sebagai ahli silap mata jalanan dan jarak dekat sebelum dia menambah keyakinan untuk membuat persembahan pentas, iaitu kira-kira empat tahun yang lalu.

"Pada bulan pertama saya membuat persembahan pentas, saya menerima bayaran sekitar RM4,000. Kini, pendapatan itu semakin meningkat sekali gus menggambarkan peluang cerah dalam bidang ini," katanya.

Hafidz percaya, skil silap mata adalah satu bakat yang telah lama wujud dan dari semasa ke semasa ia dilaksanakan mengikut teori dan kaedah yang diperbaharui.


BAGI Kyle, silap mata adalah seni yang bersifat misteri, berupaya menyelami minda seseorang dan mampu menghasilkan keajaiban melalui ilusi.


"Impian saya pada masa akan datang adalah untuk menghilangkan Tugu Negara, sama seperti pakar ilusi David Copperfield yang menghilangkan monumen Statue of Liberty. Saya hanya menunggu masa dan penajaan kerana ia memerlukan kos yang tinggi," ujarnya penuh berharap.

Ingin jadi Copperfield

Bagi Amar pula, penglibatan dalam dunia silap mata bermula sejak dia masih kecil iaitu sewaktu dia berusia lapan tahun.

"Zaman itu, zaman populariti David Copperfield dan saya teringin untuk memiliki kuasa sepertinya," kata Amar.

Tambahnya, dia belajar beberapa helah daripada bapa dan abangnya, di samping bertukar-tukar kemahiran dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.

Selain itu, dia turut didedahkan dengan buku, cakera padat video dan lain-lain bahan yang boleh membantu menambahkan muslihat silap matanya.

Apabila ditanya mengenai ilusinasi yang mengapungkan sesuatu, Amar menjelaskan, ia sama ada menggunakan kuasa magnetik yang mungkin tidak dapat dilihat mata kasar atau dengan bantuan stooges, pembantu yang menyimpan rahsia bersama ahli silap mata.

Kosmo! berkesempatan menemubual seorang ahli silap mata dari Singapura, Kharthik Ravindran atau nama pentasnya, Kyle Ravin. Baru berusia 22 tahun, Kyle tidak pernah menyesali memilih dunia helah dan ilusinasi magik sebagai kerjayanya.

"Kita semua membina persekitaran melalui sesuatu yang diminati sejak kecil. Ada yang mengumpul setem, menyanyi, menangkap labah-labah dan lain-lain. Ia sesuatu yang semua kanak-kanak akan lakukan pada waktu kecil.

"Saya pula sukakan silap mata sejak berusia 7 tahun. Ia bermula dengan membaca sebuah buku yang saya perolehi semasa di pameran sekolah. Keluarga dan kawan-kawan pula memberikan saya sokongan. Jadi saya teruskan," katanya pemegang Diploma Lanjutan Komunikasi Massa dari Universiti Oklahoma, Amerika Syarikat itu.

Tiada mentor


DAUN terup menjadi antara item wajib dalam persembahan ahli silap mata.


Mungkin kerana negara Asia Tenggara kurang dikenali sebagai rantau yang menghasilkan ramai ahli silap mata, Kyle tidak mempunyai mentor. Dia hanya mendapat peluang mengembangkan bakatnya tujuh tahun kemudian.

"Silap mata ialah kemahiran dan seni secara sendirinya. Ia adalah bakat untuk menyampaikan silap mata dengan penuh sifat misteri, menyelami minda seseorang dan terus menghasilkan keajaiban," jelas Kyle.

Kyle mengakui, silap mata bukan sahaja mengenai bakat. Ia juga mengenai keajaiban dan rahsia yang disampaikan dengan ilusi serta helah.

"Ia adalah mengenai menghasilkan ilusi keajaiban. Minda hanya mendaftar dengan susunan ABCDEF tetapi silap mata ialah mengenai merangkaikan susunan itu menjadi ABCEFD!" Ujarnya.

Bagi pasaran Singapura, Kyle memberitahu, ahli silap mata boleh memulakan persembahan dengan bayaran bermula S$200 (RM480) bagi 30 minit dan bertambah mengikut kepakaran, populariti dan permintaan. Ia satu trend yang biasa dilihat di mana-mana.

"Saya ingin melakukan sesuatu yang lebih besar dan memenangi lebih banyak anugerah bertaraf antarabangsa.

"Saya juga memasang impian untuk memiliki tempat yang lebih luas untuk orang ramai menyaksikan persembahan silap mata selain mengajar lebih ramai orang tentangnya," katanya yang kini menjalankan program televisyen, MagicNOW, yang berkongsi helah-helah mudah untuk penonton.

Kyle, sama seperti Amar dan Hafidz, berkongsi satu keseronokan yang sama. Mereka akan berasa cukup puas apabila dapat melihat keceriaan pada wajah audiens yang menyaksikan persembahan mereka.